
Ini 4 Sikap Toksik ‘Bos’ Yang Boleh Jadi Sebab Pekerja Letak Jawatan
Menurut jurulatih kerjaya, Farid Affy, seramai 75% pekerja meletak jawatan disebabkan oleh perangai bos mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tuah setiap orang semestinya berbeza. Ini juga termasuk dalam hal pekerjaan.
Ada pekerja yang mendapat majikan yang baik, namun ada juga yang sebaliknya. Dalam sesetengah syarikat, majikan atau pihak atasan akan mengambil tahu dan cuba membantu pekerjanya yang mengalami sebarang masalah.
Namun, terdapat sesetengah bos yang akan menyebabkan pekerja berasa lebih tertekan sehingga memilih untuk meletak jawatan.
75% Pekerja Berhenti Kerja Kerana Perangai Bos
Menurut seorang jurulatih kerjaya, Farid Affy, seramai 75% pekerja meletak jawatan disebabkan oleh perangai bos dan bukannya kerana syarikat atau pekerjaannya. Dia menyenaraikan empat sikap bos yang boleh membuatkan pekerja ingin resign.
#1. Tak ‘back up’ pekerja
Seorang pemimpin yang baik sepatutnya sentiasa membantu dan menyokong para pekerjanya dalam apa jua keadaan. Namun terdapat juga bos yang ‘play safe’ sehingga tidak mahu ‘back up’ pekerja sendiri.
Sebagai contoh, seorang bos yang menerima kerja berlebihan daripada pihak atasan dan mengagihkannya kepada pekerja tanpa bertanya mereka terlebih dahulu.
Farid menjelaskan beban kerja yang terlampau banyak juga boleh menyebabkan seorang individu kehilangan motivasi atau semangat untuk bekerja.
#2. Gila kuasa
Di samping itu, ada juga bos yang bersifat gila kuasa, terutamanya mereka yang baru sahaja diberikan pangkat lebih tinggi.
Ditambah pula dengan ketidakcekapan dalam memimpin pekerja, keadaan ini semestinya menyebabkan pekerja berasa tidak yakin dengan bos tersebut dan memilih untuk berhenti bekerja.

#3. Buat keputusan sendiri
Kata Farid, lebih teruk lagi apabila ada bos yang menganggap syarikat itu sebagai kepunyaanya sendiri. Bos sedemikian sering membuat keputusan seorang diri tanpa melibatkan orang lain.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila pekerjanya yang menyelesaikan segala tugasan namun bos yang mendapat nama. Dalam sesetengah keadaan, terdapat juga bos yang tidak mahu menerima idea dan maklum balas orang bawahannya.
Kesemua perkara ini akan menjadikan seorang pekerja itu berasa tidak dihargai, seterusnya memilih untuk meletak jawatan.
#4. Suka micromanage
Selain itu, sesetengah bos juga suka mendesak pekerjanya setiap masa dan bersikap ‘micromanage’. Mungkin mereka merasakan bahawa tindakan tersebut akan memastikan kualiti kerja yang tinggi, namun perkara ini akan memberi tekanan berlebihan, hilang semangat dan bunuh kreativiti.
Farid berkata dia tidak memahami bos sebegini kerana seolah-olah tidak mempercayai pekerja yang dilantiknya sendiri.
Selain itu, terdapat banyak lagi sikap boss yang menyebabkan pekerja ingin meninggalkan tempat kerjanya termasuk:
- Memilih kasih
- Tidak profesional
- Menyalahkan orang lain
- Tidak menetapkan sempadan pekerjaan
- Mengambil kredit atas kejayaan orang lain
- Sikap politikal
75% pekerja resign disebabkan oleh bos and bukan disebabkan company yang dia kerja. Ini senarai perangai bos yang buatkan pekerja resign: 👇🏼
— Farid Affy Maukerja (@faridaffy) September 18, 2024
Pekerja 60% Berisiko Alami Serangan Jantung Sebab Sifat Buruk Pengurus
Tambah Farid, satu kajian menunjukkan bahawa 60% serangan jantung disebabkan oleh sikap boss sedemikian. Ini mungkin berdasarkan kepada satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Occupational and Environmental Medicine.
Ia mendapati pekerja 60% lebih kemungkinan mengalami serangan jantung atau masalah jantung lain di bawah pengurus (manager) dengan sifat berikut:
- Tidak berkomunikasi
- Tidak cekap
- Tidak bertimbang rasa
- Suka berahsia
Sebaliknya, pekerja dengan pemimpin yang bagus mempunyai kurang 40% risiko mengalami masalah jantung. Manakala pekerja yang dilayan dengan adil oleh penyelia (supervisor) mempunyai 30% kurang risiko penyakit jantung.
Kata Farid, individu yang bekerja di bawah bos sedemikian menyebabkan mereka senang mengalami masalah kebimbangan atau anxiety.
“Dah lah target tinggi, tak dapat support dari bos, lepas tu kalau tak capai target nanti kena denda pulak!” katanya.

5 Punca Pekerja Ingin Letak Jawatan
Harus diingat bahawa pekerja tidak semestinya meletak jawatan disebabkan oleh sikap orang atasan semata-mata. Terdapat juga beberapa punca lain yang menyebabkan pekerja meletak jawatan seperti berikut:
#1. Bebanan stres dan tekanan
Menurut laman web Mau Kerja, bebanan stres dan tekanan merupakan salah satu punca utama yang mendorong rakyat Malaysia untuk berhenti kerja.
Ini kerana ia boleh menyebabkan kesan buruk terhadap kesihatan mental, malah fizikal seseorang. Oleh itu, individu akan memilih untuk meninggalkan tempat kerja yang menyebabkan masalah ini bagi mencapai kestabilan emosi dan menjaga kesihatan.
#2. Tiada ‘work-life balance’
‘Work-life balance’ merupakan salah satu indikasi penting bagi seseorang pada masa kini. Ketiadaan keseimbangan antara kerja dan kehidupan harian boleh menyebabkan pekerja berasa tidak puas hati.
Mereka kemudiannya akan berhenti kerja demi mencari keseimbangan ini dan mencari kerja lain yang menawarkan work-life balance.

#3. Kurang peluang pembangunan & kenaikan pangkat
Antara faktor yang menyebabkan pekerja kekal di syarikat sama adalah peluang pembangunan dan kenaikan pangkat. Tanpa perkara ini, pekerja mungkin akan berasa tidak dihargai dan mencari peluang lain untuk meningkatkan pembangunan kerjaya mereka.
#4. Hubungan dengan rakan sejawat dan pengurusan
Dalam alam pekerjaan, seseorang tidak dapat lari daripada berhubung dengan rakan sejawat dan pengurusan.
Namun jika terdapat konflik atau ketidakserasian dalam hubungan ini, ia dapat memberi kesan terhadap kerja seseorang, seterusnya memaksa mereka untuk meninggalkan tempat kerja tersebut.
#5. Budaya organisasi
Akhir sekali, budaya di sesebuah organisasi juga boleh menjadi faktor bagi seorang pekerja kekal berada di situ atau meninggalkannya. Jika nilai organisasi tidak sejajar dengan kepercayaan mereka, pekerja mungkin berasa tidak selesa dan memilih untuk meletak jawatan.