fbpx
Now Reading
Isu Syarikat Orang Islam Didakwa Guna Agama Untuk Perniagaan, Ini Respon Mufti Pahang

Isu Syarikat Orang Islam Didakwa Guna Agama Untuk Perniagaan, Ini Respon Mufti Pahang

Menurut Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, mana-mana syarikat yang terlibat dengan akidah dan syariah yang salah atau tasauf yang diselewengkan perlulah bertaubat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Beberapa hari yang lalu, kecoh di media sosial dakwaan mengenai syarikat yang dikenali sebagai Ikhwan Global Sdn. Bhd. atau GISB Holding Sdn. Bhd (GISBH) terlibat dengan ajaran sesat.

Malah, GISB juga didakwa melakukan aktiviti mengeksploitasi kanak-kanak hingga mereka kini menjadi perhatian ramai khususnya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Walau bagaimanapun, GISBH menerusi satu kenyataan menafikan terlibat atau menyokong mana-mana ajaran yang difatwakan sesat sejak penubuhannya.

Tegas GISBH, mereka berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tuduhan penyelewengan akidah yang dikaitkan adalah tidak berasas, tidak benar serta hanya bertujuan merosakkan reputasi organisasi tersebut.

Kenyataan ini bagaimanapun tidak meredakan perdebatan di media sosial hingga ramai masih terus membincangkannya hingga kini dan mengaitkannya dengan apa yang pernah berlaku pada masa lalu.

Baca Artikel Berkaitan: GISBH Nafi Terlibat Ajaran Sesat, Akan Beri Kerjasama Kepada Polis & Jakim

Jangan Jatuh Hukuman Selagi Belum Disahkan Pihak Berkuasa

Terbaharu, Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim menasihatkan agar masyarakat tidak menjatuhkan hukuman kepada mana-mana syarikat selagi belum disahkan oleh pihak berkuasa bahawa mereka melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun menurut beliau, masyarakat boleh mengambil langkah berhati-hati dengan peringatan tersebut.

Syarikat Yang Ada Kaitan Dengan Akidah & Syariah Salah Perlu Bertaubat

Jelas Dr Asmadi, mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan akidah dan syariah yang salah atau tasauf yang diselewengkan perlulah bertaubat.

“Mereka hendaklah mendedahkan amalan-amalan mereka agar para alim ulama boleh memberikan pandangan dan saranan.

“Jika amalan-amalan ini disembunyikan, tuduhan-tuduhan akan terus berlaku kepada syarikat tersebut dan ini akan menimbulkan persepsi kepada orang ramai bahawa syarikat tersebut sememangnya mempunyai modus operandi untuk menutup ruang bagi memperbaiki kesilapan,” katanya.

Salah Faham Dalam Memahami Konsep Perniagaan Berjaya Mungkin Jadi Faktor

Tambah Dr Asmadi lagi, salah faham memahami konsep perniagaan yang berjaya mungkin menjadi faktor keadaan sedemikian terjadi.

Malah, keadaan itu akan menyebabkan pihak syarikat sentiasa dituduh sebagai syarikat yang mengorbankan pekerja dan keluarga demi keuntungan serta populariti.

“Syarikat tidak boleh mengaitkan kesetiaan kepada organisasi sebagai ketaatan kepada agama kerana tindakan tersebut seperti menggunakan agama untuk kepentingannya,” ujarnya.

Peniaga Islam Perlu Ada Akad Yang Jelas Dengan Pekerja

Dalam pada itu, Dr Asmadi menjelaskan setiap peniaga Islam perlu mempunyai akad yang jelas terhadap pekerja mereka.

“Perniagaan umat Islam hendaklah mematuhi hukum syarak sama ada pada penghasilan dan pengeluaran produk atau perkhidmatan mahupun pengurusan akad pekerja antara pekerja dan majikan.

“Sesebuah syarikat yang menjalankan perniagaan mestilah mempunyai akad yang jelas dengan setiap pekerja mereka.

