Sibuk Buat TikTok Live Di Tempat Kemalangan, 2 Lelaki ‘Kejung’ Terkaku Ditegur Polis [Video]
Anggota polis terbabit turut bertanya kepada dua lelaki itu sama ada mereka mempunyai hak sebagai pemberita untuk melaporkan tentang kejadian kemalangan tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Di zaman ini, boleh dikatakan setiap perkara yang berlaku pasti ada sahaja individu yang mengambil kesempatan untuk merakam dan menularkannya di media sosial.
Saban hari, privasi seseorang itu semakin hilang apabila dengan mudah wajahnya terpampang di internet tanpa dikaburi.
Lihat sahaja bagaimana jika berlaku insiden yang tak diingini seperti kemalangan dan sebagainya, pasti ada video yang akan dimuat naik di media sosial, bahkan ada pula yang sanggup merakam secara siaran langsung (live).
Tular 2 lelaki ditegur polis kerana buat live TikTok di kawasan kemalangan
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial dua lelaki ditegur dan dimarahi oleh seorang anggota polis kerana melakukan ‘live’ di TikTok di sebuah kawasan kemalangan maut.
Difahamkan, anggota berkenaan yang sedang bertugas pada waktu itu menyedari akan kehadiran dua lelaki berkenaan yang menaiki motosikal dan memasuki kawasan kemalangan sambil melakukan live TikTok.
Susulan itu, dia mendekati kedua-dua lelaki terbabit untuk menegur perbuatan mereka yang telah memasuki kawasan kemalangan yang sedang dikendalikan oleh pihak polis.
Polis soal dua lelaki ada hak sebagai pemberita atau tidak
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @lead_hakim, kedengaran anggota terbabit bertanya kepada dua lelaki itu sama ada mereka mempunyai hak sebagai pemberita untuk melaporkan tentang kejadian kemalangan tersebut.
“Kau ada etika sebagai pemberita ke? Tak ada kan? Kalau takda hak sebagai pemberita kau tak layak nak buat (siaran langsung kemalangan).
“Bagaimana dengan (perasaan) keluarga si mati? Apa yang kau faham pasal etika pemberita, kau bagi tahu aku sekarang, apa yang kau seronok sangat buat ‘live sekarang ini,” katanya.
Polis ambil telefon dan rakam wajah 2 lelaki buat ‘live’
Dalam video sama, kelihatan anggota terbabit memegang telefon bimbit yang bersiaran langsung itu sebelum menghalakannya ke wajah kedua-dua lelaki terbabit.
Kelihatan kedua-duanya hanya kejung terkaku ketika ditegur dan dimarahi oleh anggota polis berkenaan.
‘Live’ tersebut yang ditonton lebih 7,800 orang telah meraih pelbagai reaksi di mana rata-rata pengguna TikTok hanya tertawa melihat kedua-dua mereka dimarahi pihak polis secara siaran langsung.
Semoga video itu dapat dijadikan pengajaran bersama agar tidak sewenang-wenangnya merakam kawasan kemalangan apatah lagi sehingga menampakkan mangsa yang telah meninggal dunia.