Penduduk Selangor Dijangka Hidup Paling Lama – Jabatan Perangkaan Malaysia
Menurut Ketua Perangkawan, terdapat tiga negeri mempunyai jangkaan hayat melebihi paras nasional pada 2024 iaitu Selangor, Labuan dan Kuala Lumpur.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kematian merupakan antara perkara yang paling ditakuti ramai, namun tiada siapa yang dapat melarikan diri daripada merasainya.
Setiap manusia mempunyai jangka hayat yang tidak sama, ada yang meninggal dunia ketika kecil atau masih muda, dan ada pula yang menghebuskan nafas terakhir di usia tua.
Bahkan asbab kematian seseorang itu juga berbeza-beza seperti kemalangan, sakit mahupun mati mengejut.
Penduduk Selangor dijangka hidup paling lama
Pun begitu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan penduduk Selangor akan hidup paling lama berbanding negeri lain berdasarkan data yang dikeluarkan mereka hari ini (30 September).
Dalam Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2022-2024, Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi tempoh sama.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, terdapat tiga negeri mempunyai jangkaan hayat melebihi paras nasional pada 2024 iaitu Selangor, Labuan dan Kuala Lumpur.
“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran pada 2024 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.2 tahun), manakala Samarahan, Sarawak, tertinggi bagi 2023 (79.6 tahun) dan 2022 (79.5 tahun),” katanya dipetik Kosmo.
Daerah Kuala Penyu, Sabah catat jangkaan hayat ketika lahir terendah
Daerah Kuala Penyu di Sabah pula mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi tempoh 2022-2024 di mana secara keseluruhannya hanya 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional
“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki di Samarahan, Sarawak (79.6 tahun), manakala perempuan di Petaling (82.1 tahun),” ujarnya.
Jangka hayat ketika lahir 2014 hingga 2019 meningkat
Menurut Mohd. Uzir, bagi tempoh 2014 hingga 2019, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 0.3 tahun dengan lelaki meningkat 0.1 tahun manakala perempuan pula 0.4 tahun.
Pun begitu jelasnya, bagi 2020 hingga 2022, jangkaan hayat ketika lahir menurun 0.9 tahun dengan lelaki menurun 1.0 tahun, sementara perempuan pula 0.8 tahun.
“Bagi tahun 2023 hingga 2024, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 tahun.
“Peningkatan ini disebabkan jumlah kematian pada tahun 2023 dan 2024 telah berkurangan berbanding 2021 dan 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan lagi, bayi yang lahir pada 2024 secara purata dijangka hidup sehingga 75.2 tahun yang mana bayi perempuan akan hidup 4.8 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki, lapor Sinar Harian.