
Enggan Anak Tercicir Pelajaran, Bapa Sanggup Teman Berjalan Kaki 6KM Setiap Hari Ke Sekolah
Menurut Abbe, Izara seorang pelajar yang rajin malah dia akan mengulang kaji pelajaran sebaik pulang meskipun perlu berjalan sejauh 3km dari sekolah ke kediamannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seseorang yang bergelar sebagai bapa pasti akan sanggup melakukan apa sahaja demi anak tercinta.
Malah mereka juga sanggup berkorban tenaga, masa dan sebagainya bagi memastikan anak-anaknya mendapatkan pendidikan yang secukupnya kerana tahu hanya ilmu dapat memberikan kehidupan lebih baik kepada mereka.
Bapa sanggup berjalan bersama anak 6km setiap hari untuk hantar anak ke sekolah
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang bapa apabila sanggup berjalan sejauh 6 kilometer (km) bersama anaknya yang dikenali sebagai Izara.
Perjalanan 6km merupakan perjalanan pelajar itu dan bapanya pergi dan pulang dari sekolah. Adakalanya Izara akan penumpang penduduk yang kebetulan berselisih dengan dua beranak berkenaan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik seorang aktivis amal Azhan Adnan atau turut dikenali sebagai Abbe Hae di Facebook, dia telah bertemu dengan keluarga Izara di Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.
“Sekolah Izara agak jauh jika dibandingkan dengan sekolah kakaknya, kakaknya di sekolah menengah dalam tingkatan 2. Jarak sekolah kakaknya hanya 1.5km dari rumah. Jarak sekolah Izara pula 3km dari rumah dan Izara berada di darjah 6,” ujarnya.
Motosikal bapa rosak dan ada masalah kewangan untuk baiki
Sebelum ini, kanak-kanak itu dihantar oleh bapanya menggunakan motosikal namun kenderaan tersebut rosak dan ekoran masalah kewangan yang dihadapi, si bapa tidak dapat untuk membaikinya.
Namun bapa mengambil tanggungjawab tersebut apabila sanggup berjalan kaki dengan anak kerana tidak mahu si kecil itu tercicir dari pelajarannya.
Izara seorang pelajar yang rajin
Abbe Hae turut menyifatkan Izara seorang pelajar yang rajin belajar malah sebaik sahaja sampai di rumah selepas pulang dari sekolah dia akan terus mengulang kaji pelajaran.
“Disebabkan komitmen Izara dalam pelajaran maka Abbe akan sediakan biasiswa bulanan buat Izara bermula Oktober 2023.
“Abbe telah minta bantuan pemberi maklumat tentang keluarga ini agar hantar motosikal bapa Izara untuk dibaiki secepat mungkin agar mereka tidak lagi berjalan kaki ke sekolah dan segala kos ditanggung oleh pihak kami.
“Semoga Izara menjadi anak yang berjaya satu ketika nanti. Terima kasih buat pemberi maklumat Jep dan Imam Masjid Kampung Bukit Abal, Kelantan.”

Ramai ingin beri bantuan selepas tular kisah adik Izara
Melihat di ruangan komen, kisah adik Izara dan bapanya yang sanggup berjalan jauh demi menuntut ilmu menarik perhatian ramai
Malah ramai mendoakan Izara menjadi pelajar yang berjaya suatu hari nanti, tidak kurang juga ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kepada bapa Izara.
“Semoga anak-anak keluarga ini akan jadi orang kaya baik dan berjaya suatu masa nanti”

“Allah, macam mana saya nak bantu?”
