fbpx

Kumpul Dana Dengan Jual Kuih Raya, 2 Beradik Menang Pingat Emas & Perak Dalam Acara Memanah Berkuda Di France [Video]

Abdurrahman Ahmad Mu’az dan Heba Nusaybah telah memenangi acara European Kids Championship 2024 yang berlangsung di Gauchoux, Perancis.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris baru sahaja melabuhkan tirainya pada hari Ahad (8 September) yang menyasikan beberapa atlet para negara membawa pulang pingat.

Namun, bukan acara sukan itu sahaja yang berlangsung di peringkat dunia dan disertai oleh wakil dari Malaysia.

Dalam masa sama, Gauchoux Open Horseback Archery Competition: European Kids Championship 2024 juga telah berlangsung di Gauchoux, Perancis.

2 Wakil Malaysia Bawa Pulang Pingat Emas, Perak

Mungkin ramai yang tidak tahu, namun dua orang wakil cilik dari Malaysia telah menyertai kejohanan tersebut dan masing-masing berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas serta perak.

Abdurrahman Ahmad Mu’az menjadi juara keseluruhan kategori bawah 14 tahun daripada tiga format yang dipertandingkan iaitu FFE Raid233, FFE Tower60 dan Hunt Track.

Manakala adik perempuannya, Heba Nusaybah, berjaya meraih tempat kedua dalam kategori bawah 12 tahun.

Adik-beradik itu merupakan sebahagian daripada lebih 110 orang peserta dari 16 buah negara merangkumi Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turki, Amerika Syarikat, Ireland dan Malaysia.

@fathimridayu

Alhamdulillah.. Abdurrahman juara keseluruhan U14 daripada 3 format yang dipertandingkan; FFE Raid233, FFE Tower60 & Hunt Track. 16 buah negara (Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turki, Amerika Syarikat, Ireland dan Malaysia) dengan lebih 110 pesaing. Wakil Malaysia: Abdurrahman (U14) – Juara Heba Nusaybah (U12) – Naib Juara #equestrianarchery #memanahberkuda #horsebackarchery #arbaequestrianarchery

♬ suara asli – Asyifa tri hendrianda – user57835527164

Tanggung Kos Perjalanan Ke Perancis Sendiri

Apa yang lebih menarik perhatian adalah kecekalan ibu mereka membiayai sendiri perjalanan ke Perancis tanpa mendapat sebarang sumbangan dana.

Berdasarkan perkongsian oleh ibu, Fathim Ridayu, dialah yang menjadi pengurus dan jurulatih bagi kedua-dia anaknya itu.

Tambahnya lagi, dia telah menjual kuih raya untuk mengumpul dana dan menerima sedikit wang pemberian datuk dan nenek dua beradik itu.

Fathim menjelaskan bahawa dia benar-benar mahukan anak-anaknya menyertai kejuaraan di Eropah memandangkan kebanyakan juara dunia bagi sukan memanah berkuda berasal dari Perancis.

Sumber gambar: @fathimridayu/ TikTok

Naik Pengangkutan Awam, Bawa Makanan RTE Dari Malaysia Demi Berjimat

Mengulas mengenai cabaran semasa berada di Perancis, Fathim menjelaskan pelbagai langkah diambil untuk berjimat-cermat sepanjang tempoh 12 hari di sana.

Untuk ke lokasi pertandingan yang jauh dari bandar Paris, mereka perlu menaiki pengangkutan awam berbanding kumpulan dari negara lain yang dijemput kenderaan di lapangan terbang.

Katanya, jarak antara Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris dengan Gauchoux adalah seperti jarak dari Kuala Lumpur ke Perlis.

“Dari lapangan terbang di Paris ke bandar Limoges naik bas 5 jam. Dari Limoges ke bandar Bellac naik train lagi sejam. Angkutlah beg semua tiga beranak,” jelas Fathim.

Selain itu, mereka turut berjimat dari segi makan minum dengan membawa makanan ‘ready-to-eat’ (RTE) dari Malaysia. Katanya mereka harus membayar €40 (RM192) seorang untuk sehari jika mahu makanan disediakan oleh pihak urusetia.

Sumber gambar: @fathimridayu/ TikTok

Tonton video penuh DI SINI.

Orang Ramai Kongsi Cara Untuk Dapatkan Dana

Kehebatan dua beradik itu serta kecekalan ibu mereka meraih pujian daripada orang ramai. “Tiada dana tapi tetap kibarkan bendera Malaysia,” puji seorang pengguna TikTok.

Dalam pada itu, beberapa individu juga memberikan cadangan kepada Fathim untuk memohon dana daripada syarikat swasta di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta ahli politik kawasan.

Malah ada juga yang mencadangkan agar meletakkan permohonan tajaan di akaun TikTok miliknya supaya orang ramai dapat turut sama-sama menyumbang.

“Kami sendiri sanggup bagi seorang sedikit demi naikkan nama negara kita di persada dunia,” kata seorang individu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.