Guru Wanita Non-Muslim Dipuji Kerana Boleh Mengajar Dan Menulis Tulisan Jawi [Video]
Guru wanita yang dikenali sebagai Loren atau nama sebenarnya Lorenica Frenila Masundim mula mempelajari tulisan jawi ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu pada tahun 2010.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebut sahaja tentang tulisan jawi, pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Ini kerana gaya dan huruf yang digunakan dalam tulisan tersebut sama seperti Bahasa Arab. Bahkan ia sudah mula digunakan sejak kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada abad ke-10.
Malah, tulisan ini kebiasaannya akan diguna dan diajar dalam kelas agama di kebanyakan sekolah di Malaysia serta guru yang mengajarnya juga adalah yang beragama Islam.
Guru Beragama Kristian Mahir Menulis & Mengajar Tulisan Jawi
Siapa sangka, seorang guru bukan Islam di Beluran, Sabah menjadi perhatian ramai kerana mempunyai kemahiran dan mampu mengajar tulisan jawi kepada anak muridnya.
Menerusi video yang dimuat naik oleh guru wanita di akaun Facebook Loren Foren, dia berkongsikan momen ketika dia mengajar tulisan tersebut kepada anak muridnya di Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran, Sabah.
Melalui perkongsian tersebut, dapat dilihat dia mengajar anak muridnya dan menulis di papan putih tulisan berkenaan.
Malah, Loren yang beragama Kristian itu turut menunjukkan peribahasa Melayu yang ditulis dengan tulisan jawi pada sebuah buku yang dipercayai bagi tujuan pembelajaran.
“Jarang-jarang ni saya mengajar tulisan jawi, jadi saya buat video kenangan la sekali. Siap sudah topik jawi tahun ini, tahun depan baru sambung lagi,” tulisnya.
Subjek Bahasa Melayu Murid Tahun Empat Hingga Tahun Enam Ada Tulisan Jawi
Menerusi hantaran tersebut, Loren menjelaskan tulisan jawi sebenarnya telah dimasukkan dalam subjek Bahasa Melayu bagi tahun empat hingga tahun enam.
Ia bertujuan untuk memperkayakan murid dengan aspek seni, warisan dan sejarah. Loren berpendapat setiap rakyat Malaysia seharusnya mempunyai pengetahuan tentang tulisan bersejarah itu.
Menerusi hantaran yang sama, guru wanita itu menjelaskan niatnya bukanlah untuk menunjuk namun hanyalah sekadar kenangan.
“Kepada yang pro (mahir) jawi, tidak perlulah uji saya ya. Saya cuma mengajar ikut buku, bukan niat menunjuk pandai. Saya pun masih belajar ni,” tulisnya.
Mula Belajar Tulisan Jawi Pada Tahun 2010
Loren atau nama sebenarnya Lorenica Frenila Masundim mula mempelajari tulisan jawi ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu pada tahun 2010.
“Saya mengenali tulisan jawi ketika sedang mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan melalui kursus Pengenalan Sistem Ejaan Rumi dan Jawi yang diajar oleh pensyarah.
“Kini, saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu untuk Tahun Lima dan Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Beluran.
“Dalam buku teks Bahasa Melayu ada diselitkan asas tulisan jawi dan saya berkongsi pengetahuan untuk diajar bersama dengan murid-murid di sekolah,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Selain Pengguna Media Sosial, Video Turut Dapat Perhatian Bekas Menteri Pendidikan
Video Loren itu bukan sahaja mencuri tumpuan pengguna media sosial, malah turut mendapat perhatian bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi miliknya, Dr Maszlee mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada guru wanita tersebut atas usahanya dalam menyebarkan ilmu.
Malah, dia juga dilihat meninggalkan komen pada video guru wanita berkenaan.
Terima kasih Cikgu Loren Fren Anda mengajar kami erti Cinta, Kebahagiaan dan Saling Menghormati! 🙏
Posted by Dr Maszlee Malik on Monday 14 October 2024
Dalam pada itu, kebanyakan pengguna media sosial memuji dan mengagumi Loren kerana kemampuan dia mengajar dan menulis tulisan jawi yang sinonim dengan agama Islam.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Hebat Cikgu! Tulisan Jawinya Cantik”
“Ini Baru Betul Pendidik, Tahniah Cikgu Sebab Faham Apa Makna Pengajar”
“Saya Salute Cikgu Sebab Sanggup Mengajar Tulisan Jawi Kepada Anak-Anak Lain”
Baca Artikel Berkaitan: Rasis? Seriously ? Itu Hanya Bahasa – Michael Ang Isu Belajar Tulisan Jawi
Baca Artikel Berkaitan: “Sampai Hati Scam Cikgu Kau Dik” – Guru Pening Tulisan ‘Alien’ Dalam Buku Jawi Pelajar Buat Netizen Terhibur [Video]