Pesawat SAM Air Terhempas Di Sawah Padi, 3 Kru & Seorang Penumpang Terbunuh
Pesawat SAM Air dengan nombor pendaftaran PK SMH itu berlepas dari Lapangan Terbang Djalaluddin menuju Lapangan Terbang Bumi Panau Pohuwato sebelum dilaporkan terhempas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Sejak semalam (20 Oktober), kecoh di Indonesia selepas sebuah pesawat ringan SAM Air dilaporkan terhempas.
Insiden yang berlaku pada pagi hari sama itu mengorbankan tiga kru pesawat dan seorang penumpang wanita.
Memetik CNN Indonesia, pesawat SAM Air itu jatuh terhempas di kawasan sawah padi berhampiran Lapangan Terbang Bumi Panua Pohuwato dalam wilayah Gorantola.
“Benar, seramai empat orang terbunuh apabila pesawat itu terhempas,” kata pegawai di Pejabat Pencarian dan Pertolongan Gorontalo, Heriyanto.
Badan pesawat digenangi air dan lumpur, bahagian depan hancur
Menerusi foto yang dikongsikan media luar negara itu, kelihatan badan kapal terbang berkenaan digenangi air dan lumpur, manakala bahagian depan termasuk muncung pesawat hancur.
Difahamkan, pesawat dengan nombor pendaftaran PK SMH itu berlepas dari Lapangan Terbang Djalaluddin menuju Lapangan Terbang Bumi Panau Pohuwato.
Pesawat putus hubungan pukul 7.30 pagi
Semasa penerbangan sekitar pukul 7.30 pagi waktu Indonesia, kapal terbang terbabit dilaporkan terputus hubungan.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dikerahkan ke lokasi kejadian menemukan empat mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
“Empat korban meninggal dunia di lokasi kejadian terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, jurutera dan seorang penumpang.
“Semua mayat mangsa telah dibawa keluar,” jelas Heriyanto.
Punca kemalangan masih belum diketahui
Bagaimanapun, setakat ini punca kemalangan pesawat itu berlaku masih belum diketahui, dipercayai sedang dalam siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video yang didakwa memaparkan saat pesawat berkenaan terhempas dipercayai dirakam penduduk tempatan kawasan terbabit.
Dalam video itu, kelihatan pesawat terbabit terbang pada altitud rendah sebelum membelok dan jatuh terjunam.