Ahli Farmasi Warga Malaysia Maut Ditikam Lelaki Hidap Skizofrenia Di Australia
Mayat Leong ‘KC’ Kum Chuan yang berusia 29 tahun itu dijumpai selepas rakan sekerja mangsa melaporkan dia tidak hadir bekerja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penyakit Skizofrenia merupakan salah satu penyakit mental yang boleh mengganggu kewarasan seseorang individu.
Malah penyakit ini turut dikategorikan sebagai kronik dan boleh berulang meskipun pesakit telah mendapatkan rawatan. Kebiasaannya seorang pesakit skizofrenia juga sering berhalusinasi dan delusi.
Ahli farmasi warga Malaysia maut ditikam bertubi-tubi oleh lelaki hidap skizofrenia
Baru-baru ini, seorang ahli farmasi yang merupakan warga Malaysia dikenali sebagai Leong ‘KC’ Kum Chuan telah dijumpai maut selepas ditikam bertubi-tubi oleh gelandangan yang menghidap penyakit skizofrenia di rumahnya di Blok Pangsapuri Bellfield, Melbourne, Australia.
Memetik laporan Harian Metro, insiden membabitkan lelaki berusia berumur 29 tahun itu berlaku pada 23 Oktober lalu.
Menurut laporan media luar negara, polis telah menjumpai mayat Leong pada waktu tengah hari selepas dia tidak hadir bekerja sebaik menerima laporan dari rakan sekerjanya.
Rakaman CCTV tunjuk lelaki gelandangan dalang pembunuhan
Hasil siasatan yang dilakukan pihak berkuasa mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah menunjukkan seorang lelaki yang menghidap penyakit mental itu adalah dalang kepada kes pembunuhan terbabit.
Leong merupakan seorang pekerja yang berkhidmat dalam Jabatan Kesihatan Timur Melbourne bermula tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Health, David Plunkett mengambarkan Leong sebagai seorang ahli farmasi muda yang ‘berjiwa pemimpin dan berbakat’.
Baru pindah rumah berkenaan 6 bulan lepas
Turut difahamkan mangsa juga baru membeli dan berpindah ke rumah terbabit sekitar enam bulan yang lepas.
Keluarga mangsa difahamkan telah tiba ke Melbourne dari Malaysia pada 24 Oktober untuk berjumpa dengan pihak polis bagi membincangkan insiden berkenaan dengan lebih lanjut.
Dalam pada itu, pesakit yang dikenali sebagai Simon Hunter berusia 54 tahun telah didakwa di mahkamah di Melbourne atas pertuduhan membunuh Leong pada 24 Oktober.
Prosiding bagaimanapun terpaksa ditangguhkan ekoran keadaaan emosi Hunter yang tidak stabil. Peguam yang mewakilinya, Georgia Karvela juga mengesahkan lelaki itu tidak mengambil ubat skizofrenianya selama dua minggu.
Suspek tanggal baju ketika prosiding di mahkamah berlangsung
Memetik laporan The Straits Times, ketika prosiding berjalan lelaki terbabit turut menanggalkan bajunya sebelum Majistret, Tara Harnet meminta kakitangan mahkamah membawa lelaki itu ke dalam sebuah bilik agar dia boleh berkomunikasi dengan Hunter.
“Saya tidak berurusan dengan orang yang dituduh melalui pintu sel. Ini tidak memuaskan,” ujarnya.
Hunter dijangka menghadapi pertuduhan mahkamah pada Januari 2025. Terdahulu, penduduk di sekitar kawasan insiden turut terdengar bunyi kekecohan berdekatan rumah terbabit 12 jam sebelum mayat Leong dijumpai.