fbpx

“Memang Liwat Itu Ada, Tapi Satu Dua Kes, Kenapa Dirangkumkan Semua? – Pemimpin GISBH [Video]

Sebelum ini Ketua Polis Negara mendedahkan 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pimpinan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengakui memang ada berlaku kes liwat dalam organisasinya, namun dakwanya perbuatan jijik itu hanya membabitkan segelintir individu.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifny GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali menerusi satu video yang dimuat naik di akaun media sosial GISBH pagi ini (14 September).

Nasiruddin bagaimanapun merasakan adalah tidak wajar apabila keseluruhan 402 kanak-kanak ditahan pihak berkuasa untuk saringan dan keterangan.

Jelasnya lagi, apa yang berlaku membabitkan GISBH adalah terlalu pantas, bermula dengan kes ‘air kaki’, diikuti dakwaan liwat dan mengeksploitasi kanak-kanak.

“Kemudian berpanjangan liwat, ajar meliwat. Jijik sebenarnya. Saya sangat sedih, saya orang Islam. Anak-anak ditangkap.

“Saya bukan hendak menyalahkan undang-undang kerana kami ada salah dari segi undang-undang. Tapi tak boleh nasihat ke atau berbincang, Memang sudah ada perbincangan tapi kali ini tangkap semua sekali 400 lebih.

“Dituduh liwat, memang liwat tu ada, satu, dua. Tetapi mengapa dirangkumkan semua. Paling jijik bila dikatakan kanak-kanak ini diajar meliwat,” kata Nasiruddin dalam video itu.

Dakwa tuduhan yang dilemparkan hanya fitnah untuk jatuhkan GISBH

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan apakah kesalahan yang dilakukan GISBH dan siapakah pihak yang berbincang dengan mereka sebelum ini.

Nasiruddin dalam masa sama turut menzahirkan rasa sedih dan kesal dengan tuduhan tanpa bukti sehingga menyebabkan GISBH dikecam dan menjadi tohmahan pengguna media sosial.

Dakwanya tuduhan yang dilemparkan adalah fitnah yang mahu menjatuhkan perniagaan GISBH yang memperjuangkan produk Islam selain memiliki 20 cawangan rumah amal.

Minta pihak berkuasa tunjuk bukti

Memetik Malaysia Gazette dia turut meminta pihak-pihak berkuasa supaya mengemukakan bukti jika benar GISBH terlibat memperdagangan dan mengeksploitasi kanak-kanak.

“Kami sudah beroperasi 30 tahun, kalau betul ada bukti tunjukkan,” katanya lagi.

Tambahnya, GISBH akan akan mendapatkan khidmat peguam ‘bagi memperjuangkan kebenaran dan menuntut keadilan’.

“Bukan saya mahu meraih simpati tapi kita sebagai orang Islam dalam negara Islam yang mempunyai masyarakat perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kenapa berlaku macam ini, malulah kita dengan orang bukan Islam apabila kita sesama Islam berbalah sedangkan ia boleh dirunding,” jelasnya.

Mahu bantuan orang ramai bantu bayar peguam

Bukan itu sahaja, dia juga berharap orang ramai dapat membantu GISBH untuk membayar peguam berhubung isu ini.

“Saya mengharapkan tuan puan tolonglah kami untuk bayar peguam, saya tidak malu minta. Kita lawan demi kebenaran dan kita nak tunjukkan (kebenaran). Kenapa semudah itu (tuduhan) dibuat tanpa berunding, kami tidak menyakitkan orang dan ini sangat sedih,” katanya.

13 penghuni rumah amal GISBH mangsa liwat

Sebelum ini Razarudin mendedahkan 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat.

Jelasnya, angka itu didapati berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu.

“Pada awalnya, laporan polis diterima di Negeri Sembilan dan Selangor, terdapat empat mangsa mendakwa diliwat.

“Dalam fasa kedua siasatan, kita menemu bual mangsa dan mendapati sembilan lagi dipercayai menjadi mangsa liwat,” katanya dipetik Harian Metro.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.