“Peti Ais Problem!” – Tular Pemandu Alphard ‘Pancung’ Mengejut Raih Kecaman Ramai [Video]
Lelaki terbabit berang kerana semasa kejadian, lebuh raya itu tidak dipenuhi dengan kenderaan lain sehingga pemandu Alphard tersebut perlu bertindak demikian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Antara cabaran memandu kenderaan adalah apabila berhadapan dengan sikap segelintir pemandu yang sengaja tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Malah, boleh ‘naik darah’ dibuatnya apabila ada pemandu tidak bertanggungjawab memandu secara bahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan pada pengguna jalan raya yang lain.
Di Malaysia, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang baru, bahkan sehingga hari ini ia masih berlaku.
Tular video pemandu Alphard ‘pancung’ lorong secara mengejut
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang pemandu lelaki berang selepas sebuah kereta menukar lorong secara mengejut di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @niezalrosli, kelihatan lelaki terbabit pada awalnya sedang memandu di lorong paling kiri lebuh raya berkenaan.
Bagaimanapun, kereta jenis Toyota Alphard berwarna putih secara tiba-tiba ‘memancung’ dan menukar lorong di hadapannya tanpa memberi lampu isyarat sebelum masuk ke susur keluar Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Tengah pandu secara santai, terus terkejut dan marah
Tindakan berbahaya pemandu Alphard berkenaan menyebabkan lelaki terbabit yang pada awalnya sedang memandu secara santai terus terkejut dan membunyikan hon sambil memarahinya.
Lelaki terbabit berang kerana semasa kejadian, lebuh raya itu tidak dipenuhi dengan kenderaan lain sehingga pemandu Alphard tersebut perlu bertindak demikian.
“Punya lah kosong jalan, depan kita juga nak pancungnya,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Ramai kecam sikap pemandu Alphard, pancung lorong sesuka hati
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan pemandu Alphard terbabit.
Malah, ada juga yang meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadapnya kerana membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Jelas, tindakan sedemikian boleh menyebabkan berlakunya kemalangan terhadap pemandu lain yang tidak bersalah.