Lelaki Didakwa Pecahkan Cawan Di Kedai Makan Hanya Kerana Ditegur Merokok [Video]
Pemerhatian kami menerusi video bagaimanapun tidak menemui sebarang aksi merokok membabitkan dua pelanggan restoran di Seremban itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum sedia maklum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah mengeluarkan garis panduan di mana premis restoran merupakan kawasan larangan merokok walaupun berada di kawasan terbuka.
Mereka yang mahu merokok dikehendaki berada pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari luar kedai makan.
Meskipun penguatkuasaan ini telah dijalankan, namun masih wujud segelintir pihak yang tidak memandang serius perkara tersebut. Ini boleh dilihat apabila ramai yang masih selamba menyalakan rokok di dalam premis.
Baca Artikel Berkaitan: KKM Bakal Siasat Dakwaan Individu Merokok Dalam Restoran Di Putrajaya
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Tunjuk Lagak Samseng Merokok Di Kedai Makan, KKM Bakal Ambil Tindakan
Lelaki Didakwa Pecahkan Cawan Di Restoran Selepas Dipercayai Ditegur Akibat Merokok
Menerusi satu video dimuat naik di laman X (@update1111), seorang lelaki di Seremban, Negeri Sembilan dipercayai telah berkelakuan agresif dengan memecahkan gelas di sebuah kedai makan.
Kapsyen pada video mendakwa dia bertindak demikian hanya kerana berang selepas ditegur merokok di restoran itu.
Dalam rakaman kamera litar CCTV berdurasi dua minit itu, kelihatan dua orang lelaki sedang menikmati minuman mereka di Restoran Seng Loong Seremban Jaya sebelum didatangi pekerja restoran.
Meskipun dialognya tidak diketahui, namun visual menunjukkan seolah-olah pekerja itu sedang menegur salah seorang daripada mereka yang dipercayai merokok.
Tidak lama selepas itu, lelaki yang memakai baju t-shirt berwarna hijau itu dilihat sengaja menolak cawan minuman jatuh ke atas lantai sehingga pecah.
Mereka berdua kemudiannya dilihat selamba beredar daripada kedai berkenaan.
Aksi tersebut juga telah menarik perhatian beberapa pelanggan yang berada di kawasan berhampiran mereka.
Malah, pekerja restoran juga melihat apa yang berlaku dan dipercayai mengambil gambar di lokasi cawan tersebut pecah.
Namun, pemerhatian kami pada video berdurasi dua minit itu tidak menemui sebarang aksi merokok membabitkan kedua-dua pelanggan restoran di Seremban itu.
Marah bila ditegur utk jgn merokok.. Masih juga merokok dlm premis restoran. Lepastu pecahkan cawan kopi mcm tu je.
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) September 30, 2024
Lokasi Restoran Seng Loong Seremban Jaya. pic.twitter.com/7CxU7A9RAC
Orang Ramai Bengang Lihat Sikap Pelanggan Tersebut
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata masyarakat mengutuk sikap pelanggan berkenaan yang dikatakan tidak menerima teguran berkenaan larangan merokok di premis kedai makan.
Malah, mereka turut meminta agar individu tersebut ditangkap oleh pihak polis sebagai balasan kepada tindakan yang dilakukannya.
Selain itu, sesetengah pengguna media sosial berpendapat bahawa segelintir perokok akan bersikap baran apabila ditegur tentang perbuatan mereka yang merokok dalam restoran.
“Diorang ni memang tak boleh tegur. Aku pernah tegur member merokok kat kedai makan. Dia cakap kalau tak suka bau rokok boleh pergi meja lain,” ujar netizen.
Pada masa sama, orang ramai turut memuji pihak premis yang berani menegur pelanggan mereka yang selamba merokok dalam premis.
Larangan Merokok Dalam Kedai Makan
Merokok di dalam premis makanan adalah satu kesalahan dan individu yang ingkar boleh dikenakan denda seperti berikut:
- Kesalahan pertama: RM250
- Pengurangan ditawarkan kepada RM150 jika kompaun dibayar dalam tempoh sebulan.
- Kesalahan kedua: RM250
- Tiada pengurangan kompaun ditawarkan.
- Kesalahan ketiga: RM350
Selain itu, pemilik premis juga boleh didenda sekiranya tidak mempamerkan notis larangan merokok.
Tanpa sebarang pengurangan kompaun, pemilik premis boleh dikenakan denda RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala kesalahan ketiga pula adalah RM350.
Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) Dikuatkuasa Mulai 1 Oktober
Akta Kawalan Produk Rokok (Akta 852) dikuatkuasakan bermula hari ini (1 Oktober) dengan beberapa aspek yang dijalankan serta-merta serentak dengan Peraturan-Peraturan serta Perintah di bawahnya.
Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa termasuklah aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada individu bawah umur.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, penguatkuasaan akta ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu serta-merta dan penguatkuasaan pendidikan.
Aspek-aspek yang dikuatkuasakan secara serta-merta adalah seperti berikut:
- Peruntukan yang melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja bagi mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
- Peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok.
- Tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.
Di samping itu, penguatkuasaan pendidikan akan dilaksanakan bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa, yang termasuk tiga aspek iaitu:
- Pendaftaran produk merokok, yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.
- Pembungkusan dan pelabelan, yang akan dikuatkuasakan mengikut produk (product-by-product), selewat-lewatnya 1 Oktober 2025.
- Kawasan jualan termasuk pameran di kaunter jualan, yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.
Baca Artikel Berkaitan: KKM Kuat Kuasa Akta 852 Berkaitan Kawalan Produk Rokok Mulai Hari Ini, 1 Oktober
Baca Artikel Berkaitan: Isetan Letak Rokok Di Seksyen ‘Non-Halal’ Undang Perhatian Ramai