fbpx

Inisiatif ‘Ambil Resit Dah Dibayar & Tunjuk Pada Staf’ Restoran Ini Dipuji Ramai

Difahamkan, makanan pada resit tersebut telah dibayar oleh individu atau pelanggan lain khusus buat mereka yang kurang berkemampuan dan kelaparan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dalam dunia yang semakin mencabar dan kos sara hidup semakin meningkat, ada orang diuji dengan kesusahan hingga tidak mampu untuk membeli makanan.

Namun, atas dasar ihsan dan prihatin terhadap kesusahan orang lain, ada individu yang sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengira wang ringgit.

Tampal Resit Makanan Dah Dibayar, Individu Hanya Perlu Ambil & Tunjuk Pada Staf

Itulah yang dilakukan oleh kedai makan yang terletak di Bukit Raja, Klang, Selangor.

Menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook Meru Klang Residents Official, seorang pengguna David Kan Yew Weng memuat naik imej resit yang sudah dibayar dan ditampal pada papan tanda restoran tersebut.

Apa yang menjadi perhatian adalah resit berkenaan sebenarnya khusus buat individu yang dalam kesusahan dan tidak mampu untuk membeli makanan.

Difahamkan, makanan pada resit tersebut dipercayai telah dibayar oleh individu atau pelanggan lain khusus buat mereka yang kurang berkemampuan dan kelaparan.

Malah, pengguna yang juga dipercayai merupakan pemilik restoran terbabit menjelaskan pihaknya amat mengerti kesusahan yang dihadapi orang lain dan mahu membantu mereka.

“Kami memahami bahawa kadang-kadang kehidupan boleh menjadi mencabar. Jika anda lapar dan tiada wang, makanan ini telah dibayar terlebih dahulu untuk anda.

“Kami di sini untuk menyokong komuniti kita, kerana tiada sesiapa harus kelaparan,” tulisnya.

Jelas pengguna itu menerusi ruangan komen, mereka yang dalam kesusahan boleh mengambil resit tersebut dan hanya perlu memberikannya kepada pekerja restoran untuk menyediakan makanan.

“Resit makanan telah dibayar, ada di depan kaunter. Boleh terus ambil dan berikan kepada staff kami,” tulisnya lagi.

Foto: Facebook

Pembekal Ada Sijil Halal, Tukang Masak Muslim

Ketika ditanya tentang status halal, individu berkenaan menjelaskan pembekal bahan mentah mereka mempunyai sijil halal. Malah, tukang masak restoran itu juga merupakan seorang Muslim.

David turut berkongsikan maklumat seperti nombor telefon, alamat dan lokasi Restoran Chong Guan Hainan Coffee yang terletak di Jalan Astaka, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.

Foto: Facebook

Pengguna Media Sosial Puji Inisiatif Bantu Orang Susah

Hantaran tersebut nyata mendapat perhatian pengguna media sosial. Rata-rata memuji inisiatif restoran yang sanggup membantu orang dalam kesusahan dengan cara sedemikian.

Tidak kurang juga ada pengguna yang berkongsi pengalaman berkunjung ke restoran tersebut.

Pun begitu, ada warganet yang mempersoalkan status halal restoran terbabit. Walau bagaimanapun, kenyataan itu kemudian disangkal oleh pengguna lain yang mengatakan banyak lagi pilihan restoran lain sekiranya masih berasa was-was.

Berikut antara komen pengguna Facebook:

“Menarik, Nak Cuba La Nanti”

“Harap Dengan Perkongsian Ini , Restoran Lain Akan Ikut Sama”

“Harap Lebih Ramai Kedai Makan Buat Macam Ni, Mesti Ramai Yang Sanggup Nak Bagi Sumbangan”

Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Gerai Rojak Sanggup Dahulukan Duit Sendiri Untuk Bantu Orang Dalam Kesusahan Raih Pujian [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Sebab Saya Pernah Susah Dulu” – Pengasas Al-Ikhsan Dedah 30 Tahun Berniaga Tak Pernah Naik Harga [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Masih Keliru, Ini Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Sijil Halal

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.