fbpx

Perlu Ke Pakai Pakaian Lain Ketika Pakai Telekung? Ini Penjelasan Dr Kamilin [Video]

Menurut Dr Kamilin, asalkan pakaian atau telekung itu sudah menutup sempurna aurat seorang wanita dan tidak tersingkap apabila bergerak sehingga menampakkan tubuh atau warna badan maka ia tidak menjadi masalah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Untuk setiap individu yang beragama Islam pasti mengetahui solat merupakan perkara yang wajib dilakukan atas perintah Allah SWT.

Setiap hari umat Islam diwajibkan untuk menunaikan lima waktu solat iaitu ketika Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan juga Isyak. Solat juga turut diibaratkan sebagai tiang agama dan ia perlu dilakukan dengan penuh sempurna dengan mengikut rukun yang ditetapkan.

Antara perkara yang perlu dilakukan ketika solat adalah setiap individu perlu menutup aurat contohnya bagi wanita perlu menutup setiap anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Kebiasaannya para wanita akan memakai telekung bagi memudahkan mereka untuk solat.

Namun ada segelintir yang keliru adakah mereka boleh memakai pakaian di dalamnya apabila memakai telekung?

Dr Kamilin jelaskan mengenai isu perlu pakai pakaian lain apabila memakai telekung

Oleh itu, Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin telah menjelaskan serba sedikit mengenai isu tersebut menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok.

“Saya nak simpulkan sedikit tentang isu ramai wanita dan orang perempuan yang bertanyakan tentang isu pemakaian telekung dalam solat. Ada yang kata dia faham, ada yang kata kalau kita pakai telekung dalam tu tidak boleh pakai t-shirt. Betul ke? Maksudnya dalam telekung tu kena pakai jubahlah atau pakaian yang penuh menutup aurat.

“Saya tak nak rumitkan isu, macam ni sahaja nak faham. Wanita ni ada auratnya selain dari mahramnya, lagi-lagi nak menghadap Allah SWT dalam solat lagilah kena jaga, kena tutup aurat. Jadi mudahnya kalau pakaian kita tu memang dah tutup aurat dengan sempurna, boleh je bawa pergi solat. Tak perlu pakai telekung pun tidak mengapa.

“Telekung ni bukanlah wajib cuma orang kita ni pakai telekung sebagai langkah yang membantu kesempurnaan menutup aurat. Langkah berhati-hati supaya tak nampak bentuk tubuh, warna kulit, anggota badan dan kalau terjaga perkara ini maka terjagalah aurat tu,” ujarnya.

Apa yang menjadi masalah jika telekung nipis hingga mudah untuk menampakkan aurat wanita

Malah Dr Kamilin turut mengingatkan para wanita agar tidak memakai pakaian yang ketat serta nipis, kain yang cukup (untuk menutup aurat) agar apabila bergerak ia tidak mudah terselak.

Jelasnya apabila memakai t-shirt atau seluar pendek di bahagian dalam telekung dan boleh menampakkan aurat sewaktu bergerak ditambah ia mempunyai jenis kain yang nipis maka perkara itu yang membuatkan solat tidak sah.

Ini kerana telekung pada masa kini mempunyai pelbagai jenis yang dikomersialkan serta tidak diketahui bagaimanakah tahap patuh syariahnya.

Asal pakaian atau telekung menutup aurat dengan sempurna maka ia boleh dibawa untuk solat

“Kesimpulannya mudah sahaja, asalkan pakaian atau telekung kita tu dah sempurna menutup aurat kita dan kalau bergerak pun tak tersingkap, tak menampakkan tubuh dan warna tubuh kita. Maka tidak ada masalah nak pakai apa pun buat solat, boleh.

“Maksudnya dengan pandangan biasa kita ni, daripada ruang atas ni dan keliling ruang lingkup kalau tengok tidak ada menyingkap aurat maka okay sahaja. Tiada masalah, jadi tak perlulah kita nak sukarkan.

“Kalau ada dalam kitab fekah pun ada sebut yang dimaafkan adalah bahagian sudut pandang bawah. Maksudnya kalaulah bahagian bawah itu kita tidak menutupnya dengan ketat, orang tak perlulah nak tengok bawahkan, menyukarkan. Jadi bahagian bawah itu tak mengapa.

“Kalau orang tu dah pakai labuh, dia rukuk, sujud pun tak ternampak auratnya, jadi apa masalahnya? Sebab dah mencapai maksud menutup aurat tu, kiranya telekung tu adalah pakaian luar yang bantu menutup aurat bahagian dalam wanita.”

Tidak menjadi masalah jika yakin pakaian atau telekung dipakai menutup aurat dengan sempurna

Kata beliau lagi, seseorang tidak perlu terlalu mengambil kira pakaian di dalamnya jika bahagian luar (seperti telekung) sudah menutup dengan sempurna.

Apa yang penting adalah yakin telah menutup aurat dengan sempurna maka tiada masalah.

“Cuma biasalah apabila dalam kitab fekah kadang-kadang ulama ini berteori dengan memberikan langkah berjaga-jaga yang ekstra dalam memahami apa itu proses dan situasi menutup aurat.

“Kalau ini, kalau itu. Dah namanya ijtihad, mestilah ada kepelbagaian dalam sudut pandangan. Cuma kita kena fahamlah apa matlamatnya,” katanya lagi.

Suka dengan kesimpulan diberikan oleh Mufti Pulau Pinang

Menurut Dr Kamilin lagi dia suka dengan kesimpulan yang dibuat oleh Mufti Pulau Pinang mengenai isu berkenaan.

Kesimpulan yang dibuat oleh Mufti Pulau Pinang dalam satu petikan adalah:

“Sekiranya seorang wanita solat sama ada memakai telekung atau pakaian seperti telekung jubah atau apa jua pakaian, selagi mana diyakini auratnya terjaga, dan telekung atau pakai tersebut terpelihara dari sebab-sebab yang boleh menampakkan aurat misalanya nipis, jarang dan terkoyak maka sah solatnya kerana menepati syarat sah solat iaitu menutup aurat.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.