Dolla Perform Guna Celoreng Askar, Bekas Pelajar UPNM Desak Tindakan Undang-Undang Diambil
Menurut bekas pelajar UPNM itu Hafizi Azri, pakaian uniform tersebut tidak seharusnya disalah guna oleh selebriti apatah lagi digayakan ketika melakukan aksi kurang sopan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pakaian anggota beruniform seperti tentera khususnya Tentera Darat (TD) sememangnya menarik minat segelintir pihak untuk menggayakannya.
Ini kerana corak celoreng atau rekaan yang ada pada baju tersebut dilihat menarik oleh sesetengah orang hingga ada baju di pasaran yang dijual persis seperti rekaan berkenaan.
Tidak hanya individu biasa namun golongan selebriti juga tidak ketinggalan untuk menggayakan pakaian beruniform itu.
Antaranya seperti kumpulan Dolla yang mengenakan pakaian mempunyai corak seakan uniform tentera darat dalam sebuah persembahan di Festival Hausboom pada 5 dan 6 Oktober yang lalu.
Bekas Pelajar UPNM Mahu Tindakan Undang-Undang Diambil
Walau bagaimanapun, pemakaian kumpulan Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby dan Angel itu mengundang perhatian ramai termasuklah bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menerusi satu hantaran yang dibuat di Facebook milik Hafizi Azri, dia meluahkan rasa kecewa apabila melihat ada artis yang menggayakan pakaian berceloreng itu.
Jelasnya, pakaian uniform tersebut tidak seharusnya disalah guna oleh selebriti apatah lagi digayakan ketika melakukan aksi kurang sopan.
Bagi Hafizi, perbuatan itu sudah semestinya memberi kesan kepada imej tentera Darat Malaysia (TDM).
“Terkilan! Jika ditanya kepada mereka yang bergelar Tentera Darat pasti masing-masing akan meluahkan rasa tersinggung jika uniform kebanggaan disalahgunakan.
“Di manakah silap? Adakah penganjur lupa untuk rujuk mana-mana badan bertanggungjawab? Benda sudah jadi! Apa tindakan?
“Ramai yang tersinggung, nak pakai tak salah tapi biarlah kena dengan tempat dan cara pemakaian,” tulisnya.
Ada Baca Komen Luahan Tentera Darat
Malah, Hafizi turut mengatakan dia ada membaca luahan seorang pengguna dipercayai anggota tentera yang kecewa melihat situasi itu.
Susulan daripada ini, dia meminta agar TDM mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga nama baik dan imej pasukan pertahanan negara itu.
““Kami penat lelah latihan, tinggal keluarga dan korbankan masa semata-mata nak sarung baju keramat ni, korang mudah-mudah ja nodai uniform kami” ini petikan luahan dari komen yang saya sempat baca.
“Diharapkan pihak Berita Tentera Darat Malaysia buat pengumuman tentang tindakan yang akan diambil bagi menjaga nama baik TDM,” tulisnya lagi.
Sekadar info, penyanyi Hazama pernah sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi yang sama sekitar tahun 2017 apabila memakai pakaian bercorak seperti askar dalam sebuah rancangan di televisyen.
Tindakan itu menyebabkan seorang anggota tentera membuat laporan polis kerana mahu menjajga maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Walau bagaimanapun, Hazama telahpun membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung tindakannya yang menggayakan pakaian tersebut.
TERKILAN!!!!! Jika ditanya kepada mereka yang bergelar Tentera Darat pasti masing-masing akan meluahkan rasa…
Posted by Hafizi Azri on Tuesday 8 October 2024
Memakai Uniform Tentera Adalah Satu Kesalahan
Tahukah anda, memakai pakaian uniform seperti tentera merupakan satu kesalahan dan salah di sisi undang-undang?
Ini kerana terdapat Rang Undang-Undang atau Akta yang melarang pihak tertentu daripada memakai pakaian tentera serta mengguna peralatan ketenteraan sesuka hati mereka.
