
Bunyi Dentuman Kuat Di Ipoh Pernah Berlaku Hampir 50 Tahun Lalu Hingga Meragut 40 Nyawa, Ini Kisahnya
Satu tragedi batu kapur besar jatuh dari bukit telah menimpa 40 orang penduduk di kaki Gunung Cheroh pada 18 Oktober 1973.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isnin lalu (21 Oktober), negara digemparkan dengan insiden bunyi letupan beserta gegaran yang dirasai di sekitar bandar Ipoh pada sekitar pukul 11.00 pagi.
Bunyi dentuman yang kuat itu sekali gus membuatkan penduduk di bandar berkenaan menjadi terkejut serta cemas.
Turut tular di media sosial beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa kejadian berlaku dan sehingga kini punca bunyi dentuman itu kekal misteri.
Bunyi dentuman di Ipoh pernah berlaku sehingga meragut puluhan nyawa
Bagaimanapun, bunyi dentuman berkenaan bukanlah sesuatu yang baru berlaku di Ipoh, ia sebenarnya sudah bertahun-tahun dilaporkan kedengaran malah pernah meragut nyawa pada sekitar 50 tahun yang lalu, ini kisahnya.
Kampung Kacang Putih di Buntong, Ipoh terkenal dengan sejarah makanan ringan tradisional kaum India, namun di sebalik populariti desa itu ada sejarah tragedi yang menghantui penghuninya yang mana kini ramai sudah melupakannya.
Peniaga kacang putih yang berhijrah dari Ettayapuram, Tamil Nadu semasa pemerintahan British, awalnya menetap di kaki Gunung Cheroh.
Batu kapur besar jatuh menimpa 40 orang penduduk di kaku Gunung Cheroh
Kehidupan penduduk kampung yang pada awalnya seperti biasa telah berubah menjadi satu kisah tragis pada malam 18 Oktober 1973 selepas sebuah batu kapur besar jatuh dari bukit menimpa 40 orang.
Dalam tragedi itu, hanya 12 mayat sahaja yang ditemui, manakala selebihnya tidak pernah dijumpai sehingga hari ini.
Susulan tragedi berkenaan, kerajaan negeri mengambil langkah dengan memindahkan peniaga kacang putih yang terselamat ke Buntong, di mana Kampung Kacang Putih ditubuhkan.
Meskipun kampung asal kini terbiar, kuil di sana masih berdiri dan didatangi peniaga kacang putih untuk bersembahyang pada hari ketiga perayaan Deepavali setiap tahun.
Hampir setengah abad kemudian, kisah runtuhan batu Gunung Cheroh masih kekal menghantui meskipun sebahagian besar telah melupakannya.
20 Oktober 2018 berlaku lagi bunyi dentuman kuat misteri di Ipoh
Selain insiden pada Isnin lalu itu, sebelum ini turut berlaku beberapa bunyi letupan yang kuat antaranya pada 20 Oktober 2018 menyebabkan penduduk bandar terbabit terkejut.
Insiden itu kekal misteri kerana tiada laporan lanjut yang dapat mengesahkan punca sebenar bunyi itu dan sehingga hari ini masih lagi menjadi tanda tanya.
Bukan itu sahaja, pada tahun 2012, kejadian serupa turut berlaku di Ipoh dan sama seperti yang lain tiada jawapan terhadap punca bunyi letupan terbabit.
Dalam insiden bunyi dentuman yang berlaku kelmarin, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan tiada latihan berkaitan letupan dilakukan dan tiada laporan aktiviti seismik di kawasan terbabit selain tiada juga letupan kuari berlaku pada hari itu.

TUDM nafi bunyi letupan disebabkan ‘Sonic Boom’
Malah, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga menolak dakwaan bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di Ipoh itu dari dentuman ‘Sonic Boom’ pesawat pejuangnya.
Menerusi satu kenyataan semalam (22 Oktober), TUDM turut menyangkal dakwaan keberadaan pesawat asing yang dikatakan menceroboh ruang udara negara.

Bunyi letupan kuat mungkin berkait faktor geologi
Dalam pada itu, seorang Geosaintis, Omen Necrofis, menyatakan insiden bunyi letupan kuat di Ipoh mungkin berkaitan dengan faktor geologi.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, dia berkata kawasan bukit batu kapur seperti di Ipoh memiliki potensi berlakunya runtuhan batu dari tebing-tebing bukit batu kapur.
“Antara insiden paling signifikan berlaku pada 23 Oktober 1973, semasa hujan lebat berpanjangan di Ipoh, di mana runtuhan tebing batu kapur besar berlaku di Gunung Cheroh.
“Bunyi runtuhan itu sangat kuat, seperti dilaporkan dalam berita (seolah-olah sesuatu jatuh dari langit dan menghentam bumi),” katanya.
Menurutnya, kes bunyi dentuman kuat baru-baru ini di Ipoh mungkin berkaitan runtuhan blok batu kapur, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia berlaku di tebing bukit atau di dalam gua batu kapur kecuali jika ada saksi yang melihatnya.
“Bergantung kepada saiz.. semakin besar runtuhan, semakin kuat bunyinya dan semakin besar getaran yang dihasilkan,” katanya.
Jelasnya lagi, fenomena geologi lain yang boleh menghasilkan letupan dan gelombang kejutan ialah ‘rock burst.’
“Di Ipoh, batu granit di Banjaran Kledang dan formasi batu kapurnya mempunyai potensi tinggi untuk ‘rock burst’ akibat tekanan, kemampatan, atau tekanan pada batu.
“Ini kali ketiga insiden ini berlaku di Ipoh, iaitu pada tahun 2018, 2020, dan 2024.
“Tidak ada operasi pesawat, aktiviti letupan kuari, atau jejak meteor yang jelas semasa kejadian. Dua faktor geologi ini boleh menjadi punca letupan dan gegaran,” katanya.
🗣️Rakaman kejadian bunyi 💥 letupan dan gegaran yang berlaku di daerah Ipoh pada pukul 11.06 pagi semalam. pic.twitter.com/q6zg9oTcLx
— 𝕏-₮ⱤłǤǤɆⱤ🔞₩₳Ɽ₦ł₦Ǥ (@Negori09) October 22, 2024
Baca Artikel Berkaitan: Gegaran & Bunyi Dentuman Di Ipoh Bukan Berpunca Dari Letupan Kuari