Dua Lipa Suka Rendang & Kopi Di Malaysia, Akui Tak Sabar Kembali Ke Negara Ini
Dua Lipa yang bakal mengadakan konsertnya di Malaysia pada 23 November depan mengakui tidak sabar untuk kembali ke negara ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penyanyi dan penulis lirik lagu terkenal, Dua Lipa masih segar mengingati pelbagai kenangan manis yang dilaluinya semasa kunjungannya ke Malaysia pada 2017 dan 2018 lalu.
Lipa akui bahawa dia tidak sabar kembali ke sini pada bulan November nanti dan akan menerokai lebih banyak hal menarik sebagai agenda wajibnya.
Dua Lipa suka makanan-makanan di Malaysia
Lebih menarik lagi, penyanyi kelahiran London dan berdarah Albania itu turut mengakui dia amat menggemari makanan-makanan di negara ini.
“Rakyat (Malaysia) dan tenaganya yang sentiasa indah. Saya suka makanannya. Saya pernah cuba rendang yang sedap. Kopi pun sangat enak. Saya nikmati waktu pagi yang indah di sana.
“Saya juga ada mencuba makanan roti kembang seperti bersusu. Kurang pasti kalau roti itu warisan tradisional di sana atau tidak.
“Ke mana saja saya pergi, saya suka cipta rutin baharu sendiri, tak kisahlah hal kecil saja seperti cari kopi dan pastri. Itu antara kenangan manis saya ingat dan tidak sabar meneroka banyak lagi,” katanya dipetik Harian Metro.
Dua Lipa luangkan masa belajar perkara baharu di tempat dikujunginya
Pelantun lagu ‘Levitating’ itu turut menekankan betapa pentingnya untuk dia meluangkan masa belajar perkara baharu di mana-mana lokasi yang dikunjunginya.
“Berjalan-jalan adalah perkara nombor satu yang harus saya buat, saya mahu ke satu tempat dan cari pengalaman. Saya tak mahu teroka dunia, tapi tak nampak apa-apa,” katanya lagi.
Konsert Dua Lipa Radical Optimism Asia Tour di Axiata Arena November depan
Lipa bakal mengadakan konsertnya di Malaysia untuk kali kedua menerusi Dua Lipa Radical Optimism Asia Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 23 November depan.
Lipa sebelum ini pernah beraksi di Festival Good Vibes di Genting Highlands pada tahun 2017 dan kemudian tampil mengadakan konsert solonya di KL Live, Life Centre, pada 2018.
Semasa berada di Malaysia sebelum ini, dia sempat mengunjungi beberapa tempat menarik termasuklah kuil Batu Caves, Jalan Alor dan melawat sebuah lukisan mural wajahnya di stesen LRT Datuk Keramat.
Dua Lipa namakan Kuala Lumpur sebagai bandar paling menarik pernah dilawatinya
Sekitar tahun lalu, Dua Lipa mencuri tumpuan apabila menamakan Kuala Lumpur sebagai bandar paling menarik yang pernah dilawatinya.
“Terdapat banyak tempat yang pernah saya kunjungi, tapi Kuala Lumpur adalah kegemaran saya. Saya telah melawat banyak kuil di sana.
“Ia adalah salah satu dari pengalaman menarik yang saya rasakan semasa berada di Asia,” katanya.