fbpx
Now Reading
Pelancong China Serik Datang Malaysia Kerana Sukar Berkomunikasi & Kurang Papan Tanda Bahasa Cina

Pelancong China Serik Datang Malaysia Kerana Sukar Berkomunikasi & Kurang Papan Tanda Bahasa Cina

Pelancong berkenaan juga meluahkan kekecewaanya kerana tidak menemui kakitangan KLIA yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin untuk membantunya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sudah menjadi lumrah buat para pelancong melakukan penyelidikan terlebih dahulu tentang negara yang ingin dikunjungi selain menyenaraikan tempat-tempat yang bakal dilawati.

Hal ini kerana negara asing semestinya tidak akan pernah sama dengan tanah air sendiri, maka belajarlah cara masyarakat tempatan berurusan selain menghormati budaya dan cara hidup mereka.

Pun begitu, masih ada segelintir individu yang melancong ke negara asing dengan cara ‘pakai langgar’ dan berharap orang ramai memahaminya.

Pelancong China bersumpah tak akan kunjungi Malaysia lagi

Seperti baru-baru ini, tular di platform media sosial Xiaohongshu selepas seorang pelancong China meluahkan kekecewaannya terhadap Malaysia kerana tidak seperti apa yang diharapkannya.

Memetik portal WeirdKaya, pemilik akaun bernama Lalisa itu juga bersumpah untuk tidak lagi bercuti ke negara ini.

Alasannya, dia mengalami kesukaran kerana Malaysia sangat kurang dengan papan tanda dalam bahasa Cina dan cabaran untuk memahami aksen bahasa Inggeris yang digunakan rakyat tempatan.

Cerita pengalaman beli tiket KLIA Express melalui mesin automatik

Dalam hantaran tersebut, pelancong terbabit juga berkongsi pengalamannya membeli tiket pengangkutan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu KLIA Express melalui mesin automatik.

KLIA Express menawarkan perkhidmatan tanpa henti ke Kuala Lumpur Sentral dengan kadar RM55 untuk setiap orang dewasa.

Pun begitu, pelancong itu seolah-olah mengharapkan tambangnya berharga RM8.50 setiap seorang, yang mungkin merujuk kepada KLIA Transit.

KLIA Transit, perkhidmatan yang berasingan, berhenti di stesen perantara termasuk Putrajaya Sentral dengan tambang yang lebih rendah.

Terkejut dengan harga tiket, ingatkan naik pengangkutan awam tambang murah

Disebabkan kekurangannya dalam memahami sistem tersebut, dia meminta bantuan daripada seorang kakitangan. Kakitangan itu membantu dalam urusan pembayaran, namun dia terkejut apabila jumlah yang perlu dibayar adalah RM110 untuk dua tiket KLIA Express.

Pelancong itu meluahkan kekecewaannya, dengan berkata dia akan menaiki Grab ke bandar dengan kos yang sama jika dia tahu lebih awal.

“Saya tidak memahami bahasa Inggeris dengan baik dan aksen (accent) penduduk tempatan sukar untuk difahami. Saya ingatkan ia adalah perkhidmatan keretapi yang murah, tetapi ia sebenarnya perkhidmatan ekspres RM55.

“Tidak mengapa jika Bahasa Inggeris anda tidak begitu baik di Malaysia, tetapi saya tidak menjangka terdapat begitu sedikit papan tanda dalam bahasa Cina,” katanya dipetik WeirdKaya.

Tak jumpa kakitangan KLIA yang boleh bercakap bahasa Mandarin

Selepas insiden itu, dia cuba mendapatkan bayaran balik tetapi tidak menemui kakitangan yang boleh bercakap dalam bahasa Mandarin untuk membantunya.

Kecewa dengan apa yang dirasakannya sebagai perkhidmatan yang kurang memuaskan, dia melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, namun diberitahu bahawa ia bukan perkara yang boleh diuruskan oleh mereka.

Komen di medai sosial penuh kritikan

Memindai ke ruangan komen, kebanyakan rakyat Malaysia turut menggunakan platform media sosial itu memberi pelbagai kritikan terhadap pelancong terbabit.

“Buat laporan polis kerana ini? Bukankah anda kata anda tidak faham bahasa itu (Inggeris)? Buatlah sedikit penyelidikan sebelum melancong. RM55 mungkin agak mahal, tetapi ia tidaklah keterlaluan sampai perlu membuat laporan polis,” kritik seorang pengguna.

“Jika anda bimbang tentang halangan bahasa, lebih baik ikut kumpulan pelancongan. Anda tidak boleh mengharapkan semua orang bertutur dalam Mandarin kerana ia bukan bahasa utama di Malaysia,” kata seorang lagi pengguna.

“Kenapa semua orang mesti bertutur dalam Mandarin? Saya tak faham, adakah pelancong China mengharapkan penduduk tempatan menyesuaikan diri dengan mereka dengan bercakap dalam Mandarin di mana sahaja mereka pergi?” soal pengguna lain terhadap pelancong itu.

Malah ada juga beberapa rakyat China yang mengkritiknya dan mendakwa orang Malaysia sangat peramah dengan pelancong termasuk dari negara tanah besar itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.