fbpx
murid viral tak lepas duduki ujian kelayakan ke MRSM

Asyraf Wajdi Bantu Murid Terlepas Ujian Kelayakan Ke MRSM Kerana Tiada Pengangkutan [Video]

Pelajar dikenali sebagai Nasuha itu berkata dia mahu belajar di MRSM agar dapat menjadi seorang yang pintar untuk mengubah nasib keluarga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bukanlah semua di kalangan masyarakat yang dibesarkan dalam keadaan lengkap serba-serbi serta mewah. Oleh disebabkan perkara tersebut, segelintir daripada golongan kanak-kanak sukar untuk mendapatkan akses mudah bagi menuntut ilmu.

Seperti sebelum ini, seorang pelajar baharu berdepan dilema apabila keluarga tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghantar dan membayar yuran kemasukan ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Namun, sikap prihatin jiran setempat telah membuahkan hasil apabila mereka bersepakat dan berjaya mengumpul sedikit dana bagi melangsaikan yuran pelajar perempuan berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Hasrat Bapa Daftar Anak Ke UMK Tercapai, Jiran Kumpul Dana RM3,000 Dalam Masa 2 Jam


Murid Tak Dapat Duduki Ujian Kemasukan MRSM Kerana Keluarga Tiada Kereta

Baru-baru ini, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@drasyrafwajdi) dilihat sedang menghubungi murid perempuan dikenali sebagai Nur Nasuha yang tular disebabkan halangannya untuk menduduki ujian kelayakan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Memetik Harian Metro, pelajar berumur 12 tahun itu tidak dapat menjalani ujian tersebut disebabkan oleh keluarga yang tidak mempunyai kereta untuk ke sana.

Bapa kepada Nasuha, Mohd Nusi Mamat berkata, dia tidak dapat menghantar anaknya bagi menduduki ujian berkenaan kerana tidak mempunyai wang selain hanya mempunyai motosikal.

Difahamkan, ujian kecenderungan MRSM (UKKM) dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai sudah pun berlangsung pada 8 Oktober lalu.


Pihak MARA Bantu Nasuha Duduki Ujian & Beri Sumbangan Persiapan Ke MRSM

Cakna dengan cabaran dan kesusahan dilalui oleh Nasuha, Dr Asyraf telah berhubung dengan keluarga Nasuha dan membantunya untuk menduduki ujian UKKM yang seterusnya di MRSM, Kuala Krai di Kelantan.

Bertanya tentang faktor utama kanak-kanak berkenaan ingin memasuki MRSM, Nasuha menjelaskan bahawa dia mahu menjadi seorang pelajar yang pintar agar dapat membantu ibu dan ayahnya.

“Kita bantu Nasuha dapatkan duit belanja untuk persediaan masuk MRSM. Ada yuran sedikit sebanyak pun pihak MARA akan bantu. Kena ingat ilmu sahaja yang boleh mengubah keluarga dan hidup kita.

“Saya bagi sumbangan sikit untuk meringankan beban. Jangan jadikan kemiskinan kepayahan, ada kekangan kewangan tu menjadi penghalang kita untuk anak-anak mengaji. Kalau ada masalah bagi tahu MARA kita boleh bantu ya,” ujar Dr Asyraf.

@drasyrafwajdi Insya-Allah, MARA melalui Bahagian Pendidikan Menengah dan MRSM Kuala Krai akan membantu mengambil adik Nasuha esok pagi bagi menduduki ujian Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM). Jangan jadikan kemiskinan alasan untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Semoga dipermudahkan dan selamat jaya buat adik Nasuha. #MerakyatkanMARA #MARAGemilang #HidupKuMilikUmmah #HidupBiarBerjasa ♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Lihat Situasi Nasuha Untuk Sambung Belajar

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa sebak melihat Nasuha yang bercita-cita untuk mengubah nasib keluarga.

“Sebak tengok video ni. Budak susah berusaha nak belajar. Tapi masih ramai lagi budak-budak sekarang yang ibu bapa senang ada kenderaan, namun malas belajar,” kata seorang pengguna TikTok.

Malah ada individu yang memberi pandangan bahawa sumbangan ikhlas pihak MARA sudah pasti akan dihargai oleh Nasuha yang bersungguh-sungguh ingin menimba ilmu.

“Terbaik, bantuan macam ni akan dikenang oleh keluarga sampai akhir hayat mereka. Semoga adik Nasuha berjaya masuk MRSM dan jadi manusia berjaya untuk keluarga dan negara,” ujar seorang wanita.

Sementara itu, ramai juga berkata inilah fungsi sebenar MRSM ditubuhkan iaitu dengan menempatkan pelajar pintar yang kurang berkemampuan di institusi berkenaan.

“Ini baru betul tujuan asal MRSM untuk bantu pendidikan pelajar pintar dari keluarga kurang kemampuan,” jelas seorang lelaki.

Sumber: TikTok (@drasyrafwajdi)

Baca Artikel Berkaitan: Motor Ditarik Oleh Bank, Bapa Sanggup Jalan Kaki 8KM Hantar Anak Ke Sekolah

Baca Artikel Berkaitan: Nekad Ingin Berjaya Walaupun Dari Keluarga Susah, Luahan Pelajar Ini Sentuh Hati Ramai Orang [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.