Program Khas Peralihan Lesen B2/B1 Ke B Full: Ini Syarat-syarat Kelayakan Yang Perlu Diketahui
Jika ada salah satu daripada kesemua syarat yang tidak dipenuhi, maka secara automatiknya permohonan anda untuk menyertai program peralihan dari Kelas B2/B1 kepada B adalah tidak layak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bermula semalam (1 Oktober), pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 untuk tempoh 10 tahun dan lebih layak untuk beralih ke LLM Kelas B (B full) yang membolehkan mereka menunggang motosikal berkuasa 250cc ke atas.
Semakan kelayakan bagi Program Khas Peralihan LLM Kelas B2/B1 Kepada LLM Kelas B itu boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam dan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pun begitu, terdapat beberapa individu yang telah melakukan semakan tampil menyatakan bahawa mereka tidak layak untuk menyertai program terbabit meskipun sudah mempunyai lesen motosikal melebihi 10 tahun.
Bukan hanya perlu 10 tahun dan ke atas, ada lagi syarat-syarat kelayakan lain
Untuk pengetahuan ramai, selain perlu memiliki lesen B2/B1 dalam tempoh yang ditetapkan itu, terdapat beberapa syarat kelayakan lain untuk melayakkan seseorang menyertai program ini.
Berikut syarat-syarat kelayakan menyertai program ini:
- Warganegara Malaysia.
- Memegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas B2/B1 telah mencukupi tempoh 10 tahun dan ke atas yang sah dan berkuat kuasa.
- Tempoh kuatkuasa CDL Kelas B2/B1 aktif berterusan.
- Tiada rekod tamat kuatkuasa CDL Kelas B2/B1 atau tidak pernah dikenakan fi penyelarasan sepanjang tempoh 10 tahun pemilikan lesen bagi kelas tersebut.
- Bebas senarai hitam JPJ & PDRM, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod disabitkan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.
Wajib penuhi kelima-lima syarat untuk layak sertai program
Pemegang LLM atau CDL wajib memenuhi kelima-lima syarat ini untuk melayakkan diri menyertai Program Khas Peralihan LLM Kelas B2/B1 Kepada LLM Kelas B.
Jika ada salah satu daripada kelima-lima syarat ini yang tidak dipenuhi, maka secara automatiknya permohonan menyertai program adalah tidak layak.
Semakan kami pada syarat-syarat ini mendapati, antara punca yang menyebabkan segelintir pemegang lesen B2/B1 tidak layak adalah kerana syarat nombor tiga iaitu tempoh kuatkuasa CDL Kelas B2/B1 aktif berterusan.
Syarat ini bermakna, pemegang lesen motosikal perlu memastikan mereka tidak pernah terlambat memperbaharui LLM sebelum tamat tempoh.
Perlu hadir ke Institusi Memandu terpilih untuk daftar program, caj RM160 akan dikenakan
Sekiranya layak, pemohon boleh hadir ke mana-mana Institusi Memandu (IM) yang terpilih di seluruh Malaysia dan mendaftar untuk mengikuti program ini.
Selain itu, pemegang lesen juga hendaklah membuat pengesahan kendiri tentang kesihatan tubuh badan, fizikal dan minda semasa pendaftaran di IM.
Caj sebanyak RM160 akan dikenakan semasa pendaftaran dilakukan di IM, kadar fi ini adalah merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (2 jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar) dan fi ujian JPJ.