fbpx
Now Reading
Ramai Masih Keliru, Ini Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Sijil Halal

Ramai Masih Keliru, Ini Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Sijil Halal

Sijil halal memberi jaminan terhadap tahap kebersihan dan keselamatan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak minggu lalu, hangat diperkatakan mengenai isu pensijilan halal. Segalanya bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahu mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol memiliki sijil halal.

Namun, kenyataan ini mendapat respon daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa tindakan mewajibkan perkara itu akan membebankan peniaga kecil dan menambah kos pentadbiran.

Tambahnya permohonan sijil itu perlu dibuat secara sukarela dan tanpa paksaan. Malah dia dipetik berkata, cadangan berkenaan mungkin akan memalukan negara.

Kenyataan Teresa yang juga merupakan Setiausaha Publisiti DAP itu mendapat perhatian ramai pihak termasuklah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin dari parti kerajaan, pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam.

Timbul persoalan adakah sebenarnya sebuah premis makanan itu perlu memiliki sijil halal dan sekiranya tiada sijil halal, adakah hidangan di kedai makan itu haram untuk dimakan?

Baca Artikel Berkaitan: Saya Sama Sekali Tidak Bermaksud Mempersoalkan Pensijilan Halal, Kata Teresa Kok

Tiada Sijil Halal Bukan Bermaksud Menu Tidak Halal

Hakikatnya, tiada sijil halal bukanlah bermaksud makanan atau minuman itu haram dimakan oleh orang Muslim lebih-lebih lagi jika ia disediakan oleh saudara seagama.

Sebaliknya, memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bertujuan untuk menyakinkan orang ramai khususnya umat Islam bahawa restoran atau syarikat berkaitan telah melalui audit yang dibuat oleh pihak autoriti iaitu JAKIM bagi memastikan standard halal sebenar.

Memetik bekas Mufti Wilayah Persekuatuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, suatu makanan itu dihukumkan sebagai halal dan harus untuk dimakan dan diambil manfaatnya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya lebih-lebih lagi jika penjual atau pengusahanya adalah orang Islam sekalipun tidak ada logo halal — kerana kebiasaannya bahan-bahan yang digunakan adalah halal sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

Bagi kedai atau produk bukan Muslim pula, pensijilan halal penting bagi menjamin makanan atau minuman yang ditawarkan itu benar-benar halal statusnya sekali gus memberikan keyakinan kepada pelanggan Islam.

Semua boleh dakwa halal, namun perlu ada pihak yang sahkannya

Menurut Dr Mohd Na’im, semua pihak boleh mendakwa setiap yang dijual adalah halal namun perlu ada pihak yang mengesahkannya.

“Kita mungkin akan kata setiap bahan itu menepati standard halal tetapi siapa yang mahu memberikan pengesahan bahawa ia memang pasti halal? Itulah peranan dan pentingnya sijil halal tersebut sebab semua orang boleh ‘claim’ bahawa bahan yang digunakan adalah halal. Cuma saya mahu tekankan di sini bahawa ketiadaan sjil halal tidak bermakna menu yang disediakan itu tidak halal daripada perspektif Islam.”

Kata Dr Naim dipetik daripada Utusan Malaysia.

Untuk pengetahuan semua, selain JAKIM, hanya Majlis Agama negeri (MAin) atau Jabatan Agama Islam negeri (JAin) yang mempunyai kuasa mengeluarkan sijil halal.

Kehebatan sijil halal Malaysia juga seharusnya menjadi kebanggaan memandangkan ia diiktiraf banyak pihak selain turut dijadikan rujukan oleh banyak negara luar.

Sijil Halal Beri Jaminan Tahap Kebersihan & Keselamatan Produk

Menurut Konsultan Syariah Telaga Biru Bhd Fauwaz Fadzil pula, sijjil halal boleh untuk Islam dan bukan Islam kerana ia bertepatan fitrah.

Jelasnya semua pihak mahu menyediakan perkhidmatan dan makanan yang bersih, justeru ia juga bertindak sebagai jaminan kepada standard yang tinggi.

Jelas beliau pensijilan ini juga tidak mengubah status sesuatu produk atau perkhidmatan kepada halal atau haram.

