“Saya Jadi Terkedu” – Tular Video Tak Salam Mat Sabu, CEO MADACorp Mohon Maaf & Beri Penjelasan [Video]
Menurut Abdullah Ismail, dia telah bersalaman dengan Mohamad Sabu sebaik sahaja Menteri KPKM itu keluar dari kenderaannya sebelum mengiringi beliau bersalaman dengan pegawai-pegawai yang lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kelmarin (30 September), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengadakan kunjungan ke Kedah untuk meninjau kawasan sawah padi yang terjejas akibat bencana banjir di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Dalam lawatan rasmi itu, Mohamad Sabu atau lebih popular dengan gelaran Mat Sabu turut memberikan sumbangan kepada 2,074 orang pesawah dan pengusaha-pengusaha pertanian di bawah kementeriannya.
Tular video rakam momen CEO MADACorp tak sahut salam Mohamad Sabu
Bagaimanapun, tular pula satu video yang secara tidak sengaja merakam momen Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MADACorp), Abdullah Ismail yang tidak menyahut salam menteri itu.
Video lawatan rasmi Mat Sabu yang dimuat naik oleh Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Annuar Aris di akaun TikTok miliknya itu kemudiannya mendapat perhatian ramai setelah ditularkan di laman X.
Apa la masalahnya ni sampai @MSabuOfficial hulur tangan untuk bersalaman pon dia simpan tangan tu. Macam kena gari kat belakang badan.
— Saifullah Al-BotaKiri ⚪🟡⚫ (@SaifulAdn) October 1, 2024
CEO agensi kerajaan pon tak beradab ni, memalukan. pic.twitter.com/cSotjhHjHC
CEO MADACorp tampil mohon maaf dan beri penjelasan
Cakna dengan perkara itu, Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini (2 September) tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan kekeliruan yang timbul.
Menurutnya, dia sebelum itu telah bersalaman dengan Mat Sabu sebaik sahaja menteri itu keluar dari kenderaannya sebelum mengiringinya bersalaman dengan pegawai-pegawai yang lain.
“Ketika mengiringi Mat Sabu bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan saya.
“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” katanya.
Akui kesilapan, berharap semua pihak terima permohonan maafnya
Susulan itu, Abdullah mengakui kesilapannya kerana tidak bersalaman dengan Mohamad Sabu dan memohon maaf atas salah faham yang telah berlaku.
Menurutnya lagi, dia juga berharap agar penjelasan dan permohonan maaf ini diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatannya itu.
Sebelum ini, video sohor berkenaan telah mencetuskan kemarahan ramai orang yang menyifatkan perbuatan tidak menyambut salam tersebut sebagai sesuatu yang sangat biadap apatah lagi beliau memegang jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan.
Malah, ada yang menggelarkannya sebagai ‘buruk akhlak’ selain meminta dia untuk ditamatkan kontrak dan dituduh penyokong parti pembangkang.