Sunway Lagoon Raikan Nights Of Fright 10 Dengan Pelbagai Tarikan Menakutkan, Siap Ada Lebuh Raya Karak!
Menurut Penolong Pengurus Besar Pemasaran dan Pengalaman Taman Tema Sunway, Michelle Soong mereka turut memperkenalkan pelbagai tarikan baharu yang bakal membuatkan pengunjung menggeletar ketakutan sepanjang berada di NOF10.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Nights of Fright (NOF) merupakan salah satu acara tahunan yang sering dinanti-nantikan oleh mereka yang gemarkan cabaran untuk menguji tahap ketakutan mereka.
Namun siapa sangka pejam celik acara tahunan yang dianjurkan oleh Sunway Lagoon ini telah memasuki tahun ke-10.
Oleh itu, pelbagai tarikan menarik yang pasti membuatkan pengunjung berasa seram, ketakutan, menggigil dan seronok sepanjang NOF10 ini berlangsung.
Sedikit sejarah mengenai NOF
NOF pada tahun ini meraikan ulang tahunnya yang ke-10 sejak dilancarkan pada 2013. Ia secara tidak langsung telah menjadi salah satu acara hiburan tahunan yang ikonik di Malaysia.
Bukan hanya itu, acara ini turut menarik perhatian pelancong tempatan dan luar untuk berkunjung ke Sunway Lagoon.
Selama 10 tahun ia berlangsung para pengunjung telah merasai pengalaman yang menarik di beberapa tarikan seperti zon menakutkan, rumah berhantu, persembahan yang menyeramkan di NOF.
Perkenalkan tema yang berlainan setiap tahun seperti Zombie Apocalypse, Texas Chainsaw Massacre dan banyak lagi
Apa yang lebih menarik, setiap edisi yang dilakukan memperkenalkan tema inovatif dari watak-watak seram klasik dan cerita rakyat dalam menetapkan standard baru untuk pengalaman yang lebih mengasyikkan.
Malah acara ini telah menjadi pengalaman musim halloween yang menyeronokkan dengan lebih dari 250 pelakon menakutkan, zon seram yang interaktif, dan banyak lagi. Pada tahun-tahun sebelum ini, pengunjung juga dapat melihat antara tema yang dibawa adalah Zombie Apocalypse, Texas Chainsaw Massacre dan ghostbuster.
Malah kesemua tema itu merupakan antara kesukaan peminat apabila ia berjaya menarik puluhan ribu pengunjung untuk setiap tahun.
NOF menjadi antara ‘must-visit’ kepada peminat seram
Penolong Pengurus Besar Pemasaran dan Pengalaman Taman di Taman Tema Sunway, Michelle Soong memaklumkan meraikan NOF yang ke-10 tahun merupakan perkara penting buat mereka di Sunway Lagoon.
“Ia bermula dengan cara unik membawa keseronokan musim halloween ke Malaysia sehingga ia berkembang menjadi tradisi tahunan yang sangat dinanti-nantikan.
“Acara ini telah berkembang di luar jangkaan kami, malah ia menjadi lawatan yang mesti dikunjungi bagi mereka yang sukakan keseronokkan, peminat seram serta tetamu tempatan dan antarabangsa. Sokongan yang berterusan dari pengunjung telah membolehkan kami menembusi sempadan tahun demi tahun, mencipta pengalaman yang lebih besar dan menakutkan.
“Tahun ini untuk ulang tahun ke-10, kami akan melakukan segala-galanya untuk memberikan sesuatu pengalaman yang luar biasa. Kami bukan sahaja melihat kepada ketakutan tetapi kami juga memperkenalkan tarikan baharu yang akan membuat pengunjung menggeletar sepanjang malam dari rumah hantu, zon menakutkan dan membawa pengalaman seram ke peringkat yang seterusnya,” katanya.
Pilih Karak Highway sebagai tarikan kerana ia antara perkara yang menyeronokkan
Menurut Michelle mereka juga berdepan dengan pelbagai cabaran sepajang melakukan NOF antaranya adalah bagaimana merealisasikan sesuatu idea yang dilihat dalam filem atau permainan kepada realiti.
Selain itu, Michelle turut berkongsi kebanyakan tema pada NOF10 kali ini adalah dari filem asia dari China, Indonesia dan Malaysia seperti cerita ‘Karak Highway’.
Ketika disoal mengapa mereka memilih Karak Highway sebagai salah satu tarikan untuk NOF pada tahun ini, Michelle setiap tahun mereka cuba melakukan sesuatu yang berbeza untuk acara tersebut.
“Pada tahun sebelum ini, kami memilih sesuatu yang sangat ‘familiar’ kepada rakyat Malaysia. Malah masyarakat di asia tenggara mereka sangat sukakan cerita seram asia kerana ia lebih mendebarkan.
“Jadi Karak Highway telah menjadi pilihan kami. Ini kerana, pertamanya ia menyeronokkan dan keduanya kereta Volkswagen cerita tersebut mempunyai warna yang sangat menyerlah dan pelbagai. Ia merupakan sesuatu yang baharu untuk kami perkenalkan di NOF berbanding hanya landskap warna putih dan hitam yang kebiasannya digunakan.”
Sasar 100,000-120,000 pengunjung pada NOF10
Bagi NOF10 ini, Michelle memaklumkan mereka menyasarkan sekitar 100,000 hingga 120,000 pengunjung yang bakal datang ke Sunway Lagoon untuk acara tersebut.
Apa yang lebih menarik lagi, memandangkan ia tahun yang ke-10 pengunjung juga boleh mendapatkan cenderamata yang boleh dibeli secara terus di kedai runcit Sunway Lagoon.
Antara tarikan menarik di NOF10
Bagi mereka yang ingin ke acara ini pasti anda ingin mengetahui apakah tarikan menarik yang bakal disajikan bagi NOF10 kali ini.
Antara tarikan yang menarik adalah pengunjung dapat melihat zon menakutkan yang bertema Bone Man yang berasal dari China. Dalam tarikan ini anda dapat melihat misteri tulang-tulang yang disimpan di sebuah tempat khas.
Selain itu, adalah tarikan Alice in Wonderland namun di dalam versi yang menyeramkan. Jika sebelum ini Alice in Wonderland merupakan satu filem fantasi yang penuh dengan kecerian tetapi tarikan ini bakal mengubah mood anda kepada sesuatu yang lebih misteri dan menakutkan.
Seterusnya adalah Silent Hill iaitu ia adalah kerjasama dengan francais seram lagenda dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan seram psikologinya. Pengunjung akan memasuki dunia makhluk yang bakal menganggu mereka.
Sebagai info, NOF10 ini akan bermula pada 20 September sehingga 31 Oktober 2024 setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari jam 7.30 malam -11.30 malam di Sunway Lagoon.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan tiket tekan link di sini.