Tindakan Pemandu Van Sekolah Kaburkan Muka Murid Dalam Rakaman & Beri Tips Melintas Raih Pujian [Video]
Apa yang lebih menarik, pemandu bas turut memberi pesanan untuk melintas di jalan raya setiap kali menurunkan murid di depan rumah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap ibu bapa pastinya bimbang apabila terpaksa membiarkan anak mereka menaiki bas atau van apabila pulang dari sekolah.
Namun perkara itu perlu dilakukan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan seperti tidak mempunyai kenderaan, ibu bapa bekerja serta banyak lagi.
Meskipun bimbang, ibu bapa juga terpaksa meletakkan kepercayaan kepada pemandu bas atau van sekolah yang diupah untuk menghantar anak mereka ke rumah dengan selamat.
Pemandu van sekolah raih perhatian ramai ketika hantar murid sekolah
Mengambil kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa kepadanya, seorang lelaki yang juga pemandu van sekolah di Johor Bharu telah menarik perhatian ramai dengan sikapnya dalam menghasilkan konten dan mengendalikan kerjanya.
Menerusi video dashcam yang dimuat naik oleh Aman Fadhli di TikTok, awalnya kelihatan dia ketika itu sedang menjalankan tugas untuk menghantar seorang murid lelaki ke rumahnya.
Siap bagi pesanan sebelum budak lintas jalan
Namun apa yang mencuri tumpuan, sebaik sahaja sampai ke destinasi yang dituju Aman segera memberi pesanan kepada pelajar berkenaan untuk melintas jalan dengan cara yang betul..
Antaranya dia meminta pelajar lelaki itu untuk lalu di belakang, memberikan laluan kepada van terlebih dahulu serta melihat ke kiri dan kanan sebelum melintas jalan.
Kaburkan muka murid
Bukan hanya itu, pemandu van ini turut mengaburkan wajah pelajar tersebut dipercayai kerana faktor umurnya atas tujuan keselamatan.
Sebaik melihat pelajar turun dengan selamat, barulah Aman bergerak sambil melihat ke cermin sisi untuk memastikan pelajar tidak melintas sebelum dia berlalu pergi.
“Setiap hari kita pesan. Budak-budak lain pun kita pesan juga. Kalau kita nak reverse (undurkan van), kita suruh di lalu depan. Kalau kita nak ke depan, kita suruh (pelajar) lalu belakang. Alhamdulillah masing-masing dengar cakap.
“Kalau tak, abang memang jerit,” kata di kapsyen sambil ketawa.
Semakan kami sebelum ini Aman juga ada berkongsi tips tentang keselamatan murid-murid yang menaiki van dan bas sekolah.
Antaranya adalah cara menunggu, menaiki, dan turun dari bas.
Ramai puji konten lelaki bermanfaat
Melihat di ruangan komen ramai yang memuji tindakan Aman apabila mengaburkan wajah kanak-kanak itu agar identitinya tidak didedahkan sebelum memuat naik video di media sosial.
Malah mereka juga turut menghargai usaha pemandu itu kerana kerap memberi pesanan kepada pelajar setiap kali mereka ingin melintas jalan. Ini kerana, murid juga akan sentiasa mempraktikkan pesanan tersebut.