Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Kanak-kanak pada sekitar akhir tahun 90-an dan awal 2000 pasti pernah menonton siri rancangan televisyen pendidikan interaktif kanak-kanak dari Amerika Syarikat (AS) iaitu ‘Blue’s Clues’.
Di awal kewujudan Blue’s Clues dari tahun 1996 sehingga 2002, rancangan itu dihoskan oleh pelakon dan penyanyi AS iaitu Steve Burns sebelum digantikan oleh Donovan Patton sebagai Joe dan beberapa hos yang lain.
Mereka yang menonton rancangan di saat Steve mengendalinya, pasti sudah melonjak dewasa dan masuk ke alam pekerjaan, bahkan sudah ada yang berkahwin dan mempunyai anak.
Setelah 22 tahun, Steve kembali tanya khabar penonton Blue’s Clues
Setelah 22 tahun meninggalkan rancangan itu, Steve menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya telah menanyakan khabar kepada orang ramai.
Steve yang memakai pakaian berwarna biru seolah-oleh memberi bayangan bahawa soalan itu ditujukan kepada bekas penonton-penonton Blue’s Clues.
“Hi, apa khabar? Bagaimana keadaan awak? Apa yang baru? Saya hanya ingin menyapa, awak hebat,” katanya.
Dalam video terbabit, kelihatan raut wajah Steve yang kini sudah berusia 51 tahun itu agak ‘suram’ tidak seperti watak cerianya di dalam rancangan itu.
Orang ramai pakat kongsi kisah hidup, dulu kanak-kanak kini sudah dewasa
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial yang pernah menonton Blue’s Clues tampil menceritakan tentang kehidupan mereka kini.
Apa yang menyedihkan, ada juga yang meluahkan tentang kisah duka yang dilalui mereka bahkan mengakui kehidupan yang sebenar di alam dewasa amatlah sukar tidak seperti di zaman kanak-kanak dahulu.
Untuk info, rancangan Blue’s Clues mengisahkan tentang seekor anjing berwarna biru bernama ‘Blue’ yang akan meninggalkan jejak petunjuk iaitu cap kaki untuk Steve (hos) dan penonton meneka apakah rancangannya untuk hari itu.