
Ustaz Wadi Annuar Kongsi Tips Murah Rezeki, Jangan Pernah Kedekut Dengan Ibu Bapa [Video]
Menurut pendakwah bebas Ustaz Wadi Annuar, segelintir golongan anak tidak mendahulukan ibu bapa dalam soal wang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Buat mereka yang beragama Islam, anda tahu bahawa setiap rezeki yang dikurniakan datang daripada Allah SWT. Pun begitu, segelintir daripada kalangan masyarakat kadangkala merasakan hidup mereka sempit.
Bukan sahaja dari segi kewangan tetapi pelbagai cabaran yang perlu dilalui sebagai contoh kehilangan pekerjaan, tidak sihat dan banyak lagi.
Jika anda berada dalam situasi sebegitu, janganlah berputus asa dan sentiasa percaya pada semua ketentuan Allah Yang Maha Esa.
Ustaz Wadi Kongsi Amalan Untuk Sentiasa Murah Rezeki
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@anasrazali77) menunjukkan sedutan podcast ‘Apa Cerita?’ menampilkan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Wadi Anuar sebagai tetamu jemputan.
Menerusi video tersebut, Ustaz Wadi telah berkongsi dua amalan utama umat Islam yang boleh dilakukan sekiranya berniat untuk dikurniakan rezeki melimpah ruah. Amalan pertama adalah berbelanja dan memberi kekayaan ibu bapa.
“Insya-Allah kamu mesti kaya. Tapi berapa ramai yang dahulukan mak ayah? Tak ramai. Ramai tinggalkan sedang mereka pegang kunci. Anak bila tengok mak dan ayah ada duit, dia mula tak berikan (wang),” kata Ustaz Wadi.

Doa Juga Dikira Sebagai Pemberian Sedekah
Tambah ustaz tersebut, adalah wajar bagi seorang anak menghulurkan sedekah kepada ibu bapa walaupun orang tuanya sudah kaya raya. Pemberian sedekah bukanlah dalam bentuk wang semata-mata tetapi boleh juga dalam bentuk doa.
“Doa untuk kebaikan (ibu bapa), Allah akan mudahkan hidup kita. Rezeki bukan sahaja duit dan kesihatan tetapi juga ketenangan hati.
“Tu rezeki yang besar beribu kali ganda lebih daripada duit. Banyak doa (kepada ibu bapa), berbaktilah tu,” tambah pendakwah tersebut.
Antara doa buat ibu bapa yang anda boleh amalkan adalah seperti berikut:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا
Maksudnya: “Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.”
@anasrazali77 Amalan untuk murah rezeki @Ustaz Wadi Annuar @apaceritapodcast #apaceritapodcast #ustazwadiannuar #ustazwadi #fyp #fypシ #foryoupage #foryou #fypシ゚viral ♬ original sound – anasrazali77
Istighfar Untuk Rezeki Yang Luas
Amalan kedua dikongsi oleh Ustaz Wadi adalah sentiasa beristighfar. Ramai di antara kita mengetahui melafazkan istighfar kepada Allah SWT dan memohon keampunan daripada-Nya mampu menghapuskan dosa serta kesilapan dilakukan.
Namun banyak lagi manfaat istighfar yang lain, antaranya memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
[Riwayat Abu Daud (1518)]

Ramai Setuju Bahawa Bahagiakan Ibu Bapa Boleh Murahkan Rezeki
Menjengah ke ruangan komen, ada seorang ibu yang bersetuju dengan pandangan Ustaz Wadi bahawa anak sendiri semakin menjauhi orang tuanya.
“Betul ustaz, sedih sangat. Jauh dan semakin jauh. Sampai terasa tak ada anak,” kata si ibu itu.
Malah, ramai yang berpendapat bahawa pemberian wang daripada anak kepada ibu bapa mempunyai nilainya tersendiri.
“Walaupun mak ayah dah kaya, tapi bila dapat duit dari seorang anak nilai dia lain. Mulut je (cakap) tak mahu. Tapi bila terima perasaan dia lain sangat. Berilah walaupun mak ayah berduit,” kata seorang individu.
Sementara itu, ada juga individu yang berasa yakin bahawa kebaikan yang diberikan kepada ibunya sekarang mampu memberi manfaat pada masa akan datang.
“Alhamdulillah walaupun keadaan aku cukup-cukup je makan tapi bagi mak dulu. Allah gantikan dengan lebih lagi, percayalah,” jelas seorang pengguna TikTok.








Baca Artikel Berkaitan: “Respect!”- Lelaki Ini Bina Rumah Untuk Ibu Bapa, Pilih Bahagiakan Keluarga Dulu Sebelum Berkahwin [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ini Antara Zikir & Amalan Sunat Yang Boleh Anda Lakukan Sepanjang Ramadan
Baca Artikel Berkaitan: Hadiahkan Kereta Buat Mak Ayah, Eyra Hazali Mahu Terus Bahagiakan Ibu Bapa