Tular Toyota Vios Langgar Lari Motosikal Sehingga 2 Individu Tercampak Ke Jalan [Video]
Menerusi video, kelihatan dua individu yang menaiki motosikal di kawasan perumahan itu tercampak ke atas jalan selepas dirempuh Toyota Vios.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan alat rakaman seperti dashcam, kamera litar tertutup (CCTV) dan banyak lagi merupakan antara barangan yang penting di masa kini.
Ini kerana alatan kamera seperti ini sering menjadi bahan bukti apabila berlakunya kemalangan dan sebagainya. Apatah lagi apabila berlaku insiden langgar lari, rakaman ini selalu digunakan untuk mencari individu berkenaan untuk bertanggungjawab.
Toyota Vios rempuh motosikal ketika keluar dari simpang di kawasan perumahan
Baru-baru ini, satu lagi kes langgar lari telah berlaku yang membabitkan kereta jenis Toyota Vios dan sebuah motosikal yang dinaiki dua individu.
Menerusi video rakaman CCTV dari sebuah kediaman yang tular, awalnya kelihatan kereta Toyota Vios keluar dari sebuah simpang dipercayai di Taman Desa Jaya, Johor Bahru.
Apa yang lebih mencuri tumpuan, kereta tersebut dipandu dengan laju sewaktu berada di dalam kawasan perumahan dan tidak memberhentikan kenderaannya ketika ingin keluar dari sebuah simpang.
Tertera papan tanda berhenti di simpang jalan, 2 individu tercampak ke atas jalan
Walhal papan tanda berhenti turut diletakkan di bahu jalan untuk meminta mana-mana kenderaan memberhentikan kenderaan sebelum keluar dari simpang.
Kereta itu ingin berjalan terus ke lorong di hadapannya, namun dalam masa sama kelihatan sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua individu sedang bergerak dari arah sebelah kiri.
Keadaan itu telah menyebabkan kenderaan mereka bertembung di pertengahan jalan dan berlaku rempuhan sehingga menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan.
Lari selepas rempuh 2 individu naiki motosikal
Selepas merempuh motosikal berkenaan, kereta Vios berwarna merah itu dilihat mengundurkan kenderaannya dan beredar dari kawasan terbabit.
Tidak lama selepas itu, kelihatan orang ramai dipercayai penduduk di sekitar kawasan perumahan datang membantu dua individu yang berada di atas jalan.
Menerusi maklumat dalam video tersebut dipercayai kejadian kemalangan itu berlaku pada 20 Oktober yang lalu.
Cari sampai jumpa driver sial ni! pic.twitter.com/uHFB7BQgSs
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) October 23, 2024
Di ruangan komen, ada yang mendakwa pemandu membawa kereta Vios adalah budak sekolah tingkatan dua.
Tidak kurang juga ada yang kasihan melihat dua individu menaiki motosikal tersebut kerana tercampak di atas jalan.
Ada juga yang meminta agar video tersebut terus disebarkan untuk mencari siapakah pemandu Toyota Vios itu.