Wanita Alami Masalah Obesiti Boleh Menyebabkan Hormon Terganggu
Menurut Dr Kim Liow, masalah PCOS akan menyebabkan wanita mengalami masalah ketidaksuburan kerana ovari berfungsi secara tidak normal dan mengeluarkan hormon androgen secara berlebihan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tak dinafikan masalah obesiti merupakan salah satu perkara yang membimbangkan dalam sektor kesihatan.
Ini kerana masalah berat berlebihan atau obesiti ini dilihat semakin meningkat di beberapa negara termasuklah Malaysia malah dianggarkan hampir 20% dari populasi di negara ini diklasifikasikan sebagai obes, lapor Kosmo.
Jumlah individu alami masalah obesiti mungkin meningkat sehingga 41% pada 2035
Memetik laporan akhbar itu lagi, Atlas Obesiti Dunia turut meramalkan jumlah tersebut boleh meningkat sehingga 41% menjelang 2035.
Oleh itu, adalah penting untuk negara mempunyai strategi dalam pencegah serta rawatan komprehensif yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini.
Ini kerana, obesiti juga boleh membawa kepada peningkatan penyakit kronik selain turut menjadi tiga punya utama kepada penyakit gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi, serta kolestrol tinggi.
Untuk maklumkan hampir setengah juta orang dewasa di negara ini hidup dengan empat masalah terbabit.
Masalah obesiti beri kesan kepada kesihatan mental dan emosi dan menjadi sebab kepada masalah penyakit kronik
Selain itu, ia bukan hanya sekadar masalah berat berlebihan bahkan ia juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan emosi yang secara tidak langsung membuatkan kesihatan merosot.
Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Lim Kim Piow masalah obesiti ini juga selalu dikaitkan dengan kemurungan serta kebimbangan.
Katanya perkara itu boleh menggalakkan tabiat makan secara berlebih sehingga membawa kepada gaya hidup yang tidak sihat, alami peningkatan berat badan serta membuatkan kesihatan menjadi teruk.
“Obesiti diklasifikasikan oleh Indeks Jisim Basan (BMI) 27.5 atau lebih.
“Salah satu faktor risiko yang menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk diabetes, strok, serangan jantung, penyakit buat pinggang kronik, gout, apnea tidur obstruktif (OSA), penyakit hati berlemak, kemurungan, kebimbangan dan lain-lain.
“Obesiti boleh menyebabkan rintangan insulin, lalu memaksa pankreas bekerja lebih keras untuk menghasilkan banyak insulin untuk mengatasi masalah ini.
“Ini akan mengakibatkan hyperinsulinemia (bacaan gula dalam darah melebihi tahap normal),” ujarnya.
Sekitar 7 juta rakyat Malaysia dijangkakan akan alami masalah diabetes
Perkara itu juga boleh bermanifestasi untuk menjadi prediabetes serta diabetes jenis 2. Tambahnya Malaysia juga merupakan negara yang mempunyai kadar diabetes tertinggi didunia dengan jumlah lebih 3.6 juta disahkan mempunyai penyakit tersebut pada 2019.
Malah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga menjangkakan jumlah itu akan meningkat pada 2025 dan memberi kesan kepada lebih kurang 7 juta rakyat di negara ini.
Apa yang lebih membimbangkan ada segelintirnya tidak menyedari mereka mempunyai masalah diabetes.
Obesiti & diabetes juga boleh menyebabkan wanita menghidap PCOS dan masalah kesuburan
Selain masalah tersebut, masalah obesiti juga boleh membawa kepada gangguan keseimbangan hormon khususnya wanita.
Malah mereka yang mempunyai sejarah atau menghidap diabetes jenis 2 mempunyai risiko tinggi menghidap Polycytic Ovary Syndrome (PCOS) iaitu sejenis penyakit yang juga dikaitkan dengan obesiti.
Antara simptom yang dialami untuk masalah PCOS ini adalah:
- Haid tidak teratur
- Mempunyai bulu di muka atau badan secara berlebihan disebabkan hormon androgen (hormon lelaki) meningkat.
- Menjadi salah satu sebab masalah ketidaksuburan kerana ovulasi tak teratur atau tiada ovulasi.
Ujar Dr Kim lagi, masalah PCOS dan obesiti saling berkait menerusi hyperinsulinemia serta proses metabolik dalam badan yang kurang atau tidak berfungsi dengan baik.
“Ini menyebabkan ovari berfungsi secara tidak normal dan pengeluaran hormon androgen yang berlebihan, lalu menyumbang kepada simptom PCOS.
“Jika dibiarkan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan ketidaksuburan.”
Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilakukan dalam mengendalikan masalah obesiti dengan berkesan adalah mengetahui kesan kepada kesihatan secara menyeluruh.
Pesakit atau individu alami masalah obesiti perlu sedar mereka berdepan dengan pelbagai komplikasi kesihatan
Beliau turut menekankan kepentingan untuk mempunyai kesedaran serta pesakit juga perlu sedar dan terima kenyataan bahawa masalah obesiti boleh membawa kepada bermacam-macam komplikasi kesihatan seperti menjejaskan jantung, otak mahupun buah pinggang.
Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah proaktif yang perlu dilakukan untuk menangani masalah obesiti.
“Memberi perhatian kepada kedua-dua tabiat peribadi dan faktor genetik boleh membantu memupuk keazaman serta kecekalan seseorang dalam perjalanan menurunkan berat badan.
“Ini akan mengubah rasa bersalah dan kekecewaan kepada strategi penjagaan kesihatan yang lebih berkesan,” katanya.
Perlu ikut diet dan buat pantauan kesihatan
Antara stratergi yang disyorkan oleh Dr Kim adalah pengurusan makanan di mana mereka yang mempunyai masalah obes perlu mengikut diet yang rendah kalori, karbohidrat dan melakukan pemantauan kendiri.
“Setiap orang boleh merekod pengambilan makanan melalui jurnal atau menggunakan aplikasi telefon mudah alih. Inisiatif ini sememangnya dapat membantu mengekalkan kesedaran tentang tabiat pemakanan.
“Pemeriksaan kesihatan secara rutin juga penting untuk diagnosis awal dan mencegah sebarang penyakit.”