
Konten POV Pergi Makan Bersama Ayah Ketika Kecil Oleh Farm Fresh Buat Ramai Imbau Kenangan Lama [Video]
Menerusi video tersebut, kelihatan si ayah menuangkan air coklat panas ke dalam piring kecil agar anaknya dapat menghirup minuman tersebut dari bekas berkenaan bagi mengurangkan suhu panas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Figura seorang bapa merupakan individu yang sangat penting buat setiap anak. Ini kerana, seorang bapa sering menjadi idola buat si kecil.
Malah aktiviti yang dilakukan bersama-sama sering mendapat tempat yang istimewa di hati si anak meskipun ia hanya sekadar makan di kedai.
Apa yang lebih menarik, adakalanya ada perkara yang dilakukan oleh bapa membuatkan si anak sering teringat kepada mereka apabila sudah besar sebagai contoh mengetahui makanan kegemaran anaknya dan banyak lagi.
Konten Farm Fresh beri POV sarapan bersama ayah raih perhatian ramai
Baru-baru ini, jenama susu terkenal Malaysia iaitu Farm Fresh telah muncul dengan satu konten memaparkan sudut pandang (POV) bertajuk ‘Aku bila keluar makan dengan ayah waktu kecil”.
Konten ini secara tidak langsung menarik perhatian ramai yang rindu dan terkenangkan bapa mereka.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, awalnya kelihatan dua beranak iaitu seorang lelaki bersama ayahnya yang dilakonkan oleh Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal atau dikenali sebagai Bos Susu sedang menikmati sarapan pagi di sebuah kedai sambil memakan roti canai.
Namun ketika si anak ingin meminum air coklatnya, air tersebut terlalu panas. Ekoran itu, dia telah memaklumkan kepada ayah mengenai hal itu.
Ambil air panas dan tuang dalam piring kecil
Ayah kemudian dengan segera mengambil air panas tersebut dan menuang ke dalam piring kecil. Perkara itu dilakukan oleh si ayah untuk mengeluarkan haba panas dari air tersebut.
Si anak lalu menghirup air coklat tersebut dari piring berkenaan. Tindakan bapa yang melakukan perkara itu secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai pengguna di TikTok.
Ramai terkenang pada bapa
Melihat di ruangan komen, ramai yang terkenang kenangan mereka bersama ayah yang turut melakukan perkara sama setiap kali ingin meminum air panas.
Malah ada juga meluahkan perkara itu membuatkan mereka rindu pada bapa masing-masing.
“Ayah saya buat macam tu. Ayah letak dalam piring, makan nasi ambeng, kongsi-kongsi”

“Abah selalu buat macam ni masa kecil-kecil dulu minum teh tarik dekat kedai. Alhamdulillah sempat merasa”

“Rindunya dekat arwah abah, kalau pergi makan roti canai mesti dia order roti telur sebab dia tahu anak dia suka roti telur. Air tuang dalam piring bagi sejuk”
