fbpx
Now Reading
Produk Roti GISBH Dengan Logo Halal Gambar Lama, JAKIM Sahkan Ia Tidak Lagi Digunakan

Produk Roti GISBH Dengan Logo Halal Gambar Lama, JAKIM Sahkan Ia Tidak Lagi Digunakan

Menurut JAKIM, gambar roti yang ditularkan dipercayai gambar lama sewaktu produk tersebut mendapat status halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JaHEAIK).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Nama Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn Bhd (GISBH) banyak diperkatakan sejak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi setelah didakwa terlibat dalam jenayah mengeksploitasi kanak-kanak di rumah amal miliknya.

Dalam pada itu, orang ramai mulai cakna tentang produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut terutamanya produk roti yang didakwa dihasilkan menggunakan ‘air berkat’.

Sehubungan itu, tular apabila terdapat logo halal pada bungkusan produk roti sebelum Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kemudiannya mengesahkan ianya tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Pemeriksaan Dijalankan Di Premis Kubang Pasu, Kedah

Dalam satu hantaran Facebook oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), didedahkan bahawa satu pemeriksaan penguatkuasaan telah diadakan bersama pada 15 September lalu ke atas Global Ikhwan Utara.

Pemeriksaan bersama pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kedah itu telah dijalankan di lokasi premis baharu yang terletak di Jitra, Kedah.

Ini kerana premis lama yang beralamat di Kubang Pasu, Kedah seperti yang tertera pada pek pembungkusan produk roti yang tular tersebut tidak lagi beroperasi.

Tiada Penyalahgunaan Logo Halal Pada Produk Bakeri

Susulan itu, siasatan mendapati tiada penyalahgunaan logo atau ungkapan halal pada mana-mana produk bakeri yang dihasilkan di premis baharu berkenaan.

Menurut JAKIM, gambar roti yang ditularkan dipercayai gambar lama sewaktu produk tersebut mendapat status halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JaHEAIK).

Sijil Pengesahan Halal itu walau bagaimanapun telah tamat tempoh pada tahun 2017.

Dalam satu perkembangan lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar apabila ditanya tidak menolak kemungkinan bahawa JAKIM akan membuat pemeriksaan ke atas produk lain yang dikeluarkan GISBH.

Katanya, ia bertujuan bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan atau pemalsuan sijil halal yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam negara.

Tiada Sijil Halal JAKIM, Namun Ada Sijil MeSTI KKM

Sebelum ini, tular isu penggunaan logo halal pada produk roti yang dihasilkan oleh Global Ikhwan Utara apabila dibangkitkan oleh PUKAS.

Sumber: PUKAS Malaysia/ Facebook

Pada Sabtu lalu (15 September), JAKIM mengesahkan bahawa semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati produk roti oleh Global Ikhwan Utara yang tular tidak memiliki SPHM yang sah.

Menerusi akaun Facebook GISBH Khidmat Utara, organisasi tersebut menerangkan bahawa gambar yang tular mempamerkan roti keluarannya dengan logo halal ialah gambar lama ketika produk itu dihasilkan di kilang lama.

Menurutnya, persijilan halal tersebut telah tamat pada 31 Mei 2017 dan tidak diperbaharui kerana berpindah lokasi kilang.

“Pihak kilang roti berkenaan sekarang menggunakan plastik pembungkus dengan label baharu setelah operasi berjalan di kilang baharu dan sedang dalam proses untuk persijilan halal,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihak GISBH Khidmat Utara menyatakan bahawa mereka mendapat sijil MeSTI oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sah dari 15 April 2024 hingga 14 April 2027.

Sebagai info, penyalahgunaan logo halal atau pemalsuan status halal mana-mana produk adalah melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang menyatakan:

Semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika:
a) diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa; dan
b) ditandakan dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah tersebut.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.