“Sebab Saya Pernah Susah Dulu” – Pengasas Al-Ikhsan Dedah 30 Tahun Berniaga Tak Pernah Naik Harga [Video]
Menurut pengasas Al-Ikhsan, setiap produk yang dijual mempunyai kadar harga yang berbeza mengikut kemampuan pelanggannya sendiri dan bukanlah tidak berkualiti seperti yang didakwa oleh setengah pihak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kos sara hidup dan kenaikan harga sememangnya memberi kesan kepada kehidupan individu.
Buat peniaga, sudah pastinya kenaikan ini memberi impak kepada perniagaan mereka. Ada peniaga yang terpaksa mengambil jalan dengan menaikkan harga barang bagi menamping kenaikan kos.
Namun, ada juga yang prihatin dan memikirkan tentang pelanggan dengan memilih untuk mengekalkan harga.
Jual Produk Dengan Harga & Jenama Berbeza Ikut Kemampuan Pelanggan
Itulah yang dilakukan oleh Tuan Haji Ali Hassan Mohd Hassan, pengasas rangkaian peruncit pakaian dan barangan sukan terbesar di Malaysia, al-Ikhsan.
Menerusi episod 61 yang disiarkan menerusi audio siar (podcast) Funnelevo di saluran YouTube Fahdi Ghazali, dia menceritakan tentang kisah di sebalik pembinaan jenama Al-Ikhsan.
Jelasnya, setiap produk yang dijual mempunyai kadar harga yang berbeza mengikut kemampuan pelanggannya sendiri dan bukanlah tidak berkualiti seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Kalau tengok kenapa kita ada dari mahal sampai ke murah, sebab zaman sekarang budak-budak terpengaruh. Dia nak kasut bola Ronaldo, Messi, Salah.
“Semua yang mahal-mahal. Jadi mak bapak ni ada yang tak berkemampuan sebab kasut tu RM1,000 lebih, ada yang RM800, ada yang RM500, ada yang RM300.
“Yang mahal dekat Football Republic, yang sederhana dekat Al-Ikhsan Sport, nak murah dekat Sport Warehouse. Sport Warehouse itu bukan ada jenama Adidas, Nike, kita ada Umbro, Lotto, Diadora kan.
“Yang mana harga masih mampu milik, kualiti bagus, Cuma brand bukan Messi pakai tapi harga mampu milik,” jelasnya.
Mahu Orang Merasa & Dapat Beli Barangan Sukan
Dengan harga sebegitu, Ali Hassan menjelaskan dia mampu memenuhi permintaan pelanggan khususnya daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Kalau anak-anak orang datang, dia kata aku janji aku beli dekat Al-Ikhsan pun aku dah happy.
“Jadi kita dapat serve anak orang susah tu, jadi dia tak membebankan mak bapak dia,” katanya lagi.
Masih Kekal Harga Sepanjang 30 Tahun Berniaga
Apa yang menjadi perhatian adalah dia turut mendedahkan sepanjang tempoh 30 tahun dia berniaga, dia tidak pernah menaikkan harga barangan jualannya.
Jelasnya, dia pernah mempunyai pengalaman merasa hidup susah ketika zaman dahulu.
“Kau bayangkan dah 30 tahun, aku masih jual RM100, RM99. Mana peningkatan harga?
“Kerana aku tahu, aku ada perasaan sebab aku juga susah dulu. Bila aku nak beli barang, macam inilah susah dia. Bila kau boleh serve orang-orang macam ni, kau rasa bahagia,” katanya lagi.
Pengguna Media Sosial Puji, Ramai Nyatakan Sokongan Terhadap Al-Ikhsan
Sedutan video yang turut dikongsikan menerusi akaun TikTok @fahdighazali99 nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji tindakan Ali Hassan yang dilihat memikirkan tentang keadaan pelanggan dengan menetapkan harga sedemikian.
Tidak kurang juga ada yang mengucapkan terima kasih dan menyatakan akan memberi sokongan berterusan buat jenama tempatan itu.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Bisnes Tetap Bisnes Tapi Sebab Al-Ikhsan La Ramai Antara Kita Dapat Merasa Pakai Kasut Legit, Nak Beli Butik Tak Semua Mampu”
“Terima Kasih Al-Ikhsan, Sangat Membantu Mak Bapak Yang Kurang Berkemampuan, Terima Kasih Banyak-Banyak”
“Al-Ikhsan Ni Dia Provide Untuk Golongan B40. Dia Niat Bantu Orang & Beri Manfaat Kepada Golongan Yang Sederhana”
“Ini Baru Betul Ekonomi Islam & Melayu”
Baca Artikel Berkaitan: “Puas Dapat Bantu Orang Ramai” – Peniaga Ini Hanya Caj RM1 Untuk Setiap Pek Sarapan
Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Gerai Rojak Sanggup Dahulukan Duit Sendiri Untuk Bantu Orang Dalam Kesusahan Raih Pujian [Video]