Tuduhan Ajar Liwat, GISBH Akan Buat Laporan Polis
GISBH menyifatkan tuduhan didikan songsang melibatkan kanak-kanak di rumah kendalian mereka adalah satu tuduhan berat yang boleh menimbulkan prasangka serta fitnah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini kami ada melaporkan yang polis telah menyerbu beberapa premis milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, serbuan dilakukan di sekitar kawasan Selangor dan Negeri Sembilan pada jam 6 pagi sehingga 11 pagi, semalam (11 September) susulan laporan berkaitan dakwaan pengabaian, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak.
Lebih mengejutkan Razaruddin mendakwa antara modus operandi yang dibuat oleh kumpulan berkenaan termasuk mengajar kanak-kanak cara meliwat seterusnya diliwat oleh penjaga di sana.
Namun apa yang didedahkan bukanlah sesuatu yang baru buat segelintir pengguna media sosial memandangkan sebelum ini sudah tersebar dakwaan serupa oleh beberapa pihak di Facebook, Instagram dan X.
Baca artikel berkaitan: Polis Serbu Rumah Amal Milik GISBH, Kanak-Kanak Didakwa Diajar Meliwat & Diliwat
Terbaharu GISBH menyifatkan tuduhan didikan songsang melibatkan kanak-kanak di rumah kendalian mereka adalah satu tuduhan berat yang boleh menimbulkan prasangka serta fitnah.
Memetik Buletin Utama, GISBH akan membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan sekaligus membawa pihak berkenaan ke muka pengadilan.
“Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada GISBH sejak akhir-akhir ini. Kami menafikan segala tuduhan tersebut kerana rumah amal itu jelas bukan di bawah kendalian GISBH.
“Bukan dasar kami untuk merancang dan melaksanakan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam dan undang-undang negara,” jelasnya.
Tambah GISBH, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang sengaja berniat jahat untuk mencemarkan nama kumpulan itu.
GISB nafi syarikat terbabit eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja
GISB dalam masa sama turut menafikan dakwaan tular yang mengaitkan syarikat mereka dengan eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
GISB dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususya melibatkan kanak-kanak.
Dalam kenyataan bertarikh 11 September itu, GISB turut menyifatkan tuduhan tersebut adalah berat dengan niat menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH.
“Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.”
Tular Dakwaan Kronologi Pendedahan Isu GISBH
Semalam turut tular di laman X perkongsian seorang pengguna tentang kronologi pendedahan GISBH yang mencuri tumpuan ramai.
Beberapa nama individu berprofil tinggi turut disebut dalam bebenangnya antaranya Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin dan Caprice.
Dia turut mendakwa telah menghubungi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil agar menyiasat isu tersebut secara serius.
Tambahnya lagi, siasatan telah dijalankan selama lima hari sebelum perkara itu dibongkarkan.