Siapakah Golongan Bersolat Yang Dicela Oleh Allah SWT? Ini Penjelasannya [Video]
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk khusyuk di dalam solat, antaranya adalah memahami setiap bacaan yang dibacakan dalam solat, solat di awal waktu, sembahyang di tempat tiada gangguan dan banyak lagi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap umat Islam pasti tahu kita diwajibkan untuk melakukan setiap perintah Allah SWT antaranya bersolat.
Malah solat itu sendiri turut diibaratkan sebagai tiang agama Islam. Oleh itu, adalah berdosa sebagai umat Islam sekiranya kita meninggalkan solat secara sengaja.
Walau bagaimanapun, dalam mendirikan solat kita juga perlu khusyuk dan fokus dengan ibadah yang dilakukan selain perlu untuk menambah baik solat yang didirikan seperti mengetahui maksud bacaan dan sebagainya.
Ustaz kongsi seseorang berada dalam keadaan ‘celaka’ jika solat dalam keadaan lalai & tidak memperbaikinya
Baru-baru ini, seorang pendakwah di media sosial, Ustaz Abdullah Bin Abdul Razak atau dikenali sebagai UstazLah telah berkongsi tentang golongan orang bersolat yang dicela Allah SWT.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, ustaz tersebut menjelaskan Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Ma’un ayat keempat dan kelima tentang individu yang sembahyang dalam keadaan lalai.
“Tahu tak Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran, orang yang solat itu akan celaka. Takutnya tuan-tuan, dalam surah Al-Ma’un ayat keempat dan kelima Allah bermaksud ‘Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang yang mendustakan agama maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersembahyang iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya’.
“Setiap hari kita menunaikan solat, tapi adakah kita benar-benar solat? Atau kita hanya mengikut rutin harian kita tanpa mengetahui setiap apa yang kita dirikan.
“Bayangkan ketika solat kita berdialog dengan Allah SWT, tapi otak kita masih lagi memikirkan dunia. Apa yang kita nak makan hari ini? Apa yang kita nak buat hari ini? Terlalu banyak benda dunia yang kita fikirkan di hadapan Allah SWT,” ujarnya dalam video tersebut.
Penting untuk belajar khusyuk dan sentiasa perbaiki solat
Jelasnya, manusia jika bercakap dengan orang lain pasti akan memberikan fokus dengan individu berkenaan agar mereka tidak terasa. Justeru mereka patut lebih berwaspada sewaktu bersujud kepada yang Maha Esa.
Malah ustaz berkenaan turut menyifatkan rugi buat seseorang jika masih lalai membawa jiwanya kepada Allah SWT.
Oleh itu, setiap umat Islam perlu menanamkan dari sekarang untuk belajar khusyuk di dalam solat.
“Agar setiap detik kita di dalam solat merupakan ruang terbaik di antara kita dengan Allah SWT. Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada orang yang lalai dan orang celaka di dalam solat,” katanya lagi.
Tidak mudah untuk seseorang ingin khusyuk di dalam solat, adakalanya kita sering diganggu dengan perkara tidak sepatutnya seperti perasaan, pemikiran dan sebagainya.
Langkah yang boleh dilakukan untuk khusyuk dalam solat
Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu seseorang agar dapat khusyuk di dalam solat.
- Memahami setiap makna surah yang dibaca dalam solat.
- Memberikan fokus sepenuhnya kepada solat yang sedang didirikan.
- Solat tepat pada waktu (awal waktu).
- Jangan solat dalam keadaan menahan diri daripada air besar atau kecil.
- Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
- Jangan makan atau minum berlebihan ketika ingin mendirikan solat.
- Solat di tempat yang tiada gangguan.
- Berwuduk dengan sempurna.
- Merendahkan dan menghinakan diri di hadapan Allah SWT.
- Mengagungkan Allah SWT.
- Membaca doa yang sunnah dalam solat.
Semoga dengan tips yang diberikan ini, dapat membantu semua umat Islam untuk khusyuk setiap kali mendirikan solat.