fbpx
Now Reading
Saya Sama Sekali Tidak Bermaksud Mempersoalkan Pensijilan Halal, Kata Teresa Kok

Saya Sama Sekali Tidak Bermaksud Mempersoalkan Pensijilan Halal, Kata Teresa Kok

Jelas Ahli Parlimen Seputeh itu, dia hanya bertanggungjawab mengutarakan suara hati masalah masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Jumaat (6 September) lalu, kecoh di media sosial kenyataan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai isu pensijilan halal.

Ia susulan daripada tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mahu mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Teresa melalui satu kenyataan di Facebook rasminya menjelaskan kerajaan seharusnya mengkaji semula penguatkuasaan pensijilan halal dalam industri makanan.

Ini kerana dia berpendapat apabila kerajaan mewajibkan sijil halal kepada premis makanan, tindakan itu dilihat memberi beban kepada peniaga kecil serta akan menambah kos pentadbiran.

Bagi Teresa, permohonan sijil itu perlu bersifat sukarela dan bukan dilaksanakan secara paksa. Lebih mengejutkan, ahli politik DAP itu menyifatkan tindakan berkenaan mungkin akan memalukan negara dan menjadi bahan ejekan di peringkat antarabangsa.

Kerajaan diminta mengkaji semula berkenaan penguatkuasaan Pensijilan Halal dalam Industri…

Posted by Teresa Kok on Friday 6 September 2024

Kenyataan itu nyata menjadi perhatian ramai hingga mendapat teguran dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin dari parti kerajaan, pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam.

Antaranya seperti Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh yang menggelarkan Teresa Kok sebagai ‘Nyonya Tua’ serta menganggap tindakan wanita itu menganggu-gugat keharmonian negara.

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok,” katanya.

Terang Akmal menerusi satu video di Facebook miliknya, sijil halal bukanlah mengenai hidangan arak dan babi sahaja tetapi ia merangkumi cara penyediaan dan sumber itu diperolehi.

“Ini adalah aturan yang ditetapkan dan saya nak bagi tahu sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat, hari ini kita sudah pendekkan sehingga 23 hari sahaja boleh dapat sijil halal.

“Jadi, apa masalah kamu (Teresa) dengan sijil halal ini? Kalau kamu tak suka, dia tak melibatkan kamu pun,” katanya lagi.

Kepada nyonya tua teresa kok,kamu yang sebenarnya memalukan negara!!! Jangan sentuh isu agama kami!!! #pemudaumnomalaysia

Kepada nyonya tua Teresa Kok,kamu yang sebenarnya memalukan negara!!! Jangan sentuh isu agama kami!!! #pemudaumnomalaysia

Posted by Akmal Saleh on Friday 6 September 2024

Sokong Usaha Kerajaan, Hanya Utarakan Suara Hati Rakyat Berbilang Kaum

Terbaharu, Teresa melalui satu hantaran di Facebook miliknya menjelaskan kenyataan yang dibuatnya pada Jumaat lalu bukanlah bermaksud mempersoalkan pensijilan halal.

Sebaliknya, dia hanya bertanggungjawab mengutarakan suara hati masalah masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jelas Teresa, dia menyokong usaha kerajaan khususnya JAKIM untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman.

“Saya menyokong usaha kerajaan, khususnya JAKIM untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman. Sebenarnya standard yang digunapakai oleh JAKIM dalam pensijilan halal adalah di antara yang paling tinggi di dunia.

“Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 bila saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini.

“Dalam banyak pertemuan dengan rombongan bisnes dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya bangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya mereka ingin mengeksport apa-apa makanan ke Malaysia ataupun negara-negara Islam yang lain.

“Saya sebagai Ahli Parlimen, saya bertanggungjawab untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum. Itu sebabnya saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan ini,” tulisnya.

Tidak Bermaksud Persoal Pensijilan Halal

Walau bagaimanapun jelasnya, dia tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan berhubung isu tersebut melalui saluran dalaman.

Ini kerana menurut Teresa, Dr Mohd Na’im membangkitkan cadangan itu melalui forum terbuka tanpa mengadakan perbincangan bersama wakil rakyat terlebih dahulu.

“Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan JAKIM atau tidak menghormati agama Islam.

“Saya mengambil maklum respons YAB Perdana Menteri mengenai kenyataan saya tetapi ingin menjelaskan bahawa saya tidak dapat membangkitkan pandangan saya melalui saluran dalaman, kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membangkitkan cadangan ini melalui forum terbuka tanpa mengadakan libat-urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu.

“Oleh yang demikian, saya tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan melalui saluran dalaman,” tulisnya.

Akan Beri Kerjasama Kepada Polis

Malah Teresa turut menjelaskan, dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memberi keterangan berhubung isu tersebut.

LEBIH LIBAT-URUS DI ANTARA JAKIM DENGAN INDUSTRI F & B ADALAH AMAT DIPERLUKAN UNTUK MEMYEMPURNAKAN USAHA MEMARTABATKAN…

Posted by Teresa Kok on Sunday 8 September 2024

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut prosedur operasi (SOP) agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Ia dibuat susulan daripada lima laporan polis yang diterima dan dibuka terhadap Teresa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Teresa serta beberapa saksi lain akan dipanggil dalam masa terdekat bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

Baca Artikel Berkaitan: Umat Islam Perlu Lebih Peka & Cakna Tentang Status Halal Restoran, Kata Pakar

Baca Artikel Berkaitan: JAKIM Bangunkan Sistem AI, Mudahkan Prosedur Permohonan Lulus Sijil Halal

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.