“Ada 2 Rekod Kemalangan Teruk” – SCRUT Dedah Kondisi Kereta BMW F30 Dimenangi Pemenang Honda Day 2024
Tidak hanya itu, tular juga dakwaan yang mendedahkan bahawa salah satu rim BMW F30 berkenaan telahpun bengkok.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, Honda Day Malaysia 2024 teruk ‘dibahan’ netizen di media sosial selepas tular pemenang hadiah utama cabutan bertuah acara itu hanya membawa pulang sebuah kereta Honda Accord SM4 keluaran 1992.
Bukan hanya model lama yang menjadi isu, malah kondisi kenderaan seperti cat yang agak lusuh dan beberapa kesan calar yang dibiarkan juga disifatkan sebagai tidak berbaloi diberi kepada pemenang.
Selepas teruk menjadi bahan ‘troll’ di media sosial, penganjur Honda Day 2024, Remy Ampang akhirnya menggantikan hadiah terbabit dengan kenderaan mewah, BMW F30.
Baca Artikel Berkaitan: Selepas Teruk Disindir Bagi Accord Lusuh, Penganjur Honda Day Akhirnya Ganti Hadiah Dengan BMW F30 [Video]
Tular laporan SCRUT BMW F30, rupanya kereta ada 2 rekod kemalangan ‘high severity’
Pun begitu, isu terbabit dilihat masih belum reda apabila kini tular pula laporan mengenai kereta tersebut yang dikeluarkan oleh SCRUT.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook SCRUT, BMW F30 itu dilaporkan mempunyai rekod kemalangan ‘High Severity’ (kemalangan teruk) yang mana ia dikategorikan sebagai kemalangan sendiri.
“Mungkin terbabas sendiri, tersondol kereta orang atau kemalangan yang melibatkan kecuaian pemilik kereta,” katanya.
Dalam laporan yang dikongsikan, kereta dengan rekod mileage (perbatuan) 146,547Km itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod ‘total lost’, banjir, dicuri dan dilelong, sebaliknya mempunyai rekod dua kemalangan teruk serta pernah menukar cermin hadapan.
Laporan yang dikeluarkan SCRUT nyata mencuri tumpuan memandangkan plaform tersebut sering menjadi rujukan orang ramai untuk mendapatkan rekod terdahulu kereta recon atau kereta AP yang ingin dibeli.
Rim BMW F30 dah bengkok?
Tidak hanya itu, semalam (8 Oktober), tular juga dakwaan yang mendedahkan bahawa salah satu rim BMW F30 itu telahpun bengkok.
Dalam satu gambar yang dikongsikan di akaun TikTok @tuned_bymr.f, jelas kelihatan kesan bengkok tersebut pada rim.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kesan bengkok tersebut telahpun ada semasa kereta diserahkan atau berlaku di tangan pemenang kenderaan terbabit.
Pemenang grand prize Honda Day 2023 tampil nak jual kereta dimenangi
Selain itu, muncul pula pemenang hadiah utama cabutan bertuah acara terbabit pada tahun lalu yang ingin menjual kereta yang dimenanginya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook Dean Sulyman, kelihatan hadiah utama cabutan bertuah Honda Day Malaysia 2023 itu merupakan Honda Civic EF Sedan dipercayai keluaran tahun 1991.
“Mana yang nak tengok grand price Honda Day 2023 tahun lepas, ini lah keretanya, ada yang berminat kasi roger,” tulisnya di kapsyen.