Sudah menjadi lumrah hidup menyewa beramai-ramai, pasti ada sahaja tingkah laku dan kerenah penghuni yang perlu dihadapi setiap hari.
Jika bernasib baik dan mempunyai rakan serumah yang pembersih, alamatnya selesalah seisi rumah tersebut.
Namun, bagaimana pula jika bertemankan housemate yang pengotor? Mesti rasa tertekan nak kena tengok persekitaran rumah yang dipenuhi sampah atau bekas makanan yang dibiarkan saja.
Tular rumah sewa lelaki nampak kotor dan tak terurus
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang individu menunjukkan keadaan rumah sewa yang didakwa dihuni oleh sekumpulan lelaki.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun X @ricxxxkiddo, rumah berkenaan dilihat berada dalam keadaan yang sangat kotor serta tidak terurus.
Dalam video terbabit, dapat dilihat bahawa bekas makanan dan sisanya yang dibuang ke dalam plastik sampah tidak diikat serta dibiarkan terbuka.
Pinggan kotor tak dicuci, kesan kotor di lantai dibiarkan sahaja
Tidak hanya itu, pinggan kotor serta kuali yang telah digunakan selepas memasak juga dibiarkan dan tidak terus dicuci.
Lebih menjijikkan, terdapat juga kesan kotor pada lantai berdekatan peti sejuk yang juga tidak dibersihkan.
Ruang tamu di rumah sewa itu juga dipenuhi dengan longgokan baju serta penyangkut pakaian yang bertaburan di atas lantai.
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan penyewa di rumah berkenaan yang tidak menjaga kebersihan kediaman tersebut.
Malah, mereka turut meminta agar tuan rumah sewa berkenaan mengenakan caj lebih kepada penyewa-penyewa terbabit untuk mengupah tukang cuci membersihkan kediaman itu.