Yuran Tadika & Taska Dijangka Naik 25% Pada 2025
Menurut Penasihat Kehormat Pertim, Zaharah Awang kenaikan yuran taska dan tadika itu disebabkan kenaikan kos operasi yang melibatkan gaji pekerja, kos bahan mentah untuk makanan, bahan bantuan mengajar, kadar sewa serta bil utiliti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 18 Oktober lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 berkuat kuasa pada 1 Februari 2025.
Perkara itu diumumkan oleh Anwar sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 dan secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai pihak apabila ada yang merasakan ia adalah satu perkara yang baik memandangkan kos sara hidup pada masa kini adalah tinggi.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2025: Gaji Minimum Dinaikkan Dari RM1,500 kepada RM1,700
Yuran tadika dan taska dijangka naik tahun depan antara 20%-25%
Terbaharu susulan daripada pengumuman kenaikan kadar gaji minimum itu ada yang menjangka yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) akan dinaikkan 20%-25% pada tahun 2-25.
Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, yang menaugi pengusaha tadika selain Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia yang menaugi pengusaha taska juga mengesahkan kenaikan yuran perkhidmatan yang ditawarkan oleh sekitar 4,500 ahli mereka disebabkan kenaikan daripada kos operasi.
Jelas Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang sekitar 1,000 ahlinya di seluruh Malaysia telah bersiap sedia untuk menaikkan yuran perkhidmatan tadika disebabkan kenaikan kos operasi.
Yuran dinaikkan kerana kenaikan kos operasi, perlu mendapatkan kebenaran dari JPN & PPD
Kenaikan kos operasi yang dimaksudkan tidak hanya melibatkan gaji pekerja khususnya guru sebaliknya membabitkan kenaikan kos bahan mentah bagi makanan serta bahan bantuan mengajar, kadar sewa termasuk bil utiliti.
Namun kenaikkan tersebut hendaklah mendapat kebenaran serta melalui permohonan yang dilakukan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum ia dijalankan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, Ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25% mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” ujar lapor Berita Harian.
Bahan mentah untuk makanan anak murid naik lebih 60% sejak tahun lepas
Jelas beliau lagi kenaikan bahan mentah bagi makanan anak murid di bawah jagaan ahlinya naik lebih 60% sejak tahun lepas dan menyebabkan kos operasi tadika meningkat.
Tambahnya, kenaikan yuran tadika antara 10%-25% hanyalah untuk pengusaha bertahan demi meneruskan perjalanan perniagaan sahaja.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan.”
Johor juga bakal naikkan yuran susulan pengumuman kenaikan kadar gaji minimum
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi turut mengesahkan bahawa negeri berkenaan juga bakal menaikkan yuran ekoran daripada kenaikan gaji minimum yang diumumkan baru-baru ini.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” jelas beliau.
Yuran baharu taska di seluruh negara mungkin naik antara 13%-25% bermula Januari depan
Dalam pada itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia iaitu Norazlina Adom memaklumkan yuran baharu taska di seluruh negara akan dinaikkan antara 13%-20% bermula tahun 2025 berikutan pengumuman kadar kenaikan gaji minimum itu.
Menurutnya sekitar 3,000 taska di seluruh Malaysia termasuk 250 di negeri Johor akan memberikan cas yuran yang baharu bermula Januari depan.
Ujar Norazlina lagi yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor pengumuman berhubungan kenaikan gaji minimum berkenaan amat dialu-alukan.
Ini kerana bebanan kerja buat kakitangan taska adalah berat kerana perlu memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka sentiasa terjaga setiap masa.
Mohon kerajaan sediakan geran gaji kepada penguasaha taska atau insentif kepada ibu bapa
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu baoa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar.”
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah turut mengatakan susulan daripada kenaikan kadar gaji miminum itu turut dijangka harga barangan serta perkhidmatan akan meningkat.
Ujar beliau peningkatan kos operasi perkhidmatan serta barangan tentunya dipindahkan kepada pengguna yang akan rasa terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” jelasnya.