“Bagi saya tidak masalah dengan bukan Islam kerana halalan toyyiban ini bukan sahaja bertepatan dengan agama, bahkan bertepatan dengan akal dan fitrah. Semua fitrah bersepakat bahawa kita mahu makan makanan yang bersih,” katanya dipetik Awani.

Sebaliknya, dengan adanya sijil tersebut, ia memberi jaminan terhadap tahap kebersihan dan keselamatan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Ini kerana setiap pemegang sijil halal akan diaudit secara berkala bagi memastikan mereka patuh kepada kriteria yang ditetapkan oleh sijil tersebut.

“(Pensijilan halal) ini merupakan satu inovasi dalam bentuk perundangan untuk mengurangkan risiko-risiko yang menyebabkan kebarangkalian makanan itu tidak sihat.

“Namun perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci mengikut mizan-mizan yang khusus.

“Sijil halal ini tidak mengubah status sesuatu perkara menjadi halal atau haram. Ia memberi jaminan kepada masyarakat bahawa, apabila seseorang mengambil sijil halal, dia ada latihan dan kursus. Maka terjamin beberapa risiko yang kita bimbang – kebersihan, isu najis dan logistik,” jelasnya.

Keadaan ini semestinya memberikan satu kelebihan atau plus point kepada peniaga di mana orang ramai tanpa mengira agama dapat meyakini tentang kebersihan sesuatu kedai.

Sijil Atau Logo Halal Mudahkan Umat Islam

Sijil atau logo Halal yang terletak pada makanan atau minuman juga amat membantu umat Islam bagi mengelakkan daripada perkara syubhah iaitu kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dan haram.

Kadangkala, proses sesuatu produk makanan atau minum boleh menyebabkan timbulnya perkara-perkara syubhah.

Contohnya seperti percampuran daging yang disembelih oleh orang Islam dan bukan Islam termasuk dalam perkara itu kerana menimbulkan keraguan.

Maka, dengan adanya pensijilan tersebut, ia boleh memberi ketenangan kepada orang Islam dalam membuat pilihan hidangan halal lebih-lebih lagi sekiranya berkunjung ke restoran yang disediakan bukan Muslim atau ke luar negara.

Malah, menurut Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Mahfuz Roslan, konsep halal merentasi agama di mana umat Islam boleh makan di premis milik bukan Muslim asalkan premis makanan berkenaan mematuhi standard halal yang ditetapkan.

Ini kerana tanpa sijil tersebut, Muslim sukar memastikan makanan yang dijual itu terjamin keharusan halalnya.

Tambahnya lagi, standard halal itu bukan hanya sekadar ‘no pork, no lard’ atau tidak sediakan daging babi, sebaliknya ia juga meliputi aspek lain.

“Sebagai contoh penyembelihan haiwan mengikut kaedah Islam, tiada percampuran dengan daging yang tidak halal dalam rantaian logistik, dan aspek kebersihan premis,” katanya.

Pendakwah Pernah Jelas Status Makanan Logo Halal

Pendapat yang sama juga pernah dinyatakan oleh penceramah dan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerusi satu video ceramahnya menjelaskan bahawa tanda halal bukanlah bermakna makanan itu halal untuk dimakan sahaja.

“Tanda halal itu bukan makna halal sahaja. Tanda itu adalah memudahkan umat Islam mengetahui apakah hukum secara umumnya makanan atau produk ini. Itu sahaja. Islam tidak sampai kita kena check (semak) sampai di kilang. Agama (Islam) itu mudah. Kalau ada tanda halal insya-Allah boleh makan. Tapi bila tidak ada tanda halal bukan bermakna haram, tanda itu sahaja. Tanda (halal) itu sebagai alamat.”

Ustaz Azhar Idrus

Tambah beliau lagi, pada asasnya, tanda halal itu memang telah disahkan halal.

“Untuk memudahkan kita, diletak tanda halal. Jadi bila kita tengok ada tanda halal, bila kita pergi Indonesia, Thailand, pergi Korea, di New Zealand pun ada tanda halal, itu tanda kita dibenarkan makan.

“Bukan tak da tanda halal makna haram makan, ia lebih memudahkan hati kita untuk rasa senang. Bukan mesti kena call kilang biskut, tanya baldi boleh basuh betul-betul ke? Kipas pusing telur, susah nak makan,” terangnya.

