“Kita Ada Peluang” – UAI Kongsi 3 Perkara Yang Bolehkan Manusia Bangkit Berpakaian Di Hari Akhirat [Video]
Menurut Ustaz Azhar Idrus, terdapat empat golongan yang akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan berpakain dengan yang pertamanya adalah para Nabi dan Rasul.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk beriman dengan hari akhirat kerana ia merupakan salah satu daripada enam rukun iman.
Kebanyakan orang pasti tahu bahawa hari akhirat bermaksud hari berlakunya kehancuran seluruh alam dan diikuti dengan manusia dibangkitkan dalam keadaan telanjang tanpa pakaian.
Dalam keadaan sebegitu, manusia akan berjalan dan berhimpun di Padang Mahsyar untuk dihintung amalan bagi menentukan sama ada ke syurga ataupun neraka berdasarkan amalan semasa berada di dunia.
4 golongan tak akan telanjang di hari akhirat, pertama Nabi & Rasul
Bagaimanapun, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra disapa UAI menjelaskan terdapat empat golongan yang akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan tidak bertelanjang, atau dalam bahasa mudahnya berpakaian.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, UAI berkata golongan pertama yang akan dibangkitkan dalam keadaan berpakaian adalah para Nabi dan Rasul.
“Dalam hadis sahih, nabi-nabi dibawakan baju daripada syurga, ini hadis, cerita alam kiamat kita tak boleh nak reka,” katanya.
Orang yang mati dalam ihram dan orang yang mati syahid semasa berperang
Menurutnya, golongan kedua pula ialah mereka yang meninggal dunia di dalam ihram (sedang tunaikan umrah) di mana mereka akan dibangkitkan dalam keadaan memakai pakaian itu sambil bertalbiah.
Jelas UAI lagi, mereka yang meninggal dunia kerana mati syahid juga akan dibangkitkan dalam keadaan memakai pakaiannya semasa meninggal dunia ketika berperang.
Golongan keempat orang yang sedekahkan pakaian semasa di dunia
“Yang (golongan) keempat ini kita ada peluang, sebab apa? Orang yang ketika hidup di dunia, dia sedekah pakaian kepada orang miskin.
“Jadi kita ada peluang yang nombor empat, kita sedekah pakaian kepada orang susah di dalam dunia,” katanya lagi.
Pun begitu, UAI berkata pakaian yang ingin disedekahkan kepada orang-orang susah itu mestilah baju atau seluar yang masih elok digunakan serta tiada kerosakan.
UAI berkata demikian selepas diajukan soalan oleh salah seorang individu tentang apakah amalan supaya tidak bangkit dalam keadaan telanjang pada hari akhirat semasa sesi soal jawab agama di sebuah masjid pada baru-baru ini.