Berikut kami kongsikan ringkasan akta tersebut:
1. KANUN KESIKSAAN (N.M.B Bab 45).
SEKSYEN 140. MEMAKAI PAKAIAN ASKAR, KELASI ATAU PENERBANGAN. Barang siapa, yang bukannya seorang askar, kelasi atau penerbang dalam perkhidmatan tentera darat, laut atau udara Yang di-Pertuan Agong, memakai apa-apa pakaian atau membawa apa-apa tanda yang menyerupai apa-apa pakaian atau tanda yang digunakan oleh seseorang askar, kelasi atau penerbang itu dengan niat supaya boleh dipercayai bahawa ia adalah seorang askar, kelasi atau penerbang itu, hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan, atau denda yang boleh sampai seribu ringgit, atau dengan kedua-duanya.
2. AKTA KESALAHAN KECIL 1955 (AKTA 336).
- SEKSYEN 16. MEMILIKI SECARA HARAM BARANG-BARANG KEPUNYAAN ASKAR, TENTERA LAUT, TENTERA UDARA ATAU POLIS. Sesiapa pun yang dengan sengaja mendapatkan, membeli, menukarkan atau menerima dari sesiapa pun yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia atau pasukan pertahanan tempatan atau angkatan tentera pelawat atau mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia atau Polis Singapura sebarang kegunaan, pakaian atau lain-lain barang atau peralatan askar, tentera laut, tentera udara atau polis atau sebarang harta benda kepunyaan Kerajaan Malaysia atau Singapura atau Kerajaan Negeri atau Kerajaan Angkatan tentera pelawat, atau sebarang bintang-bintang kurniaan untuk jasa baik atau untuk perkhidmatan terpuji atau lain-lain atau sesiapa memiliki atau menyimpan sebarang kegunaan tersebut, pakaian atau lain-lain barang, kegunaan atau kepunyaan lain atau bintang-bintang kurniaan seperti di atas dan tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana dia mendapatkannya boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima puluh ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam minggu atau kedua-duanya sekali.
- SEKSYEN 25. MEMAKAI PAKAIAN SERAGAM YANG TIDAK DIBENARKAN. Sesiapa jua pun yang memakai tanpa kebenaran yang sewajarnya pakaian seragam yang ditetapkan bagi kegunaan mana-mana angkatan bersenjata Malaysia atau manamana angkatan tentera tempatan atau angkatan tentera pelawat atau pasukan polis Malaysia atau Singapura atau mana-mana Kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan atau apaapa pakaian yang merupai atau mengandungi apa-apa lencana pasukan atau lain-lain lencana yang jelas bagi pakaian seragam itu atau apaapa tiruan warna terhadapnya jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ringgit, dan apa-apa pakaian seragam, pakaian, lencana atau tanda tersebut boleh dilucut hak.
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menjejaskan pemakaian pakaian seragam tersebut bagi maksud apa-apa pertunjukan pentas.
3. AKTA RAHSIA RASMI 1972 (AKTA 88).
SEKSYEN 9. (1) MENGGUNAKAN UNIFORM TANPA KUASA. Jika seseorang dapat masuk atau membantu seseorang lain supaya dapat masuk ke suatu tempat larangan melalui sesuatu yang lain daripada tempat masuk yang dibenarkan atau bagi maksud mendapat masuk, atau bagi membantu seseorang lain supaya dapat masuk, ke sesuatu tempat larangan, atau bagi apa-apa maksud lain yang mudarat kepada keselamatan atau kepentingan Malaysia:
- Menggunakan atau memakai, tanpa kuasa yang sah, apa-apa uniform tentera laut, tentera darat, tentera udara, polis atau apa-apa uniform rasmi yang lain atau apa-apa uniform yang hampir-hampir serupa dengannya hingga mungkin memperdayakan, atau dengan palsunya merupakan dirinya sebagai seorang yang berhak atau telah berhak menggunakan atau memakai manamana uniform itu; maka dia adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.