Gadis Melayu Ini Dipuji Fasih Berbahasa Mandarin Ketika Sedang Mengajar [Video]
Pada mulanya, lelaki itu serta rakannya dikatakan memandang wanita berkenaan berulang kali ketika dia sedang mengajar anak muridnya Bahasa Mandarin secara dalam talian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan bangsa. Kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia.
Lazimnya, kebanyakan individu di negara ini boleh menguasai lebih dari satu bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka sendiri.
Namun, ada juga di antara mereka yang tanpa mengira latar belakang fasih bercakap menggunakan bahasa ketiga yang lazimnya digunakan oleh bangsa lain antaranya seperti Bahasa Mandarin.
Kadangkala, kemahiran yang dimiliki inilah menyebabkan timbul rasa kagum dalam diri individu yang mendengar.
Pemuda Berhampiran Kagum Dengar Kepetahan Wanita Ajar Bahasa Mandarin
Begitulah yang dihadapi oleh seorang wanita Melayu apabila dia dipuji oleh individu bangsa Cina yang terdengar dia fasih berbahasa mandarin.
Berkongsi kisah itu, menerusi video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @mandarinbeginner_tuition, wanita berkenaan dikatakan sedang mengajar bahasa Mandarin secara dalam talian ketika berada di sebuah kedai makan.
Apa yang menjadi perhatian adalah tindakan pemuda Cina yang duduk berhadapan dengannya memuji dan menegur kepetahan wanita tersebut fasih berbahasa Mandarin.
Pada mulanya, lelaki itu serta rakannya dikatakan memandang wanita berkenaan berulang kali ketika dia sedang mengajar anak muridnya secara dalam talian.
Sebaik sahaja kelas tamat, lelaki itu terus memuji wanita tersebut dan mengatakan penggunaan bahasa Cinanya amat bagus.
Turut Puji Kepetahan Anak Murid
Malah, lelaki berkenaan turut memuji kepetahan anak murid wanita itu apabila dia mengetahui bahawa pelajar berkenaan merupakan pelajar Melayu.
Jelas wanita berkenaan kepada pemuda tersebut, anak muridnya itu merupakan pelajar Melayu yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Tambah wanita itu lagi, dia hanya sekadar mengajar asas dan bacaan Bahasa Cina kepada pelajar berkenaan.
Jadi Guru Kontrak Di Sekolah Agama, Ajar Bahasa Mandarin
Malah, ketika ditanya oleh pemuda terbabit adakah dia seorang guru, jelas wanita itu, dia merupakan seorang freelance tutor dan bekerja sebagai guru kontrak yang mengajar Bahasa Cina di sebuah sekolah agama.
Sekali lagi, kedengaran lelaki itu tidak henti memuji wanita berkenaan kerana kefasihan bahasa Mandarin yang dimilikinya.
Pengguna Media Sosial Luah Rasa Kagum, Ada Juga Kongsi Pengalaman
Video yang telah mendapat 1.5 juta tontonan itu nyata menarik perhatian ramai. Rata pengguna media sosial turut meluahkan rasa kagum dan memuji kehebatan wanita itu yang fasih berbahasa Cina.
Malah, ada yang turut berkongsikan pengalaman sendiri berhadapan dengan situasi yang sama apabila mereka turut dipuji oleh masyarakat kerana kefasihan mereka itu.
Tidak kurang ada juga warganet yang meminta tips dan menyatakan keinginan untuk menguasai bahasa mandarin.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Inilah Malaysia. Saya Suka Tengok Orang-Orang Kita Tahu Lebih Daripada Satu Bahasa”
“Macam Mana Nak Belajar Mandarin, Saya Berminat”
“Tak Hairanlah Anak Aku Umur 9 Tahun Pun Dah Fasih Bahasa Cina, Salute Dengan Cikgu Yang Mengajar”
“Anak Saya Tak Sekolah Cina Tapi Dia Banyak Belajar Dengan Kawan Cina, Sekarang Dah Boleh Sikit-Sikit Cakap Bahasa Cina”
“Mereka Kalau Dengar Orang Melayu Boleh Cakap Cina, Mereka Akan Hormat Kerana Berkebolehan Bahasa Diorang”
“Di Kuching Sarawak Ada Sekolah Agama Kluster Yang Belajar Bahasa Cina, Guru Memang Orang Cina”
Baca Artikel Berkaitan: Video Lelaki Melayu Nyanyi Lagu Kantonis Untuk Hiburkan Uncle Cina Di Wad Hospital Raih Perhatian Ramai
Baca Artikel Berkaitan: “Ni Ah Wee” – Tular Lelaki Cina ‘Enjoy’ Nyanyi Lagu Awie Undang Perhatian Ramai [Video]