“Anak Abah Ni, Meninggal Pagi Tadi”- Reaksi Bapa Selepas Tahu Anak Sudah Tiada Raih Perhatian Ramai [Video]
Menerusi video kelihatan wajah bapanya terkejut apabila Rembor memaklumkan anak lelakinya itu sudah meninggal dunia kerana sakit paru-paru.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kehilangan individu yang disayangi merupakan salah satu perkara sukar untuk diterima apatah lagi yang pergi itu merupakan ibu, bapa, anak, atau adik-beradik tercinta.
Namun sukar juga buat individu yang dipertanggungjawabkan untuk memaklumkan mengenai kematian seseorang.
Ini kerana, ia bermain dengan perasaan dan emosi seseorang agar mereka dapat menerima satu berita menyedihkan itu dalam keadaan yang tenang.
Lelaki berdepan detik sukar perlu beritahu bapa yang sakit mengenai anak sudah meninggal dunia
Baru-baru ini, seorang lelaki turut berdepan dengan situasi sama apabila terpaksa memaklumkan kepada bapanya mengenai kematian salah seorang daripada anaknya.
Dalam video yang dimuat naik oleh @rembormotorsport di TikTok, awalnya kelihatan lelaki berkenaan telah mendekati bapanya yang sedang terbaring di atas katil pesakit.
Sebaik bersua dengan bapanya dia kemudian menunjukkan satu foto dari telefon pintar dan bertanya adakah si ayah mengenali individu yang ditunjukkan.
Tunjuk foto dan perkenalkan satu persatu pada bapa
Di dalam foto tersebut terdapat beberapa individu, dan Rembor menyebut satu persatu individu yang berada dalam gambar berkenaan.
Meskipun si bapa hanya berdiam namun dia dilihat menganggukkan kepada sebaik mengingati individu yang disebutkan.
Maklum anak lelakinya telah meninggal dunia akibat sakit paru-paru
Tidak lama kemudian, Rembor menunjukkan gambar seorang lelaki dan bertanya adakah ayahnya mengenali siapakah lelaki berkenaan.
“Ni anak, anak abah ni. Ingat tak? Anak abah ni, meninggal pagi tadi,” katanya kepada si ayah.
Bapa terkejut & tercengang selepas dapat tahu anak meninggal dunia
Sebaik mendengar berita itu, si ayah terkejut dan tercengang apabila Rembor memaklumkan anaknya itu sudah meninggal dunia disebabkan sakit berkaitan paru-paru.
Si bapa bagaimanapun hanya mengangguk seolah-olah memberitahu dia faham anaknya itu telah tiada.
“Tugas paling berat apabila terpaksa bagi tahu adik yang bernama Muhamad Nazri Bin Ghazali telah meninggal dunia.
“Reaksi abah terkejut dan sedih bila dapat tahu anak kandungnya meninggal.”
Melihat di ruangan komen, ramai yang turut tersentuh dengan berita tersebut. Malah ada juga yang berkongsi pengalaman
Dalam komen, Rembor turut memaklumkan bapanya itu menghidap penyakit strok separuh badan.