fbpx

MP Pasir Gudang Tak Setuju Cuti Hujung Minggu Johor Ditukar, Umpama Ikut Penjajah Inggeris

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim cuti hari minggu pada Jumaat dan Sabtu mempunyai makna dari segi sejarah dan budaya di Johor.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 7 Oktober yang lalu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan cuti hujung minggu bagi negeri Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.

Pelaksanaan cuti hujung minggu itu akan bermula pada 1 Januari 2025. Penetapan cuti tersebut dilakukan selepas mendapat perkenan dan restu Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pandangan dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Untuk makluman sejak 1 Januari 2014, negeri Johor telah mengubah cuti mingguan kepada hari Jumaat dan Sabtu.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Cuti Hujung Minggu Di Johor Kembali Pada Sabtu & Ahad Mulai 1 Januari 2025

MP Pasir Gudang tak setuju penetapan cuti mingguan pada hari Sabtu & Ahad

Terbaharu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menzahirkan rasa kurang setuju dengan penetapan cuti mingguan berkenaan.

Menurutnya cuti mingguan sebelum ini yang ditetapkan pada hari Jumaat dan Sabtu bukan sekadar cuti biasa sebaliknya mempunyai makna dari segi sejarah serta budaya negeri terbabit.

“Johor adalah sebuah negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu dari kumpulan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Sama seperti negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu ini, cuti hujung minggu ialah pada hari Jumaat dan Sabtu. Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu ini adalah negeri yang paling kurang pengaruh jajahan Inggeris yang mengenakan pengaruh budaya ke atas tanah jajahannya seperti Negeri-Negeri Selat: Melaka dan Pulau Pinang serta Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seperti Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan yang kesemua negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini dipaksa cuti mengikut kehendak penjajah Inggeris iaitu pada Sabtu dan Ahad.

“Jadi perubahan yang akan berlaku di Johor ini dalam soal hari cuti hujung minggu ini mempunyai makna yang tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri,” ujar Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu dalam satu hantaran di Facebook.

Hari Jumaat adalah hari mulia dan mempunyai pengertian besar untuk masyarakat beragama Islam di seluruh dunia

Kata beliau lagi, negeri itu dirahmati oleh Allah SWT dengan pelbagai kamajuan dari segi kebendaan serta material jika nak dibandingkan dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia walaupun cuti hujung minggunya adalah pada Jumaat dan Sabtu.

Jelas Hassan, hari Jumaat merupakan hari yang mulia dalam budaya Islam serta mempunyai pengertian besar untuk masyarakat Islam di seluruh dunia. Malah negeri itu merupakan negeri yang paling banyak masjid.

Hari Jumaat sebagai hari bekerja pernah berlaku namun tak bertahan lama kerana rakyat tak menyokong

“Tidak akan mundur Johor jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti bagi Johor di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor. Rakyat Johor yang bukan Islam menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor.

“Perubahan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja dan hari Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun yang lalu, tetapi perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnya.

“Jadi pada pandangan saya, walaupun sebagai rakyat biasa sebagai seorang ahli parlimen biasa dari negeri Johor saya tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi saya masih ada satu hak untuk bersuara. Hak itu tidak boleh ditekan dan dirampas dari saya.”

Malah Hassan berpendapat penukaran hari cuti hujung minggu di Johor ini umpama mengikut telunjuk penjajah Inggeris.

“Dengan rendah hati saya selaku anak jati Johor seorang anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor maka izinkan saya menzahirkan rasa tidak bersetuju saya dengan perintah yang dibuat oleh raja pemerintah negeri Johor ini yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dengan menggantikan hari Ahad seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini sebagai hari cuti,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.