“Kamu Sembang Perpaduan..” – Individu Persoal Pekerja Khairul Aming Semua Berbangsa Melayu Dikritik
Ramai berpendapat adalah tidak pelik jika kesemua pekerja yang digaji oleh Khairul Aming di syarikatnya berbangsa Melayu kerana kilangnya terletak di Kelantan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Khairul Aming sememangnya satu ikon di Malaysia yang menjadi buah mulut orang ramai, lebih-lebih lagi setelah Perdana Menteri New Zealand sendiri bertemu dengannya.
Dari kejayaannya menghasilkan produk tempatan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk penduduk di Kelantan, hinggalah menghasilkan video di New Zealand, sosok itu sememangnya menjadi idola untuk orang ramai.
Malah, ketika sambutan Keretapi Sarong 2024, dia telah dijemput untuk membuat kemunculan istimewa dan mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara.
Baca artikel berkaitan: PM New Zealand Temui Khairul Aming Sebagai Tanda Perhargaan Rakam Video Masak Di Sana
Baca artikel berkaitan: [Video] Ramai Teruja Khairul Aming Perkenal Siri Baru, Memasak Sambil Jelajah New Zealand!
Baca artikel berkaitan: Kolaborasi Khairul Aming & Pinn Yang ‘Menjadi’, Banyak Produk Lokal Terjual Semasa TikTok Live
Khairul Aming Hasilkan ‘Short Video’ Tentang Perpaduan Di Malaysia
Baru-baru ini, Khairul Aming telah memuat naik satu video di akaun X miliknya yang menyaksikan sambutan sekitar sambutan Keretapi Sarong 2024 pada Sabtu (14 September) lalu sempena Hari Malaysia.
Dia berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan budaya, agama dan bangsa, serta sukar mencari negara yang unik seperti tanah air ini.
“Dalam dunia yang terus berubah ini, kitalah yang kena bersama-sama pertahankan keharmonian negara ini,” katanya.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat masyarakat pelbagai etnik berkumpul demi menyambut Hari Malaysia beramai-ramai.
Individu Persoalkan Semua Pekerja Khairul Aming Berbangsa Melayu
Namun di sebalik video positif itu, ada pula individu yang mempersoalkan Khairul Aming bercakap tentang perpaduan namun mendakwa usahawan itu hanya mempunyai pekerja berbangsa Melayu sahaja.
“Kamu sembang pasal perpaduan, tapi semua pekerja kamu adalah (berbangsa) Melayu?”
Hantarannya kemudian tular sehingga menerima pelbagai reaksi berbeza daripada masyarakat. Majoriti menyifatkan perkara itu bukan suatu isu yang tidak perlu dibangkitkan dan ada juga segelintir yang merasakan sebaliknya.
Ramai berpendapat adalah tidak pelik jika kesemua pekerja yang digaji oleh Khairul Aming di syarikatnya berbangsa Melayu. Ini kerana kilangnya terletak di negeri Kelantan yang diduduki rata-rata oleh penduduk Melayu.
Ada juga yang mempersoalkan adakah Khairul Aming ada meletakkan syarat-syarat seperti ‘Malay speaker only’ dan hanya memilih kaum Melayu daripada kesemua calon pekerja sehingga dia perlu membangkitkan perkara itu.
“Bangkitkan isu ini balik lepas awak dapatkan kisah benar bagaimana dia menolak permohonan dari bukan Melayu,” kata seorang pengguna X.
“He Seems Like A Good Guy, But What You Said Is True” – Pengguna X
Dalam masa sama, terdapat juga segelintir kecil yang merasakan ia perkara yang penting untuk dibangkitkan.
“Jika Khairul Aming pun tak boleh mengakui sifat berat sebelahnya, anda semua boleh berhenti bercakap tentang kepelbagaian,” kata salah seorang daripada mereka.
Ada juga yang berpendapat bahawa kebiasaannya tiada kaum lain yang ingin memohon kerja dengan syarikat Melayu.
Seorang individu dipercayai pemilik sebuah syarikat juga berkongsi bahawa dia gagal mendapatkan pekerja selain daripada Melayu untuk digajikan walaupun telah mencuba sedaya upaya.
“Boleh Jadi Sukar Jika Bukan Muslim Kendalikan Produk Makanan” – Pengguna X
Di samping itu, terdapat individu yang merasakan tidak sesuai bagi etnik tertentu untuk bekerja di kilang milik Khairul Aming memandangkan mereka menghasilkan produk menggunakan daging lembu.
Malah ada juga yang berkata perkara boleh menjadi lebih sukar jika dia menggajikan individu bukan Muslim bagi mengendalikan produk makanan yang dijual.
Lebih 95% Penduduk Di Kelantan Ialah Melayu
Merujuk kepada laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2023 oleh Jabatan Perangkaan (DOSM), 96.7% penduduk di Kelantan setakat awal 2023 adalah Bumiputera. Daripada jumlah ini 95.5% ialah kaum Melayu, manakala 1.2% lagi lain-lain Bumiputera.
Sebaliknya, hanya 2.4% penduduk berbangsa Cina di Kelantan, diikuti dengan 0.3% India dan 0.6% lain-lain kumpulan etnik.
Memandangkan majoriti penduduk di Kelantan adalah kaum Melayu dan kilang Khairul Aming dibuka di negeri itu, maka tidak pelik jika kesemua pekerjanya ialah Melayu.
Carian kami walau bagaimanapun tidak menemukan sebarang iklan kekosongan kerja daripada pihak Khairul Aming untuk mengesahkan sama ada syarikat tersebut hanya mencari pekerja Melayu atau Islam.