Peniaga Dakwa Kedai Kena ‘Tutup’, Pelanggan Tak Nampak Kedai Dibuka Walhal Sedang Berniaga [Video]
Jelas peniaga itu, sebelum ini telah ramai pelanggannya yang mengadu gerai kuih talamnya sering ‘tutup’ walhal mereka sentiasa beroperasi setiap hari bermula jam 11.30 pagi hingga 6.00 petang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebagai peniaga, ada hari di mana kita mendapat untung lebih, ada hari juga kita diuji dengan kerugian. Inilah cabaran yang perlu dihadapi apabila menceburi dunia perniagaan.
Namun, entah mengapa ada segelintir individu yang dengki dan tidak senang melihat kejayaan orang lain hingga sanggup melakukan perkara terkutuk seperti sihir bagi menganggu perniagaan seseorang.
Pelanggan Dakwa Hanya Nampak Banner & Khemah Tetapi Tiada Orang
Itulah yang dihadapi oleh seorang peniaga kuih talam apabila gerainya didakwa ‘hilang’ di mata pelanggan sedangkan mereka beroperasi seperti biasa.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok @c_bongsu77, peniaga yang dikenali sebagai Kak Tie itu berkongsikan dakwaan daripada salah seorang pelanggannya.
Menurut pelanggan gerai berkenaan, dia mendakwa gerai kuih yang terletak di Subang Bestari itu sering tutup ketika melalui jalan tersebut.
Dakwa pelanggan itu lagi, dia hanya melihat khemah dan banner ada di lokasi itu namun tiada orang yang menjual kuih.
Rupanya Ramai Pelanggan Mengadu ‘Tak Nampak’ Gerai
Tidak terkejut dengan dakwaan pelanggan tersebut, peniaga terbabit mendedahkan dia bukanlah orang pertama yang berkata sedemikian.
Jelas peniaga itu, sebelum ini ramai yang mengadu kepadanya yang gerai mereka sering ‘tutup’ walhal mereka sebenarnya beroperasi setiap hari bermula jam 11.30 pagi hingga 6.00 petang.
“Hari-hari buka (kedai). Bukan kak orang pertama cakap tahu, kak orang yang ketiga empat puluh orang cakap macam tu,” katanya.
Malah, dia turut mendedahkan kepada pelanggannya bahawa mereka telah mengalami keadaan sedemikian sejak tiga bulan lalu.
Namun, segalanya semakin pulih sebaik sahaja mereka mendapat rawatan daripada pihak berkaitan.
“Tiga bulan dah, orang buat (kedai ‘ditutup’) sampai tak nampak kedai, dekat empat puluh orang cakap. Ini baru elok sikit sebab kami pergi berubat,” katanya lagi.
Selain daripada pelanggan mendakwa melihat gerainya tutup selama seminggu, peniaga itu mendedahkan kuih talam jualannya juga tidak laris seperti biasa.
“Nasib kami peniaga tepi jalan ni. Hari-hari tak habis kuih. Orang call (telefon) kata tak buka walhal ada la tercongok dekat gerai tu.
“Ada yang cakap kedai tutup seminggu, khemah ada tapi tiada orang,” tulis peniaga berkenaan.
Ramai Tak Sangka, Ada Yang Kongsi Cara Hindari Sihir
Video yang telah mendapat hampir 200,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Rata-rata daripada mereka tidak menyangka ada yang dengki hingga sanggup melakukan perbuatan tidak baik kepada peniaga kecil itu.
Bagi mereka, untung dan rugi dalam berniaga merupakan rezeki daripada Allah SWT dan tidak seharusnya dengki dengan kejayaan seseorang.
Ada juga pengguna yang pernah menjadi pelanggan mereka turut mendedahkan mengalami pengalaman sama tidak nampak gerai kuih berkenaan beroperasi walaupun melalui jalan tersebut pada setiap hari.
Ada pengguna media sosial yang turut berkongsikan cara atau ayat bagi menghindar sihir dan hasad dengki daripada orang tidak bertanggungjawab.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Patutlah Tengok Kuih Talam Kak Tie Kerap Tak Habis, Tak Macam Sebelum 3 Bulan, Meriah”
“Kuih Talam Tu Ke? Dekat Dengan Blok Saya, Dok Lalu Memang Tengok Khemah Kosong”
“Kalau Nak Mula Berniaga, Setiap Hari Pastikan Basahkan Sekeliling Kedai Dengan Air Sekali Bacaan Ayat Al-Quran”
“Lumrah Peniaga Kecil-Kecilan, Berubat Pun Esok Lusa Maju Sikit, Musuh Buat Balik”
“Busuknya Hati Orang”
“Alihkan Sikit Kedai Tu, Amalkan Ayat 3 Qul Waktu Nak Buka”
Baca Artikel Berkaitan: “2 Kali Rebus Tetap Sama” – Peniaga Terkejut Jumpa Gumpalan Rambut Misteri Dalam Laksa [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Macam Mercun Bom” – Cawan Meletup Setelah Baca Doa, Peniaga Dakwa Angkara Santau