fbpx
Now Reading
Ada Yang Bandingkan Dengan Khairul Aming? Ini Respon Chef Wan

Ada Yang Bandingkan Dengan Khairul Aming? Ini Respon Chef Wan

Menurut Chef Wan, Khairul Aming juga menjadi inspirasi kepadanya dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan influencer dan usahawan, Khairul Aming yang menerima kunjungan daripada Perdana Menteri (PM) New Zealand, Christopher Luxon.

Perkara itu secara tidak langsung membuatkan ramai yang kagum dengannya ekoran video memasak yang dirakam oleh Khairul Aming di New Zealand turut mendapat perhatian Luxon.

Ada yang bezakan Khairul Aming & Chef Wan

Namun selepas video itu dikongsikan oleh Khairul Aming di media sosialnya, terdapat seorang influencer yang dikenali sebagai Thaqibshaker mendakwa terdapat pihak yang membezakan usahawan berkenaan dengan cef terkenal Malaysia, Chef Wan.

Umum mengetahui Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail merupakan seorang selebriti cef yang terkenal di Malaysia, malah bagi mereka yang membesar pada tahun 90-an pasti pernah melihat susuk figura ini dalam beberapa rancangan memasak di televisyen.

Minta orang ramai jangan bandingkan kerana keduanya mempunyai kualiti tersendiri

Thaqib dalam video itu meminta orang ramai untuk tidak membandingkan dua figura ini. Ini kerana, Chef Wan juga mempunyai kejayaan yang tersendiri dalam mengharumkan nama negara di mata dunia menerusi beberapa anugerah yang dimenanginya.

Antaranya adalah Chef TV Terbaik 2009 serta pernah menyertai rancangan No Reservation pada tahun 2005.

Malah Thaqib menyifatkan kedua mereka merupakan individu yang hebat, berkualiti dan berjasa kepada negara.

Tiada keperluan untuk membanding-bandingkan Chef Wan dengan Khairul Aming

Sedar mengenai video tersebut, Chef Wan kemudian tampil di Instagram rasminya tampil memberi penjelasan mengenai isu banding-membandingkan itu.

Menurut Chef Wan, dia hanya ketawa apabila ada yang membanding-bandingkannya mereka berdua. Katanya kedua mereka mempunyai pengalaman serta pencapaian masing-masing.

“Atok orang lama nak, dah masuk zaman purba pun. Layan TikTok pun tak ada masa apatah lagi ada akaun TikTok tu. Buat apa lah kita nak bandingkan pengalaman dan pencapaian masing-masing,” katanya dalam hantaran itu.

Jelas Chef Wan selepas 34 tahun kerjayanya dalam televisyen, jika masih ada yang tidak melihat sumbangan yang diberikan ia tidak memberi sebarang kesan kepadanya.

“Selepas 34 tahun kerjaya TV saya dan sumbangan yang diberikan kepada negara. Jika mereka tak nampak pun, tak berkudis badan saya.

“Setiap orang mempunyai pendapat sendiri dan saya hormatinya. Bagiamana nak membandingkan kami, kerana keduanya dari kerjaya dan pengalaman yang jauh berbeza. Oleh itu, untuk apa segala perbandingan itu?”

Chef Wan juga mengatakan semua orang mempunyai momen dalam kehidupan masing-masing dan dia pula sudah mempunyai perjalanan hidup yang jauh. Malah dia memilih untuk berdiam dan tidak tampil untuk memberikan sebarang kenyataan kerana takut disalahertikan.

“Atok dah pencen nak! Saya lebih selesa di tempat saya dan menikmati hari-hari persaraan saya.

“Malah ia adalah perjalanan yang panjang, mencabar dan meletihkan. Jika orang berjaya pun kita mesti iringi dengan doa yang baik-baik untuk mereka. Beliau (Khairul Aming) juga menjadi sumber inspirasi kepada saya dan seluruh rakyat Malaysia untuk dibanggakan. Alhamdulillah.

“Jutaan terima kasih atas segala komen anda. Pembenci akan sentiasa membenci. Tidak ada yang baik akan datang dari hati mereka walau apa sekalipun yang kita lakukan. Biarkan saja,” katanya di ruang kapsyen.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.