“Hendaklah dinyatakan mengenai data-data spesifikasi kerja dan jumlah gaji yang akan diperolehi. Ini hendaklah dibuktikan dengan adanya slip gaji dan pekerja mestilah bebas menerima dan memegang gaji mereka,” katanya lagi.

Tidak Boleh Paksa Pekerja Sumbang Semula Pendapatan Kepada Syarikat Secara Paksa

Walau bagaimanapun jelas beliau, pekerja boleh menyumbang semula sebahagian atau kesemua pendapatan kepada majikan namun sumbangan itu perlu dilakukan dengan ikhlas dan tanpa paksaan.

“Namun jika pekerja diberi tekanan, sebenarnya itu bukanlah gaji atau upah mereka. Tindakan tekanan sebegitu boleh diibaratkan sebagai lakonan bayaran gaji kepada pekerja semata-mata.

“Majikan yang melaksanakan tindakan sedemikian seolah-olah menipu dan berkhianat kepada usaha dan keringat titik peluh mereka kepada sesebuah syarikat atau seolah-olah dijadikan buruh paksaan.

“Amalan begini adalah haram di sudut syarak kerana majikan tidak memberi hak sebenar kepada pekerja atas kerja yang dilakukan.

“Apa yang ditakuti ialah akan berlaku ‘penghambaan moden’ atas nama agama, jika pekerjaan mereka dikaitkan dengan upah yang tidak berbayar,” jelas beliau lagi.

Dakwaan Berlaku Eksploitasi Kanak-Kanak & Campur Tangan Urusan Rumah Tangga

Beliau turut mengulas mengenai isu atau dakwaan berlakunya eksploitasi kanak-kanak dan campur tangan dalam urusan rumah tangga.

“Syarikat yang terlibat dalam memaksa anak-anak bawah umur untuk bekerja, boleh didakwa di bawah akta yang melarang untuk menjadikan anak-anak bawah umur sebagai pekerja. Ini adalah satu jenayah terancang dan wajib dibanteras oleh pihak berkuasa.

“Syarikat yang terlibat dalam jenayah dera dan liwat atau seksual yang lain, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan terhadap kes-kes sedemikian dengan segera.

“Pihak syarikat hanya berurusan dengan pekerja setakat melakukan kerja-kerja perniagaan tanpa mencampur adukkan dengan urusan peribadi pekerja seperti hal-hal rumahtangga dan cara pendidikan anak-anak mereka (lebih lebih lagi memisahkan mereka). Sebarang arahan menafikan kehidupan berkeluarga adalah suatu yang dilarang oleh Syarak sebab tujuan perkahwinan ialah untuk pasangan hidup bersama secara aman dan damai.

“Dasar Syarikat yang memisahkan pasangan suami isteri adalah menafikan hak mereka. Tindakan sebegitu boleh menyebabkan mereka terlibat dengan maksiat dan menyebabkan mereka berada dalam penderitaan. Tindakan sebegitu adalah haram dan berdosa. Syarikat yang berjaya ialah syarikat yang berjaya menyediakan hak asasi manusia berupa tempat tinggal bersama suami isteri sepanjang masa dan sistem saraan yang jelas dan berpatutan tanpa diskriminasi.

“Jika dasar pemisahan suami isteri dan anak anak terjadi atas nama syarikat, sesungguhnya syarikat tersebut telah melampaui bidang kuasanya. Biasanya jika perkara ini berlaku, masih sukar bagi pihak berkuasa untuk bertindak kerana prosedur memerlukan risikan, pengakuan, siasatan dan pembuktian,” ujar beliau lagi.

𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔 : 𝗜𝗦𝗨 𝗦𝗬𝗔𝗥𝗜𝗞𝗔𝗧 𝗢𝗥𝗔𝗡𝗚 𝗜𝗦𝗟𝗔𝗠 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜𝗟𝗜𝗛𝗔𝗧 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗚𝗨𝗡𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗔𝗚𝗔𝗠𝗔 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗣𝗘𝗥𝗡𝗜𝗔𝗚𝗔𝗔𝗡 Assalamualaikum 1. Adalah…

Posted by Jabatan Mufti Negeri Pahang on Sunday 8 September 2024
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.