“Cute”- Ramai Teruja Lihat Bapa Bawa Bayi 9 Bulan Pergi Hiking [Video]
Menurut Hazwan sewaktu melakukan aktiviti mendaki bersama bayinya, Hana dia akan berhenti di beberapa destinasi untuk memberikan si kecil itu makan dan minum susu bagi memastikan perutnya selesa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam membesarkan anak-anak mereka. Ada yang menerapkan aktiviti di dalam rumah dan ada juga yang suka mendedahkan si kecil dengan dunia luar seperti sukan lasak dan sebagainya.
Apa yang menarik dengan mendedahkan anak-anak kepada aktiviti luar seperti memasuki hutan, berkhemah dan mendaki (hiking) ia akan membuatkan si kecil dapat mengenali alam semula jadi dengan lebih dekat.
Lelaki bawa bayi usia 9 bulan mendaki bukit
Baru-baru ini, seorang lelaki telah menjadi perhatian ramai apabila turut melakukan perkara sama dengan membawa bayi perempuannya mendaki Sri Bintang Hill atau turut dikenali sebagai Bukit Pelangi di Kuala Lumpur .
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, lelaki yang dikenali sebagai Hazwan Harawi membawa bayinya, Hana yang berusia sembilan bulan mendaki dengan menggunakan beg khas dipercayai ‘hiking baby carrier’.
Kemunculan dua beranak raih perhatian pendaki lain
Malah kemunculan dua beranak itu mendaki bukit bersama-sama turut meraih perhatian pendaki bukit yang lain apabila mereka berasa teruja dan ingin bergambar bersama-sama.
Ini kerana jika di negara ini adalah sangat sukar untuk melihat bayi dibawa mendaki bukit berbanding dengan negara barat. Maka kemunculan Hana secara tidak langsung membuatkan mereka gembira melihatnya.
Apa yang menjadi perhatian, Hana juga dilihat begitu mudah untuk dijaga dan mesra dengan pendaki yang lain.
Tidak kurang juga ada pendaki yang prihatin dengan bertanyakan keadaan Hazwan dan Hana semasa mereka mendaki bukit terbabit.
Turut tunjuk bagaimana cara kendalikan bayi semasa mendaki
Dalam beberapa lagi video, Hazwan turut menunjukkan cara bagaimana dia mengendali Hana semasa membawanya mendaki bukit berkenaan.
Menurut Hazwan sebelum mendaki dia akan memberikan si comel minum susu terlebih dahulu dan perkara itu dilakukan beberapa kali sepanjang perjalanan mendaki sehingga mereka sampai ke puncak.
Bukan hanya susu, memandangkan Hana sudah mencecah usia 9 bulan maka Hazwan juga akan memberikannya makan seperti biskut apabila berhenti di sesuatu destinasi (check point).
“Hana minum susu formula jadi senang sikitlah bila nak bawa hiking. Sebelum mula hiking dah bagi dia susu siap-siap tapi itulah muka masam juga lepas tu.
“Sampai peak (check point 1) bagi dia (Hana) snacking pula bagi sweet potato rice cracker (kraker nasi bersama keledek) selepas beberapa minit sambung bagi susu kedua.
“Bila bayi minum susu formula ni senang sikit lah kan sebab boleh bancuh je. Selesai kenyangkan dia, kami pun bergerak untuk ke peak kedua (check point kedua), sampai di sana sambung berikan dia susu lagi.
“Sampai di sana nampak ada geng aunty ni mereka lepak di situ, mereka pun beri pisang. Jadi aku pun bagilah Hana pisang. Katanya pisang tu ditanam sendiri. Selesai sembang dengan aunty, kita pun bergerak balik,” jelas Hazwan dalam video tersebut.
Siap reviu beg yang digunakan untuk bawa Hana mendaki
Selain itu, Hazwan turut memberi reviu beg galas khas yang digunakan untuk membawa Hana mendaki bukit selepas ditanya oleh beberapa individu di ruangan komen.
Menurutnya beg yang digunakan itu turut mempunyai beberapa ciri keselamatan yang selamat untuk membawa Hana.
Malah dia turut memberikan beberapa deskripsi ciri-ciri beg itu sekiranya ada yang berminat untuk membelinya.
Ramai teruja lihat bayi mendaki bersama bapa
Melihat di ruangan komen, ramai yang turut teruja melihat bapa itu membawa bayi kecilnya mendaki bersama-sama.
Malah reaksi wajah Hana turut menjadi bualan apabila ada yang mengatakan dia comel.
Tidak kurang juga ramai bertanyakan tips bagaimana Hazwan membawa Hana mendaki serta persiapan yang perlu dilakukan untuk membuat aktiviti tersebut.
Sebagai info, melakukan aktiviti mendaki bersama si kecil agak popular di luar negara namun ramai ibu bapa di sana akan menunggu usia anak mereka mencecah lapan bulan dan ke atas sebelum memulakan aktiviti berkenaan.
Menurut laman Baby Centre terdapat beberapa jenis beg carrier yang boleh digunakan bersesuaian dengan aktiviti tersebut.