Tempoh Mohon Sijil Halal Premis Makanan Dipendekkan Jadi 30 Hari

Bagi memudahkan pengusaha untuk memohon sijil halal, Anwar sebelum ini telah mengumumkan dalam Belanjawan 2024 mengenai tempoh proses permohonan sijil halal premis makanan yang dipendekkan menjadi 30 hari berbanding 51 hari.

Malah sebenarnya, kos atau fi permohonan sijil halal tidaklah tinggi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang kononnya mencecah puluhan ribu ringgit.

Hakikatnya ia bergantung kepada kategori dan jenis premis itu seperti berikut:

No. Jenis PremisYuran Sijil Halal Bagi Setahun (RM)
1.Perniagaan mikro seperti restoran atau kafe, kantin, kedai bakeri, premis makanan berangkai, premis bergerak, kafetaria di medan selera dan kiosk.100
2.Hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah200
3.Hotel bertaraf 4 bintang dan ke atas500

Pun begitu terdapat beberapa perkara yang mungkin membuatkan kos untuk memohon sijil halal menjadi sedikit tinggi antaranya penambahbaikan premis atau penambahbaikan proses-proses berkaitan demi memenuhi tuntutan halal.

Malah Ketua Perundingan Halal, HDC Berhad, Dhaliff G. Anuar baru-baru ini turut mengakui bahawa kos untuk mendapatkan perkhidmatan perunding halal antara penyebab kos menjadi tinggi.

Prosedur permohonan sijil halal

Berikut kami kongsikan juga prosedur permohonan sijil halal untuk makluman anda:

Cadangan Mewajibkan Mungkin Perlu Diperhalusi?

Namun, cadangan mewajibkan sijil halal untuk semua peniaga makanan mungkin perlu diperhalusi terlebih dahulu.

Malah timbul tanggapan yang mengatakan ia menimbulkan sedikit kesukaran kepada segelintir peniaga memandangkan pengesahan itu sebelum ini bersifat sukarela dan berdasarkan permintaan pasaran selain kos sampingannya.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah ianya dilakukan secara berperingkat terlebih dahulu. Menurut Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Datuk Mohammad Sahar Mat Din ialah usaha murni dan secara langsung dapat meningkatkan bilangan capaian sumber halal yang lebih meluas.

Namun setakat ini terlalu awal untuk mengatakan yang ia akan dikuat kuasakan kepada semua peniaga memandangkan belum ada penerangan lanjut dari pihak Menteri Agama bahkan prosesnya pasti melibatkan banyak pihak autoriti.

Setakat hari ini (11 September) Perdana Menteri telah mengarahkan Dr Mohd Na’im untuk melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Ada Sijil Halal Satu ‘Bonus’ Buat Peniaga

Namun sebagai seorang Muslim, kami merasakan mengunjungi restoran atau makan produk milik non-Muslim yang mempunyai sijil halal akan membuatkan kami lebih yakin berbanding hanya berpandukan pada papan tanda ‘no pork no lard’ atau ‘Muslim friendly’.

Malah kami menjadi lebih yakin jika kedai milik peniaga Muslim juga mempunyai sijil berkenaan.

Ini kerana pemegang sijil Halal terikat dengan beberapa Standards Halal dan manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Ia seumpama memiliki kelulusan piawaian pengurusan yang baik seperti ISO. 

Kami yakin, ramai yang sependapat dengan perkara ini apatah lagi ianya turut diperakui oleh banyak pihak sebagai contoh di Pulau Pinang apabila majoriti pemegang sijil halal di sana adalah dari kalangan peniaga bukan Islam.

Satu yang pasti, berpeganglah pada kata-kata ‘menjauhi perkara syubhah adalah jalan beristiqamah untuk menghindari perkara yang haram‘.

Baca Artikel Berkaitan: 76% Pemilik Sijil Halal Di Pulau Pinang Adalah Syarikat Bukan Muslim

Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2024: Tempoh Proses Sijil Halal Kini Dipendekkan Kepada 30 Hari

Baca Artikel Berkaitan: JAKIM Bangunkan Sistem AI, Mudahkan Prosedur Permohonan Lulus Sijil Halal

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.