Kemalangan UiTM Dungun: Anak Penolong Pengarang Berita BH Antara Yang Maut
Ketika kemalangan berlaku, ibu bapa salah seorang mangsa sedang dalam perjalanan ke Mekah bagi menunaikan ibadah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Satu kemalangan maut telah dilaporkan berlaku pada malam semalam (9 Oktober) melibatkan empat orang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.
Difahamkan, kemalangan di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu itu berlaku melibatkan dua buah motosikal serta pemandu kereta berkenaan adalah seorang wanita kurang siuman.
Dalam kejadian pada jam 7:20 malam itu tiga orang pelajar disahkan maut manakala seorang lagi mengalami cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Dipercayai Kurang Siuman Rempuh 4 Pelajar UiTM Dungun, 3 Maut & 1 Cedera Parah
Salah Seorang Mangsa Yang Maut Adalah Anak Penolong Pengarang Berita Harian
Memetik laporan Harian Metro, salah seorang mangsa yang maut iaitu Ku Adib Aizab adalah anak kepada Penolong Pengarang Berita BH iaitu Hafizah Iszahanid manakala bapanya pula, Ku Azmi Saad adalah kakitangan sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) iaitu Print Tower Sdn Bhd (PTSB).
Ketika kemalangan tersebut berlaku, pasangan ini sedang dalam perjalanan ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah bersama 127 orang kakitangan dan ahli keluarga Media Prima Bhd menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024.
Difahamkan mereka baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke tanah suci itu pada petang semalam (9 Oktober) sekitar jam 5:35 petang dan telah tiba pada 9:15 malam (waktu tempatan).
Walau bagaimanapun, pasangan ini kembali pulang ke Kuala Lumpur selepas dilaporkan berlepas dari Jeddah jam 1.55 pagi waktu tempatan sejurus menerima berita nahas kemalangan melibatkan anak mereka.
Motosikal Mangsa Dirempuh Dari Belakang
Difahamkan, kejadian berlaku selepas kesemua mangsa baru sahaja selesai makan malam di sebuah kedai makan berhampiran UiTM Dungun.
Namun ketika perjalanan pulang menggunakan dua buah motosikal, kenderaan mereka itu dirempuh dari belakang sehingga menyebabkan salah seorang tercampak ke dalam longkang dan maut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Shahrizal Shamsudin berkata pihak mereka menerima panggilan mengenai kes terbabit sekitar jam 7.26 malam sebelum 10 anggota dan dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian.
09/10/2024 – Terengganu.
— MYNEWSHUB (@mynewshub) October 9, 2024
Tragedi berdarah di depan UiTM Dungun awal malam tadi.
3 pelajar lelaki UiTM Dungun maut dirempuh pemandu wanita yang mengalami masalah mental mengikut info.
Manakala seorang lagi dilaporkan kritikal. Sumber mengatakan pelajar² tersebut baru saja… pic.twitter.com/oWGehGdSj4
Mangsa maut dikenali sebagai:
- Muhammad Akmal Md Tukirin (25 tahun), pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan.
- Ku Adib Aizad Ku Azmi (20 tahun), pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Perakaunan
- Khairil Anwar Jamaludin (20 tahun), pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Perakaunan
Kesemua mangsa mengalami kecederaan pada bahagian leher, kepala dan dada.
Seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains Perakaunan pula mengalami cedera parah.
Susulan itu, seorang pemandu wanita berusia 49 tahun telah ditahan dan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Difahamkan, wanita tersebut mempunyai tanda-tanda memiliki masalah mental.