fbpx

Lelaki Kongsi Tentang Tarian Labi-labi, Tarian Tradisional Melayu Dari Pahang [Video]

Menerusi video tersebut, Hakim memaklumkan tarian labi-labi ini berasal dari Endau Rompin dan kemudian telah berkembang sehingga ke Pekan dan Kuantan di Pahang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap negeri di Malaysia ini tentunya mempunyai adat serta budaya mereka tersendiri dan perkara itulah yang mendatangkan keunikan pada sesebuah tempat untuk dikunjungi.

Apabila bercakap mengenai budaya, ia tidak hanya fokus kepada makanan, pakaian tetapi ia juga dilihat menerusi seni seperti tarian dan sebagainya.

Tarian labi-labi berasal dari Pahang

Jika di Negeri Sembilan kita tahu tarian piring (Tari Piriang) berasal dari negeri berkenaan, manakala wayang kulit pula terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang namun pasti ramai yang tidak mengetahui negeri Pahang juga mempunyai seni tarian tradisional tersendiri iaitu Tarian Labi-labi.

Pendedahan mengenai Tarian Labi-labi ini turut dikongsikan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Hakim Yusoff di TikTok.

Menerusi video tersebut, Hakim telah menceritakan sejarah mengenai Tarian Labi-labi yang mungkin masih belum diketahui oleh orang ramai.

Asal dari Endau sebelum berkembang ke Pekan & Kuantan

Menurutnya tarian yang berasal dari Endau Rompin, Pahang dan telah berkembang sehingga ke daerah Pekan dan Kuantan.

“Sehingga ke hari ini, Tarian Labi-labi ini dikategorikan sebagai tarian etnik di Negeri Pahang. Ada beberapa pergerakan yang telah diolah pengikut peredaran zaman dan kesesuaian di zaman sekarang.

“Cerita sejarahnya berasal daripada seorang pemancing yang bernama Pak Ngah. Pak Ngah ni dia pergi mancing pergi mancing tak dapat ikan. Umpan pun dah habis, senang cerita kumpaulah (tiada hasil ikan).

“Lepas tu, Pak Ngah ni guna pula kulit pisang sebagai umpan untuk memancing. Tapi bukan ikan yang dia dapat ambil perhatian tetapi labi-labi,” ujarnya.

Dapat ilham tarian ketika labi-labi sedang makan umpan

Kata Hakim lagi, pergerakan labi-labi ketika ingin memakan umpan tersebut membuatkan Pak Ngah mendapat ilham untuk membuat tarian labi-labi berkenaan.

Jelasnya tarian itu asalnya hanya membabitkan satu Pak Ngah dengan labi-labi. Namun ia telah ditambah baikkan lagi untuk lebih menarik, dengan menambah lagi tiga orang (ekor labi-labi) dan seorang, Pak Ngah.

Pak Ngah akan bertindak sebagai individu yang memegang pancing agar mereka ini menari.

Pakai cengkerang, baju Melayu lengkap berserta tengkolok untuk tarian labi-labi

Dalam video sama, Hakim turut menunjukkan beberapa pergerakan ketika tarian ini dilakukan. Kelihatan penari akan memakai seperti cengkerang di belakang badan seolah-olah sedang menjadi labi-labi.

Memetik laporan Sinar Harian yang diterbitkan pada 25 Oktober 2019, tarian labi-labi dikatakan bersifat komedi dan penarinya terdiri daripada orang lelaki sahaja.

Ketika tarian dilakukan mereka juga akan memakai baju Melayu tradisi yang lengkap termasuk samping dan tengkolok.

“Penari akan memakai peralatan di belakang seperti cengkerang labi-labi dan memulakan gerak tarinya seperti gerak labi-labi. Penari yang berlagak sebagai anak labi-labi akan keluar dari sarangnya dan menyertai penari-penari dalam penceritaan lagu.

“Alat-alat muzik yang digunakan terdiri daripada gendang ibu dan anak, gong, keketuk buluh dan seruling. Tarian labi-labi berasal dari Kampung Sarang Tiung daerah Rompin dan berkembang di Kampung Pulau Rumput daerah Pekan. Tarian ini ditarikan oleh lebih dari seorang penari,” jelas Dayang Kartini Awang Bujang yang ketika itu merupakan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang.

Menerusi carian kami, video terbabit telah dimuat naik oleh Hakim pada Ogos lalu.

Melihat di ruangan komen, ada yang mengatakan mereka pernah melihat tarian tersebut. Malah ada yang mengatakan ia adalah satu tarian yang comel.

“Memang salute geng-geng yang mampu meneruskan legasi tarian labi-labi atau tarian pelanduk ni”

“Seumur hidup saya tak pernah dengar tarian labi-labi dekat Pahang”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.