fbpx
Now Reading
Pemandu ‘Selfish’ Berhenti Di Petak Kuning Lampu Isyarat Hingga Sebabkan ‘GridLock’ Undang Perhatian
trafik sesak di persimpangan lampu isyarat di KL

Pemandu ‘Selfish’ Berhenti Di Petak Kuning Lampu Isyarat Hingga Sebabkan ‘GridLock’ Undang Perhatian

Difahamkan, segelintir pemandu di persimpangan lampu isyarat sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu telah bertindak memasuki petak kuning walhal sudah nampak trafik sesak di hadapan mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui kesesakan yang berlaku di jalan raya khususnya sekitar kawasan bandar bukanlah satu perkara asing lagi. Kebiasaannya, trafik sesak dilihat berlaku semasa waktu puncak (peak hour) sebagai contoh ketika orang ramai sedang menuju ke tempat kerja masing-masing.

Ia boleh terjadi disebabkan cuaca buruk yang tidak menentu, namun ia sering kali berlaku atas faktor pemanduan tidak berhemah segelintir pengguna jalan raya.

Malah, situasi trafik sesak di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur dan Selangor membuatkan ramai di kalangan pemandu berasa tertekan sehinggakan ada yang terfikir untuk berhenti kerja.

Baca Artikel Berkaitan: “Nak Nangis Tiap Hari Macam Ni” – Orang Ramai Luah Rasa Penat Hadap Trafik Di Bandar KL & Selangor


Banyak Kereta ‘Tersangkut’ Di Persimpangan Lampu Isyarat Sekitar KL

Baru-baru ini, tular satu ciapan di laman X (Twitter @fa2din) apabila seorang pengguna dikenali sebagai Mohd Fathuddin berkongsi pemandangan situasi jalan raya di persimpangan lampu isyarat sekitar Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada jam 5.42 petang semalam (15 Oktober).

Menerusi foto tersebut, kelihatan kenderaan yang begitu banyak dari empat arah berbeza di jalan berkenaan. Namun perkara yang mengundang perhatian adalah kelihatan banyak kereta ‘tersangkut’ di petak kuning di bahagian tengah sekitar lampu isyarat itu.

Difahamkan, kebanyakan kereta telah memasuki ruangan petak kuning walhal lampu isyarat sudah bertukar kuning.

Perkara sama kemudian dipercayai dilakukan oleh kereta-kereta dari persimpangan yang lain hingga menyebabkan kesesakan di tengah-tengah jalan.

Keadaan yang tidak terkawal itu juga disyaki punca mengapa jalan terbabit semakin sesak dengan kenderaan. Menurut beberapa pengguna jalan raya yang lain, situasi tersebut bukan satu fenomena yang baru, tetapi dikatakan kerap berlaku di sana.


Berhenti Di Petak Kuning Boleh Didenda Hingga RM500

Memetik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), petak kuning berfungsi bagi memastikan laluan lancar dan agar tiada halangan kepada kenderaan yang sedang bergerak.

Kenderaan yang bergerak menuju ke hadapan perlulah berhenti sebelum petak kuning bagi memberi ruang kepada mana-mana pemandu yang sedang menunggu untuk keluar atau masuk ke simpang.

Jika pemandu bertindak sebaliknya iaitu memberhentikan kenderaan di dalam petak kuning, anda boleh dikenakan denda maksimum RM500. Hal ini kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Chris Lee Chun Kit

Ramai Kecewa Lihat Sikap Pemandu Yang Pentingkan Diri Sendiri

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai dilihat memberikan pelbagai reaksi mengenai jalan raya yang sesak itu. Ramai individu berpendapat hal ini terjadi disebabkan oleh sikap pemandu yang tidak berhemah selain hanya mementingkan diri sendiri.

“Sebab semua pentingkan diri. Nak duduk dalam petak kuning, itulah punca dia. Yang belakang pula honk suruh kedepan walaupun tak ada ruang. Solusi dia? Saman berkamera,” ujar seorang lelaki.

Malah segelintir, individu berkata situasi sedemikian merupakan faktor mengapa mereka tidak mahu memandu di kawasan bandar lagi.

“Salah satu sebab aku makin menyampah nak memandu. Sebab makin ramai tak tahu undang-undang jalan raya. Yang dia orang tahu tekan minyak, brek dan pusing stereng. Signal ikut nasib nak bagi ke tak,” kata seorang pengguna X.

Sementara itu, ramai juga menyifatkan pekerjaan luar bandar adalah lebih menenangkan kerana tidak perlu hadap trafik sesak seperti di ibu kota pada setiap hari.

“Alhamdulillah dah tak kerja kawasan Kampung Baru (Kuala Lumpur). Kalau tak, kena lalu sini. Aku yang naik motosikal pun serabut nak menyelit,” jelas seorang wanita.

Sumber: X (@fa2din)

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Dakwaan ‘Traffic Jam’ Di KL Disebabkan Oleh Rumah Warga Asing?

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Jalan Sesak Teruk Di Tol Sungai Besi Kerana SJR, Ramai Minta Pihak Berkuasa Kaji Balik SOP Roadblock

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.