“Zalim Sungguh” – Ramai Sedih Lihat Tindakan Individu Sanggup Racun 9 Ekor Kucing Peliharaan Lelaki Ini
Jelas Johan, berita sedih itu dimaklumkan oleh pekerjanya yang mendapati empat daripada sembilan ekor kucing itu telah mati manakala empat lagi sedang bertarung nyawa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kucing merupakan antara binatang yang sering menjadi pilihan kebanyakan orang untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Kebiasaannya, si bulus ini akan dipelihara dalam rumah. Namun, ada juga individu yang membiarkan mereka bebas di luar tetapi masih membelanya.
Apabila meletakkan haiwan ini di luar, sudah pasti ada risiko dan bahaya yang menanti antaranya seperti gangguan dari binatang lain serta dari manusia itu sendiri.
9 Ekor Kucing Kesayangan Mati Diracun
Itulah yang dihadapi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Johan Aziz apabila sembilan ekor kucing peliharaannya mati akibat diracun oleh individu tidak bertanggungjawab.
Johan yang juga merupakan pengasas dan bekas pengurus kumpulan Slam mendedahkan insiden tersebut menerusi satu hantaran di Instagram miliknya semalam (15 Oktober).
“Zalim sungguh dan tidak berperikemanusiaan langsung. Tergamak dia racun semua sembilan ekor kucing-kucing kami.
“Yang bunting pun habis mati berbuih-buih mulutnya. Semoga Allah membalas segala kezaliman yang dilakukan terhadap kucing,” tulisnya di hantaran tersebut.
Kucing Dibela Dalam Kandang Di Medan Selera
Memetik Harian Metro, Johan yang kini menguruskan medan selera di Taman Kosas terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa kucing peliharaannya itu.
“Ada anak kucing, ibu yang baru beranak dan ada yang bunting, lima ekor anak dalam perut semuanya mati. Sangat kejam dan zalim perbuatan individu terbabit,” katanya.
Jelas Johan, berita menyayat hati itu dimaklumkan oleh pekerjanya yang mendapati empat daripada sembilan ekor kucing itu telah mati manakala empat lagi sedang bertarung nyawa.
“Sebenarnya ini kucing-kucing yang dibuang di medan selera saya. Kami ambil bela sebab kalau tidak nanti kucing-kucing ini mati di jalan kena langgar. Saya buatkan kandang di belakang medan selera saya.
“Kucing ini diberi makan dan dijaga elok. Seminggu sekali akan dilepaskan bagi mereka ambil angin dan makan rumput. Lepas itu dipanggil masuk kandang dan mereka ikut arahan.
“Setiap Isnin medan selera cuti untuk pekerja bersihkan kedai. Hari Selasa mereka datang dapati empat ekor dah tergolek mati. Manakala empat ekor lagi sedang bertarung dengan maut mulut berbuih,” jelas Johan.
Menangis Lihat Kesemua Kucing Mati
Tambah Johan, dia menangis apabila menerima dan melihat gambar serta video kucing kesayangannya yang dihantar oleh pekerja.
“Mulanya saya ingat hanya empat ekor mati, rupanya habis satu kandang. Siapa yang tak sedih kerana kucing-kucing ini jinak. Kadangkala orang datang makan, mereka minta nak pelihara saya bagi percuma sahaja.
“Ada juga kucing baru orang buang, saya ambil lagi pelihara. Kadang kucing sakit, patah kaki dan rabun orang buang kami ambil bagi ubat sampai sihat. Orang tengok pun berkenan nak pelihara.
“Nak kata pekerja saya atau pekerja-pekerja kat situ, saya tak tahulah pula hati mereka tahap itu. Saya dah berniaga lebih sembilan tahun di sini, tak pernah ada kes begini,” ujarnya.
Malah, Johan sedang menunggu anaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi melihat kelibat individu yang melakukan perbuatan kejam tersebut.
“Cuma saya takut CCTV ini tak menghala ke semua bahagian. Ada enam kamera dan di tempat kandang ada satu. Harap perkara ini dapat diselesaikan,” katanya lagi.
Ramai Simpati, Ada Yang Geram Dengan Perbuatan Kejam Individu Tidak Bertanggungjawab
Hantaran Johan turut menarik perhatian pengguna media sosial. Rata-rata daripada mereka terkejut dan sedih melihat keadaan kucing-kucing berkenaan.
Tidak kurang juga ada yang marah dan mengecam tindakan kejam orang yang tidak bertanggungjawab itu.
Berikut antara komen pengguna Instagram:
“Racun Kucing Sampai Mati Macam Ni Bukan Boleh Selesai Semua Masalah”
“Allahuakbar, Sampainya Hati, Yang Meracun Ni Tak Layak Jadi Manusia”
“Allahuakbar, Disaran Buat Report Polis Mengatakan Perbuatan Khianat Berlaku Di Kejiranan”
Baca Artikel Berkaitan: 20 Ekor Kucing Mati Bergelimpangan Dipercayai Diracun
Baca Artikel Berkaitan: “Yang Ada Kucing Je Faham” -Video Lelaki Menangis Kucing Mati Dilanggar Undang Sebak Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Meraung 2 Kucing Kesayangan Mati Dibelit Ular, Buat Ramai Sedih [Video]