Ditahan Selepas Polis Jumpa Pistol & Dadah, Ketahui Siapa Yusoff Rawther
Yusoff Rawther juga sebelum ini pernah terpalit kontroversi apa digelar sebagai seorang Pro-Israel.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 11 September lalu, media melaporkan polis telah menahan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Yusoff Rawther pada 5 September lepas.
Penahanan itu selepas pihak polis dipercayai menemui sebanyak dua pucuk pistol serta dadah di dalam kenderaan yang naiki oleh Yusoff.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Yusof mendakwa bahawa anak guamnya itu diperangkap. Yusof mengatakan kepada pihak polis senjata dan dadah tersebut bukan miliknya serta tidak mempunyai kaitan dengan barangan terbabit.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pistol & Dadah Ditemukan Dalam Kereta, Yusoff Rawther Ditahan Polis
Siapa Yusoff Rawther?
Susulan daripada laporan tersebut ada yang mula tertanya-tanya siapakah Yusoff Rawther dan apakah kisah mengenai dirinya.
Yusoff atau nama penuhnya Muhammed Yusoff Rawther berusia 31 tahun merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim dan berasal daripada Pulau Pinang.
Merupakan cucu kepada S.M Mohamed Idris
Selain itu, Yusoff juga merupakan cucu kepada S.M. Mohamed Idris. Allahyarham merupakan bekas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Dalam satu temuramah yang dilakukan bersama The Malaysia Post pada Januari 2020, Yusoff memaklumkan dia pernah melanjutkan pelajaran di Univerisiti Kozminski, Warsaw dalam jurusan Kewangan dan perakaunan selama dua tahun.
Menerusi video temuramah tersebut, Yusoff memaklumkan dia mula bekerja dengan Anwar pada September 2018.
Terpalit kontroversi & pernah digelar Pro-Israel menerusi artikel bertajuk ‘Satu rakyat Malaysia, berdiri bersama Israel’
Selain itu, Yusoff turut didakwa seorang Pro-Israel apabila apabila menulis satu artikel menyatakan sokongan terhadap Israel.
Artikel berkenaan yang bertajuk “Satu rakyat Malaysia, berdiri bersama Israel” diterbitkan Arutz Sheva iaitu laman berita Israel pada tahun 2017.
Menerusi artikel tersebut, Yusoff dipetik berkata masyarakat Arab di Palestin tidak pernah memerintah di mana-mana bahagian di Jerusalem (al-Quds). Ini menjadikan tuntutan mereka terhadap bandar suci itu terbatal.
Selain itu, Yusoff turut menunjukkan sokongannya terhadap Israel dan menyatakan sebab dia memihak kepada rejim Zionis itu.
“Dalam kenyataan ini, saya akan membincangkan mengapa saya sebagai seorang rakyat Malaysia memihak kepada Israel dan mengapa orang Arab berlebih-lebih dengan muslihat lama mereka,” tulisnya.
Dia juga turut berkongsi acaman yang dihadapinya kerana menyokong puak berkenaan.
Dakwa jadi mangsa percubaan serangan seksual
Namun nama Yusoff mula dikenali hampir satu Malaysia selepas dia mendakwa menjadi mangsa percubaan serangan seksual oleh Anwar di rumah presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan pada 2 Oktober 2018. Dia kemudian bertindak memfailkan saman pada 14 Julai 2021.
Dakwanya insiden itu berlaku ketika Yusoff bekerja sebagai pembantu penyelidikan dan ianya terjadi beberapa hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Port Dickson.
Menurut laporan Astro Awani pada 15 Julai 2021, Yusoff memperincikan lebih 12 insiden serangan seksual dan perbuatan pencerobohan ke atas dirinya oleh Anwar.
Alami trauma dari insiden yang berlaku, tuntut ganti rugi
Yusoff juga mendakwa insiden yang berlaku itu turut membuatkannya mengalami trauma fizikal, psikologi serta sosial di tahap serius. Malah dia menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain.
Namun Anwar telah memfailkan tuntutan balas berhubung dakwaan tersebut dan mengatakan ia tidak benar serta berunsur rekaan semata-mata.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun sebelum ini menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 16 Jun 2025.
Yusoff Rawther disaman Farhash Wafa
Memetik laporan Harian Metro, pada Januari 2020 Setiausaha Politik kepada Presiden PKR iaitiu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak telah memfailkan saman terhadap Yusoff berkaitan kata fitnah mendakwa dia dipukul dan dicederakan.
Dalam tuntutan tersebut, Farhash mendakwa defendan (Yusoff) telah mengadakan sidang media di Lembah Klang pada 4 Disember 2019 yang juga dihadiri oleh wartawan media.
Dakwanya video sidang media itu kemudian dimasukkan ke dalam sebuah akaun Facebook yang dinamakan sebagai ‘Solidariti Buat Muhammed Yusoff Rawter’ dan ia diedarkan secara meluas di media sosial.
Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak pada ketika itu mendakwa kenyataan dikeluarkan Yusoff adalah untuk menjejaskan imej serta reputasinya sebagai seorang ahli politik parti terbabit dalam kalangan umum.
Dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis
Semalam (12 September), Yusoff telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis.
Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan dari tertuduh selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S.Arunjothi.
Pengakuan tersebut tak direkodkan ekoran kes terbabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Memetik laporan Kosmo, berdasarkan pertuduhan Muhammaed Yusoff didapati mengedar dadah berbahaya iaitu jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September lepas.
Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen 39B (2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tak kurang 12 sebatan.